اللهم صلى على سيدنا محمد وعلى آله واصحابه وسلم

Tuesday, January 5, 2010

Tafsir al-Quran: Penafsiran al-Quran tanpa ilmu ditegah



Oleh Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali

Ulama syarat kuasai bahasa Arab kerana kitab suci mengandungi tata bahasa tinggi

ALLAH memuliakan umat Islam dengan penurunan al-Quran, kitab penuh dengan kebesaran dan bukti keesaan Allah. Allah menyifatkan al-Quran sebagai sebaik-baik perkataan peringatan dan kisah (ahsan al-Hadith al-Mathani).

Firman Allah yang bermaksud: "Allah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci al-Quran yang bersamaan isi kandungannya benar antara satu dengan yang lain dan yang berulang-ulang keterangannya dengan berbagai cara." (Surah al-Zumar, ayat 23)

Bidang tafsir adalah bidang paling ramai ulama berkhidmat padanya kerana mereka ingin berkhidmat kepada kitab Allah. Penafsiran al-Quran sentiasa berlaku sepanjang zaman sejak zaman Nabi Muhammad SAW sehinggalah hari akhirat.

Penafsiran al-Quran akan berterusan dan tidak terhenti zaman ini saja. Tafsir bermaksud penjelasan dan keterangan sementara daripada sudut istilah bermaksud ilmu membahaskan cara menuturkan lafaz al-Quran, mengetahui hukum terkandung dalamnya, menerangkan perkara kurang jelas dan mengetahui nasikh, mansukh dan sebab penurunannya.

Oleh itu, ulama menetapkan syarat untuk menafsirkan al-Quran iaitu mengetahui ilmu bahasa Arab kerana dengan ilmu itu dapat mengetahui makna perkataan dengan lebih tepat terutama penggunaannya di kalangan bangsa Arab.

Ilmu nahu dan ilmu Ma'ani kerana al-Quran mengandungi kandungan tata bahasa dan balaghah yang tinggi. Di samping itu, pentafsir perlu mengetahui sebab penurunan ayat, ilmu hadiah, kalam, qiraat dan feqah.

Ini adalah sebahagian syarat untuk menafsirkan al-Quran dan umat Islam disuruh supaya belajar dan memahami al-Quran. Tuntutan tadabur al-Quran supaya Muslimin dapat memahami dan berinteraksi dengan al-Quran secara akal serta hati.

Tafsir al-Ra'yi atau dirayah ialah tafsiran bersandarkan kepada ijtihad dan penelitian oleh ulama dalam memahami al-Quran. Wujud perselisihan pendapat mengenai penggunaan Tafsir al-Ra'yi. Ada ulama melarang penafsiran jenis ini disebabkan dakwaan menyebutkan Nabi Muhammad SAW melarang menggunakan akal dan pendapat sendiri untuk menafsirkan al-Quran.

Oleh itu, ulama mensyaratkan beberapa prinsip dan syarat ketat bagi membolehkan seseorang itu menafsirkan al-Quran supaya tidak mengikut hawa nafsu dan tanpa memiliki ilmu mantap. Perkara ditegah ialah penafsiran mengikut hawa nafsu dan tidak mengikut kaedah ditetapkan.

Mereka berdalilkan hadis dari Ibn Abbas yang bermaksud: "Dan sesiapa yang mengatakan sesuatu mengenai al-Quran dengan pendapatnya sendiri, maka bersiap-siaplah tempatnya di dalam api neraka."

Beliau mengambil pandangan Imam Abu Muhammad Ibn Atiyyah dalam mukadimah al-Muhharrar al-Wajiz yang menyebutkan: "Ini bermakna bahawa seseorang yang bertanya mengenai sesuatu makna dalam al-Quran, kemudian ia menjawab dengan pendapatnya, tanpa mempelajari dulu apa yang dikatakan ulama mengenai hal itu, dan makna yang dihasilkan berdasarkan kepada kaedah keilmuan seperti ilmu nahu dan usul fiqh.

Tidak termasuk dalam kategori hadis ini jika ahli bahasa Arab menafsirkan bahasa al-Quran, ahli nahu mengkaji nahu al-Quran, ahli fiqh mengkaji hukumnya dan setiap orang menghasilkan ijtihadnya yang dibangunkan di atas kaedah ilmu dan penyelidikan, maka orang yang mengeluarkan pendapat dengan sifat seperti itu, tidak termasuk dalam golongan yang mengeluarkan pendapat semata-mata hasil kefahaman pemikirannya saja."

Oleh demikian, pendekatan terbaik menafsirkan al-Quran ialah menggabungkan antara (mathur) riwayat dan (ra'yi) dirayat. Di samping itu, menafsirkan al-Quran dengan ayat al-Quran lain.

Dalam al-Quran ada bahagian daripadanya saling membenarkan bahagian lain. Perkara diungkapkan secara global pada satu tempat diperincikan di tempat lain, perkara yang nampak samar pada satu tempat dijelaskan di tempat lain.

Justeru, ayat dan makna harus diselaraskan satu sama lain sehingga kefahaman menjadi sempurna. Begitu juga menafsirkan al-Quran dengan sunnah yang sahih seperti dijelaskan Rasulullah SAW bahawa al-dhulm yang disebut dalam firman Allah yang bermaksud: "Dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman." (Surah al-An'am, ayat 82)

Kezaliman di sini bermaksud kemusyrikan. Tafsiran sahabat dan tabi'in digunakan kerana mereka mendapat didikan daripada Rasulullah SAW secara langsung. Mereka adalah golongan menyaksikan langsung sebab penurunan ayat al-Quran dan memperoleh pengajaran daripada Rasulullah SAW.

Pentafsir juga perlu menggunakan kaedah bahasa Arab yang betul sesuai pengertian diberikan pakar bahasa. Aspek terpenting ialah memerhatikan pengertian bahasa Arab itu pada masa diturunkan al-Quran. Kefahaman adalah pengertian digunakan pada masa itu atau makna yang dibatasi maknanya.

Di samping itu, memahami dengan mendalam penggunaan sesuatu kalimah dalam al-Quran seperti kalimah ijtanibuhu atau ijtinab yang dipakai dalam ayat larangan meminum arak, ayat larangan bersyirik dan dosa besar.

Kekurangan dalam memahami dan mendalami makna bahasa al-Quran menyebabkan seseorang itu membuat keputusan dan kesimpulan yang salah. Pentafsir juga perlu memperhatikan konteks ayat atau kalimah di tempatnya.

Ayat itu harus dikaitkan dengan konteksnya yang ada. Ia tidak harus diputuskan hubungannya dengan ayat sebelum mahupun ayat selepasnya seperti kalimah 'al-Kitab' yang mempunyai pelbagai makna berbeza dan maksud pada setiap tempat itu ditentukan oleh konteks kalimah.

Al-Kitab itu mempunyai makna al-Quran, ada bermaksud kitab Taurat, Injil dan ada yang bermaksud wahyu Ilahi diturunkan kepada salah seorang rasul Allah tanpa menamakan rasul berkenaan.

Pentafsir juga perlu memerhatikan sebab penurunan ayat. Ibn Taimiyyah menyebutkan, mengetahui sebab penurunan membantu pentafsir memahami sebab ayat al-Quran diturunkan. Imam al-Sayuti menyebutkan, mempelajari tafsir adalah fardu kifayah dan salah satu daripada ilmu Syariat Islam yang penting iaitu tafsir, hadis dan feqah.

Monday, January 4, 2010

Tunai amalan sunat perlu jihad tinggi dalam jiwa



Tunai amalan sunat perlu jihad tinggi dalam jiwa

DARIPADA Abu Hurairah, 'Junjunganku (Nabi Muhammad SAW) berwasiat supaya aku mengerjakan tiga perkara iaitu: Berpuasa tiga hari pada tiap-tiap bulan, mengerjakan dua rakaat sembahyang dhuha dan juga supaya aku mengerjakan sembahyang witir sebelum aku tidur.' (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jalan untuk mencapai tahap ihsan ialah melalui proses menunaikan segala perkara yang difardukan. Lebih tinggi daripada itu ialah melakukan amalan mendekatkan diri kepada Allah iaitu amalan an-Nawafil (sunat).

Untuk melakukan amalan seumpama itu memerlukan jihad yang tinggi dalam jiwa manusia, kemampuan serta kerelaan hati melaksanakannya, kesungguhan yang tidak pernah luntur dan berterusan, selain memusatkan segala kepentingan dan tujuan hanya kepada Allah semata-mata.

Antara amalan sunat yang digalakkan Rasulullah SAW ialah:

l Sembahyang sunat dhuha iaitu sembahyang yang dikerjakan dengan sekurang-kurangnya dua rakaat dan afdalnya ialah lapan rakaat. Masuk waktunya pula ialah apabila matahari meninggi kadar segalah.

2 Berpuasa sunat terutama tiga hari dalam sebulan iaitu di hari putih (13, 14 dan 15 hari bulan dari bulan Qamariah).

3 Sembahyang witir iaitu sembahyang sunat yang paling utama selepas sembahyang wajib. Waktunya bermula ialah selepas sembahyang Isyak hinggalah terbit fajar. Paling sedikit bilangan rakaatnya ialah satu rakaat dan paling banyak ialah 11 rakaat. Ia dinamakan sembahyang witir kerana ia dikerjakan dengan bilangan rakaat yang ganjil.

Namun begitu, dalam mengerjakan ibadat janganlah kita hanya mementingkan kuantiti amalan dilakukan tanpa memikirkan kualitinya kerana tiada gunanya amalan yang banyak dikerjakan sedangkan ia tidak diterima Allah mungkin disebabkan ibadat dikerjakan tanpa khusyuk atau kerana timbulnya perasaan riak yang membinasakan pahala.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Wednesday, December 30, 2009

Marah biar bertempat ikut panduan al-Quran, Sunnah Rasulullah



Marah biar bertempat ikut panduan al-Quran, Sunnah Rasulullah

NABI SAW dalam hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah, seorang lelaki datang kepada Nabi SAW lalu berkata: "Berwasiatlah kepadaku Ya Rasulullah. Lalu Baginda bersabda: Jangan engkau marah." Nabi SAW mengulanginya sebanyak tiga kali.

Setiap manusia ada mempunyai sifat marah, begitu juga haiwan. Seekor kucing yang jinak dan manja akan marah apabila kita menyakitinya dengan menarik ekornya beberapa kali.

Sifat sabar adalah penghalang daripada sifat marah. Bagaimanapun, kesabaran ada had dan batasnya kerana apabila sudah hilang sabar maka timbullah kemarahan.

Menurut Imam Al-Ghazali, sikap marah ialah nyalaan api bersumber daripada api Allah yang menyala dan menjulang tinggi sampai naik ke hati. Maka terpulang kepada seseorang untuk cepat marah, marah keterlaluan (marah tidak bertempat), marah pertengahan (mampu mengawal marahnya) atau tidak tahu marah.

Marah yang sederhana adalah marah terpuji, manakala tidak tahu marah adalah terkeji dan marah keterlaluan adalah termasuk dalam marah terkeji yang dilarang oleh Nabi SAW seperti sabdanya.

Marah keterlaluan dilarang Islam kerana mendatangkan kesan dan implikasi tidak baik kepada orang yang marah, juga orang kena marah. Disebabkan marah ada rumah tangga runtuh, kerana marah anak didera, pembunuhan berlaku, anak lari dari rumah, majikan ditetak pembantu rumah dan kerana marah orang saman-menyaman.

Menurut Imam Al-Ghazali, 10 punca menyebabkan sifat marah:

Rasa bangga diri (sombong)

Takjub kepada peribadi sendiri

Suka bergurau senda yang berlebihan dan melampaui batas

Suka bercakap perkara sia-sia

Suka membuat fitnah

Suka berbantah-bantah dalam sesuatu perkara

Khianat

Tamak kepada harta dan pangkat

Tidak dapat mengendalikan nafsu dan emosi dengki dan irihati.

Apabila seseorang itu marah maka pergerakan fizikalnya akan turut berubah. Api kemarahan semakin memuncak menyebabkan percakapannya menjadi kuat, kata-kata tidak teratur, bahasanya lucah, kasar dan bersifat menghina.

Orang yang marah akan merendah-rendahkan orang dimarah, muka dan matanya menjadi merah, badannya terketar-ketar, tangan dan kakinya menjadi ringan untuk memukul dan menghentam, akalnya pada waktu itu tidak digunakan secara betul, semua tindakan mengikut nafsu kemarahannya.

Bagi orang yang waras, tentu kita tidak sanggup melihat keadaan kita sewaktu marah jika ia dirakam dan ditayang semula untuk menontonnya. Bagi orang yang kena marah mungkin akan berdiam diri, kadang kala melawan dengan kata-kata atau kekuatan.

Marah turut berlaku kepada individu yang mempunyai kedudukan seperti orang agama berstatus ustaz, ustazah, tuan guru, ulama, marah dan melenting.

Marah yang dipuji adalah marah yang pertengahan, iaitu marah bertempat. Contohnya, seorang bapa marah kepada anaknya yang tidak mahu bersolat atau menutup aurat. Nabi SAW mengajar dalam sabdanya yang bermaksud: "Suruhlah anak kamu bersolat ketika berumur tujuh tahun dan pukullah mereka yang tidak mahu bersolat ketika berumur 10 tahun dan pisahkan mereka dari tempat tidur."

Marah kepada mereka yang memusuhi Islam sehingga kita boleh mengisytiharkan berperang. Begitu juga dalam mencegah kemungkaran, perlu ada marah.

Contoh paling hebat berlaku dalam sejarah ialah ketika Saidina Ali berada dalam satu peperangan di mana beliau hampir hendak memenggal leher musuhnya, tiba-tiba musuhnya itu meludah mukanya. Lalu Saidina Ali tidak jadi memenggal lehernya.

Maka musuhnya berasa pelik lalu bertanya kepada Saidina Ali mengapa tidak jadi membunuhnya. Maka Saidina Ali menjawab: "Aku takut bahawa aku membunuhmu bukan kerana Allah tetapi kerana marah kepada kamu kerana meludahku." Hebatnya Saidina Ali masih lagi menggunakan pertimbangan akal dan syariat walaupun ketika marah.

Sumber: Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)

Tuesday, December 29, 2009

Nilai Tudung Wanita...



Artikel dari:
http://www.darulnuman.com/mhikmah/tudung.html

Di sini Darul Nu'man ingin menyentuh tentang pemakaian tudung kaum wanita masa kini sebagai renungan bagi wanita Islam. Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini.

Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.

Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi.

Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka.

Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.

Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri.

Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati.

Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain.

Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah.

Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah.

Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.

APAKAH kehebatan bangun solat di malam hari?



APAKAH kehebatan bangun solat di malam hari terutama di sepertiga malam yang akhir? Sehinggakan Rasulullah sanggup melakukannya sehingga kedua-dua tapak kakinya pecah-pecah, sehinggakan juga Sallehuddin Al-Ayyubi memilih mereka yang bangun malam sebagai barisan mujahidin yang paling hadapan untuk menggempur musuh. Sehinggakan juga Umar Abd Aziz berkata: “Bagaimana mata ini dapat tertutup rapat dan tenteram sedangkan ia tak tahu di mana kelak ia akan kembali di antara dua tempat” berulang-ulang.

Saranan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

Dari Abu Hurairah r.a “….Kekasihku Rasulullah telah berwasiat kepadaku agar aku tidak tidur sebelum solat witir.” (HR Bukhari)
Dari Abdullah bin ‘Amr bin Al-’Ash radhiallahu ‘anhuma katanya; Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Hai Abdullah, janganlah engkau menjadi seperti si Fulan itu, dulu ia suka sekali bangun bersolat di waktu malam, tetapi kini meninggalkan bangun solat waktu malam itu.” (Muttafaqun ‘alaih)

Dari Aisyah r.a katanya: “Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam itu berdiri untuk bersolat malam, sehingga pecah-pecah kedua tapak kakinya. Saya berkata kepadanya;” Mengapa Tuan mengerjakan sedemikian ini, ya Rasulullah, padahal sudah diampunkan untuk Tuan dosa-dosa Tuan yang dahulu dan yang kemudian?” Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam lalu bersabda, “Tidakkah saya ini wajar menjadi seorang hamba yang banyak bersyukur.” (Muttafaqun ‘alaih)
Dari Ibnu Mas’ud r.a katanya: “Ada seorang lelaki yang disebut-sebut di sisi Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, iaitu bahawa orang tersebut tidur di waktu malam sampai ke pagi – yakni tidak bangun untuk bersolat malam, lalu beliau sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda; “orang itu sudah dikencingi syaitan dalam kedua-dua telinganya” atau beliau sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda; “di telinganya.” (Muttafaqun ‘alaih)

Dari Abu Hurairah r.a katanya;” Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Syaitan itu memberikan ikatan pada hujung kepala seseorang di antara engkau semua sebanyak tiga ikatan, jikalau ia tidur. Ia membuat ketentuan pada setiap ikatan itu dengan kata-kata yang berbunyi: “Engkau memperoleh malam panjang, maka tidurlah terus!” Jikalau orang itu bangun lalu berzikir kepada Allah ta’ala maka terurailah sebuah ikatan dari dirinya, selanjutnya jikalau dia terus berwudhu’, lalu terurai pulalah ikatan satunya lagi dan seterusnya, jikalau ia bersolat, maka terurailah ikatan seluruhnya, sehingga berpagi-pagi ia telah menjadi bersemangat serta berhati gembira. Tetapi jikalau tidak sebagaimana yang tersebut di atas, maka ia berpagi-pagi menjadi orang yang berhati buruk serta pemalas.” (Muttafaqun ‘alaih).
Dari Abdullah bin ‘Amr bin al-’Ash r.a bahawasanya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda padanya:
Solat yang paling dicintai Allah ialah solatnya Daud dan puasa yang paling dicintai Allah ialah puasanya Daud. Ia tidur separuh malam, bangun solat yang sepertiganya dan tidur seperenamnya, Ia berpuasa sehari dan berbuka sehari. (Muttafaqun ‘alaih)
Dari A’isyah r.a. pula bahawasanya Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam itu tidur di permulaan malam dan bangun pada akhir malam lalu bersolat. (Muttafaqun ‘alaih)
Apakah kelebihan-kelebihan itu?

• Solat Paling Afdhal Setelah Solat Fardhu
“Solat yang paling afdhal setelah solat wajib adalah qiyamullail (tahajjud).” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
• Waktu Mustajabnya Doa
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam: “Sesungguhnya dari sebahagian malam itu ada satu waktu yang tidak menyamai kebaikannya bagi seorang muslim untuk memohonkan sesuatu yang baik kepada Allah Ta’ala, melainkan Allah pasti akan mengabulkannya. Demikian itu ada pada setiap malam.” (HR Muslim)
• Lebih Baik Dari Dunia dan Seisinya
Dua raka’at yang dilakukan oleh seorang hamba di tengah malam itu adalah lebih baik baginya daripada dunia ini serta seluruh isinya. (HR Adam bin Abu Iyas)
• Meningkatkan Darjat Di sisi Allah
“Dan pada sebahagian malam hari, sembahyang tahajudlah kamu sebagai satu ibadat tambahan bagimu. Mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat terpuji.” – (Surah al-Isra, ayat 79).
Dari Abu Hurairah r.a., sabda Rasulullah lagi bermaksud: “Allah mengasihi seorang lelaki yang bangun tengah malam lalu dia mengerjakan sembahyang dan membangunkan isterinya untuk turut sama bersembahyang.
Kalau isterinya enggan, beliau akan memercikkan air ke mukanya. Dan Allah mengasihi seorang wanita yang bangun tengah malam untuk mengerjakan sembahyang lalu dia membangunkan suaminya untuk turut yang sama. Kalau suaminya enggan, beliau akan memercikkan air ke mukanya.” (HR Abu Daud dengan isnad yang sahih)
• Ibadah Ahli Syurga
Firman Allah lagi dalam surah as Sajdah, ayat ke-16 dan 17 bermaksud: “Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya dan mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan harap, bahkan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka.”
Orang-orang yang bertaqwa itu sedikit sekali tidurnya di waktu malam. Di waktu menjelang fajar pagi, mereka itu berdoa memohonkan pengampunan dan dari sebahagian hartanya dijadikan hak yang diberikan pada yang meminta dan yang kekurangan.” [Surah Az-Dzaariyaat: 17-19]
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam: “Hendaklah kamu semua menetapi solat malam, sebab yang demikian itu adalah perilaku orang-orang yang soleh sebelum kamu.” (HR Tirmidzi)
Dari Abdullah bin Salam r.a bahawasanya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Hai sekalian manusia, ratakanlah salam, berikanlah makanan, bersolatlah di waktu malam sedang para manusia sedang tidur, maka engkau semua akan dapat memasuki syurga dengan selamat.” (HR Tirmidzi).
• Keteladanan Salafussoleh
Ibnul Qayyim Al-Jauzy melakukan solat malam, dilanjutkan dengan solat Subuh dan kemudian dilanjutkan dengan solat dhuha, setelah itu barulah beliau beranjak melakukan aktiviti-aktiviti yang lain. Lalu beliau berkata,”jika hal ini tidak aku lakukan maka sungguh sangat berat.”
Dalam riwayat Ibnu Ishaq dan Ahmad dari Jabir bin Abdullah r.a. ia menceritakan; “Kami berangkat bersama Rasulullah SAW pada perang Dzatur Riqaa’. Pada kesempatan itu tertawanlah seorang wanita musyrikin. Setelah Rasulullah SAW berangkat pulang, suami wanita itu yang sebelumnya tidak ada di rumah baru saja datang. Kemudian lelaki itu bersumpah tidak akan berhenti mencari sebelum dapat mengalirkan darah para sahabat Muhammad SAW. Lalu lelaki itu keluar mengikuti jejak perjalanan Rasulullah SAW. Pada sebuah lorong di suatu lembah Rasulullah SAW bersama para sahabat berhenti. Kemudian beliau bersabda, “Siapakah di antara kalian yang bersedia menjaga kita malam ini?” Jabir berkata, “Maka majulah seorang dari Muhajirin dan seorang lagi dari Anshar lalu keduanya menjawab, ‘Kami siap untuk berjaga ya Rasulullah’. Nabi Muhammad SAW berpesan: “Jagalah kami di mulut lorong ini.” Jabir menceritakan waktu itu, Rasulullah bersama para sahabat berhenti di lorong suatu lembah.
Ketika kedua orang sahabat itu ke ke mulut lorong, sahabat Anshar berkata pada sahabat Muhajirin, ‘Pukul berapa engkau inginkan aku berjaga, apakah permulaan malam ataukah akhir malam?’ Sahabat Muhajirin menjawab; ‘Jagalah kami di awal malam’, kemudian sahabat Muhajirin itu berbaring tidur. Sedangkan sahabat Anshar melakukan solat. Jabir berkata, datanglah lelaki musyrikin itu dan ketika mengenali sahabat Anshar, musyrikin itu mengetahui bahwa sahabat itu sedang hirasah. Kemudian orang itu memanahnya tepat mengenai diri Ansar tersebut, lalu sahabat Ansar itu mencabutnya kemudian berdiri tegak melanjutkan solatnya. Kemudian orang musyrikin itu memanahnya lagi dan tepat mengenainya lagi, lalu sahabat itu mencabut kembali anak panah itukemudian berdiri tegak melanjutkan solatnya. Kemudian untuk ketiga kalinya orang itu memanah kembali sahabat Anshar tersebut dan tepat mengenai dirinya. Lalu dicabut pula anak panah itu kemudian ia rukuk dan sujud. Setelah itu ia membangunkan sahabat Muhajirin seraya berkata, ‘Duduklah kerana aku telah dilukai.’ Jabir berkata, Kemudian sahabat Muhajirin itu melompat mencari orang yang melukai sahabat Anshar itu. Ketika orang musyrikin itu melihat keduanya ia sedar bahawa dirinya telah diketahui maka ia pun melarikan diri. Ketika sahabat Muhajirin mengetahui darah yang melumuri sahabat Anshar, ia berkata, ‘Subhanallah kenapa engkau tidak membangunkan aku dari tadi?’ Sahabat Anshar menjawab, ‘Aku sedang membaca surah dan aku tidak ingin memutusnya. Namun, setelah orang itu berkali-kali memanahku barulah aku ruku’ dan memberitahukan dirimu. Demi Allah SWT kalau bukan kerana takut mengabaikan tugas penjagaan yang diperintahkan Rasulullah SAW kepadaku niscaya nafasku akan berhenti sebelum aku membatalkan solat.’
Bagaimana mudah untuk bangun solat malam?
Petua dari Imam Al-Ghazali:
1. Makan malam yang sedikit sekadar alas perut supaya tidak lapar. Jika kita makan malam yang banyak ianya akan menyebabkan kita cepat mengantuk dan susah bangun dari tidur, sudah tentu kita akan terlebih tidur pula.
2. Jangan tinggalkan tidur qailulah di siang hari.
3. Mengetahui dan menginsafi benar-benar keutamaan solat malam dengan mentadabburi selalu ayat-ayat Qur’an dan hadis-hadis serta kisah-kisah salafussoleh berkenaan dengan bangun malam.
4. Meningkatkan rasa cinta kepada Allah, rasa cinta yang sebenar-benarnya. Istiqamah dalam beribadah di waktu malam itu merupakan anugerah yang Allah berikan kepada kekasih-kekasih-Nya. Bersihkanlah diri dan hati daripada unsur-unsur syirik baik yang nyata atau yang tersembunyi, dan peliharalah ibadah sebelumnya, sesungguhnya seseorang yang berat beban dosanya dari amalan yang dilakukan sebelum tidurnya itu pasti memberatkannya untuk bangkit berkhalwah dengan Allah yang Maha Suci di malam hari.
Wallahu’alam-

Sunday, December 27, 2009

Tahun baru harus jadi pemangkin minda



Tahun baru harus jadi pemangkin minda
Oleh Zainul Rijal Abu bakar

Tiada guna masa berlalu tanpa memperoleh manfaat, usaha perbaiki kelemahan diri

MINGGU ini adalah minggu terakhir sebelum 2009 melabuhkan tirainya. Tahun 2010 pula sedang mengintai dengan penuh harapan dan dugaan. Umat Islam pula masih baru menyambut Maal Hijrah yang menandakan permulaan tahun 1431 Hijrah. Azam dan iltizam memenuhi gerak hati kebanyakan insan yang berikrar memperbaiki diri.

Kemunculan tahun baru ini seharusnya menjadi pemangkin minda kita memikirkan apakah yang berlaku sepanjang tahun dan bagaimanakah pula kita akan menghadapi tahun baru nanti. Segala suka dan duka yang berlaku hendaklah dijadikan teladan dan sempadan kepada kita. Tiadalah gunanya tahun berlalu tanpa apa-apa manfaat yang kita peroleh. Tiadalah manfaatnya tahun berlalu tanpa kita perbaiki untuk masa-masa akan datang.
Apa yang berlaku tercatat sebagai sejarah. Tiada siapa yang dapat mengubahnya dan sejarah itu pasti berulang. Itulah lumrah alam. Oleh hal yang demikian kita tidak dapat lari daripada memikirkan apa yang telah berlaku kepada kita.

Jika kita menyorot apa yang berlaku sepanjang 2009, tentu banyak perkara yang akan merungkai minda kita.

Dari sudut perundangan Islam pula, sudah tentu kalendar 2009 diwarnai dengan pelbagai persepsi yang positif dan negatif.
Umpamanya keputusan Majlis Raja-Raja menolak cadangan pindaan undang-undang keluarga Islam yang dicadangkan kerajaan menarik perhatian pelbagai pihak berkaitan dengan undang-undang itu. Begitu juga kes Kartika Seri Dewi Sukharno yang masih belum lagi dilaksanakan hukuman sebat ke atasnya menimbulkan polemik yang agak sukar difahami ramai orang. Pendakwaan kes mengajar tanpa tauliah Dr Mohd Asri Zainal Abidin juga tidak kurang menarik perhatian umum.

Kes Muhammad Ridzuan Pathmanathan seorang mualaf yang mengislamkan anaknya mengambil tempat di dada akhbar arus perdana. Begitu juga halnya dengan kes perkuburan Islam di Kota Kemuning yang mana Mahkamah Persekutuan tidak membenarkan Majlis Agama Islam Selangor mencelah juga membangkitkan ketidakpuasan hati di kalangan masyarakat Islam.

Semua kes di atas adalah manifestasi bahawa perjuangan memartabatkan Islam di bumi Malaysia masih belum mencapai matlamatnya yang sebenar. Usaha kita untuk mengarusperdanakan Syariah perlu dilipat ganda dan disusun atur dengan lebih sistematik bagi mencapai kejayaan.

Semoga tahun mendatang ini akan menjadi lebih baik khususnya berkaitan perkembangan agama Islam di tanah air. Walaupun bibit penambah baik itu mula dirasainya, ia bukannya suatu jaminan umat Islam berasa selesa dan menghentikan perjuangan. Walaupun kesatuan NGO Islam disemai, masih banyak perkara yang perlu diperkukuhkan antara NGO Islam. Melihat kepada cabaran yang akan dihadapi kelak, sebenarnya sudah tiada masa untuk umat Islam berseronok dan terkinja-kinja menyambut tahun baru.
Tahun baru mesti disambut dengan penuh keazaman dan komitmen agar Islam diletakkan di tempatnya. Bukan caranya menyambut tahun baru dengan pesta liar yang langsung tidak menggambarkan adat ketimuran budaya, bangsa dan agama.

Saya juga mengharapkan perpecahan di kalangan umat Islam akan dapat diperbaiki. Perpaduan antara umat Islam dan bukan Islam pula dapat ditingkatkan di samping saling hormat menghormati antara satu sama lain sejajar dengan prinsip Rukun Negara dan Keluhuran Perlembagaan dan kedudukan istimewa Islam di negara kita.

Kedudukan istimewa agama Islam sebagai agama Persekutuan perlu direalisasikan dan dalam masa yang sama agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Ini bermakna agama lain boleh diamalkan selagi ia tidak menjejaskan keamanan dan kedamaian terhadap Agama Persekutuan di dalam negara.

Pada masa yang sama umat Islam hendaklah jangan sesekali mengherdik agama orang lain sebagaimana kita sendiri tidak mahu agama kita diherdik. Jangan memperlekehkan agama orang lain seperti kita tidak mahu diri agama kita diperlekehkan.

Perubahan minda sebegini amat penting bagi mengharungi tahun baru ini. Tanpanya sudah pasti kita akan berada di takuk lama dan tidak akan menjadi contoh teladan kepada orang lain.

Anjakan minda sebegini akan menjadi pemangkin kepada kita menggapai kecemerlangan pada tahun hadapan. Berbeza pandangan dalam perkara furu' adalah lumrah dan janganlah begitu terpesona dan taksub dengan sesuatu pandangan hingga tidak boleh berlapang dada menerima teguran orang lain.

Walaupun 2009 menyaksikan pelbagai cabaran dan dugaan yang menguji kesabaran dan perpaduan masyarakat, 2010 pasti akan menjadi pertaruhan sekiranya tiada usaha mantap memperbetulkan keadaan yang sedang berlaku.

Untuk itu pihak kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, institusi dan individu perlu sedar hakikat sebenar dan tidak mementingkan diri sendiri saja. Moga tahun baru ini memberi harapan ke arah memartabatkan agama Islam di samping memelihara perpaduan rakyat pelbagai bangsa.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia, boleh dihubungi melalui emel di zainul.rijal@abubakar.my

Asal Mula Alam Semesta - Keajaiban Ilmiah Al Qur'an



Sebuah bintang terbentuk dari gumpalan gas dan asap (nebula), yang merupakan peninggalan dari 'asap' yang menjadi asal kejadian alam semesta. (The Space Atlas, Heather dan Henbest, hal. 50

Ilmu pengetahuan moderen, ilmu astronomi, baik yang berdasarkan pengamatan maupun berupa teori, dengan jelas menunjukkan bahwa pada suatu saat seluruh alam semesta masih berupa 'gumpalan asap' (yaitu komposisi gas yang sangat rapat dan tak tembus pandang, The First Three Minutes, a Modern View of the Origin of the Universe, Weinberg, hal. 94-105.). Hal ini merupakan sebuah prinsip yang tak diragukan lagi menurut standar astronomi moderen. Para ilmuwan sekarang dapat melihat pembentukan bintang-bintang baru dari peninggalan 'gumpalan asap' semacam itu.



(Nebula Laguna adalah sebuah gumpalan gas dan asap yang berdiameter sekitar 60 tahun cahaya. Ia dipendarkan oleh radiasi ultraviolet dari bintang panas yang baru saja terbentuk di dalam gumpalan tersebut. (Horizons, Exploring the Universe, Seeds, gambar 9, dari Association of Universities for Research in Astronomy, Inc.)

Bintang-bintang yang berkilauan yang kita lihat di malam hari, sebagaimana seluruh alam semesta, dulunya berupa materi 'asap' semacam itu. Allah telah berfirman di dalam Al Qur'an:

ثُمَّ اسْتَوَىٰ إِلَى السَّمَاءِ وَهِيَ دُخَانٌ

Kemudian Dia menuju kepada penciptaan langit dan langit itu masih merupakan asap,... (Al Fushshiilat, 41: 11)

Karena bumi dan langit di atasnya (matahari, bulan, bintang, planet, galaksi dan lain-lain) terbentuk dari 'gumpalan asap' yang sama, maka dapat ditarik kesimpulan bahwa matahari dan bumi dahulu merupakan satu kesatuan. Kemudian mereka berpisah dan terbentuk dari 'asap' yang homogen ini. Allah telah berfirman:

أَوَلَمْ يَرَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنَّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ كَانَتَا رَتْقًا فَفَتَقْنَاهُمَا

Dan apakah orang-orang yang kafir tidak mengetahui bahwasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya. (Al Anbiya, 21:30)

Dr. Alfred Kroner adalah salah satu ahli ilmu bumi terkemuka. Ia adalah Profesor geologi dan Kepala Departemen Geologi pada Institute of Geosciences, Johannes Gutenberg University, Mainz, Jerman. Ia berkata: "Jika menilik tempat asal Muhammad... Saya pikir sangat tidak mungkin jika ia bisa mengetahui sesuatu semisal asal mula alam semesta dari materi yang satu, karena para ilmuwan saja baru mengetahui hal ini dalam beberapa tahun yang lalu melalui berbagai cara yang rumit dan dengan teknologi mutakhir. Inilah kenyataannya." Ia juga berkata: "Seseorang yang tidak mengetahui apapun tentang fisika inti 14 abad yang lalu, menurut saya, tidak akan pernah bisa mengetahui, melalui pemikirannya sendiri, bahwa dulunya bumi dan langit berasal dari hal yang satu."

Gunung sebagai Pasak - Keajaiban Ilmiah Al Qur'an



Gunung-gunung memiliki akar yang dalam di bawah permukaan tanah. (Earth, Press dan Siever, hal. 413)

Sebuah buku berjudul Earth adalah buku pegangan rujukan di banyak universitas di seluruh dunia. Salah seorang pengarangnya adalah Profesor Emeritus Frank Press. Ia adalah Penasehat Ilmu Pengetahuan dari mantan Presiden Amerika Jimmy Carter dan selama 12 tahun menjadi presiden dari National Academy of Sciences, Washington, DC. Buku tersebut menyatakan bahwa gunung-gunung mempunyai akar di bawah mereka. Akar ini menghunjam dalam, sehingga seolah gunung-gunung mempunyai bentuk bagaikan pasak



Bagan potongan melintang. Gunung-gunung, sebagaimana pasak, memiliki akar yang menghunjam di bawah tanah. (Anatomy of the Earth, Cailleux, hal. 220)

Beginilah Al Qur'an menjelaskan tentang gunung-gunung. Allah berfirman:

أَلَمْ نَجْعَلِ الْأَرْضَ مِهَادًا وَالْجِبَالَ أَوْتَادًا

Bukankah Kami telah menjadikan bumi itu sebagai hamparan, dan gunung-gunung sebagai pasak? (An Naba', 78: 6-7)

Ilmu bumi moderen telah membuktikan bahwa gunung-gunung memiliki akar di dalam tanah dan akar ini dapat mencapai kedalaman yang berlipat dari ketinggian mereka di atas permukaan tanah. Jadi, kata yang paling tepat untuk menggambarkan gunung-gunung berdasarkan informasi ini adalah kata "pasak" karena bagian terbesar dari sebuah pasak tersembunyi di dalam tanah. Pengetahuan semacam ini, tentang gunung-gunung yang memiliki akar yang dalam, baru diperkenalkan di paruh kedua dari abad ke-19.

Sebagaimana pasak yang digunakan untuk menahan atau mencencang sesuatu agar kokoh, gunung-gunung juga memiliki fungsi penting dalam menyetabilkan kerak bumi. Mereka mencegah goyahnya tanah. Allah berfirman:

وَأَلْقَىٰ فِي الْأَرْضِ رَوَاسِيَ أَنْ تَمِيدَ بِكُمْ وَأَنْهَارًا وَسُبُلًا لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Dan Dia menancapkan gunung-gunung di bumi supaya bumi itu tidak goncang bersama kamu, (dan Dia menciptakan) sungai-sungai dan jalan-jalan agar kamu mendapat petunjuk. (An Nahl, 16:15)

Maha Benar Allah yang Maha Agung.

KIBLAT YANG SATU




Puisi Kiblat Yang Satu
KIBLAT YANG SATU

Di mana bumi dipijak, di situ agama dijunjung
wahai Muslimin dan Muslimat berpusu
dari seluruh alam
raikan syahadah di Bumi Haram
yang masih halal milik kita
namun kenangi air mat di kiblat tua
berbaur darah para syuhadah
gugur megah iman masih gagah
di luar pintu al-Aqsa
ada jasad masih tersiksa
tidakkah terasakah peritnya kita

Derita mereka
tika tawaf dan melontar jamrah
hanya batu senjata menaboh tanah
atau
di kala sujud di sisi Kaabah
dan zikir remang Raudah
kiblat tua menagih kasih
umat Muhammad
yang terpilih
kembalikan hak
punahkan yang batil
lambang ummah bersatu
zahirkan korban setelah
layak berserban
sesungguhnya kiblat yang lagi satu
milik seluruh ummah
bukan sekadar sejarah.

ARRAZAQ DENGKIL
Stadium MPSJ, Subang Jaya

Selepas setahun pencerobohan, masyarakat antarabangsa gagal kekang kekejaman Israel



BERTEPATAN hari ini, 27 Disember, setahun lalu tentera Israel memulakan pencerobohannya ke kota Gaza di Palestin. Pencerobohan yang berlangsung hingga 18 Januari tahun berikutnya membunuh 1,400 penduduk Palestin dan hanya 13 tentera Israel. Sejak itu bermulalah sekatan ke atas Gaza dan 1.5 juta penduduknya oleh rejim haram Israel.

Setahun berlalu tetapi di Gaza tiada perubahan, malah kesengsaraan bermaharajalela. Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Christophen Gunnes di Gaza menyatakan bahawa operasi pengagihan makanan akan tamat Khamis lalu kecuali jika rejim haram Israel membenarkan gandum, daging, susu dan minyak goreng dibawa masuk ke Gaza tanpa penundaan.

Gunnes berkata: "Ini hukuman fizikal dan mental bagi penduduk Gaza, ibu dan orang tua yang mahu memberi makan anak-anaknya, serta bagi orang kebuluran. Sekatan ini benar-benar gambaran adanya tindakan orang gasar yang tidak berperikemanusiaan."

Di samping itu, Pengarah Eksekutif Oxham International, Jeremy Hobbs ada menyatakan: Pemimpin dunia gagal, bahkan mereka mengkhianati penduduk Gaza. "Oxham International adalah gabungan 16 kumpulan hak asasi manusia antarabangsa yang memerhati penduduk Gaza. Masyarakat antarabangsa juga menggesa Israel untuk menarik sekatan tidak bertamadun berkenaan."

Apakah yang menyebabkan kedegilan Israel? Apakah Israel sebuah negara kuat? Atau ada sesuatu yang meletakkan Israel adalah negara kuat iaitu bangsa Yahudi antarabangsa.

Kita mesti membezakan antara Israel dan Yahudi sehingga logik kita akan mengatakan bahawa Yahudi bukanlah Israel tetapi Israel adalah sebahagian daripada Yahudi. Israel adalah negara Yahudi tetapi Yahudi bukanlah negara Israel. Yahudi adalah agama rasmi Israel tetapi Israel bukanlah agama rasmi Yahudi. Bagaimanapun, antara kedua-duanya tidak boleh dipisahkan.

Masyarakat antarabangsa boleh mengecam Israel tetapi kecaman itu akan berbalik menjadi pembelaan tidak lama kemudian. Masyarakat antarabangsa boleh menghina Israel tetapi hinaan itu akan berbalik menjadi sanjungan. Masyarakat antarabangsa boleh mengucilkan Israel tetapi kucilan itu akan berbalik menjadi pengagungan seperti yang berlaku selama ini sejak penubuhannya lebih 60 tahun lalu. Perkara ini tidak berlaku kerana Israel kuat tetapi bangsa Yahudi yang kuat.

Masyarakat antarabangsa sepanjang zaman sememangnya muak dengan perangai bangsa Yahudi, bahkan pernah terjadi pengusiran besar-besaran bangsa Yahudi dari Eropah pada 1492 oleh Raja Katholik Ferdinand dan Ratu Isabella bersamaan dengan pengusiran umat Islam dari Sepanyol. Begitu pula perburuan Adolf Hitler ke atas bangsa Yahudi pertengahan abad lalu. Tetapi kemuakan mereka malah menjadi keseronokan di bawah sedar kerana kehidupan masyarakat antarabangsa hari ini tidak boleh lepas daripada kebergantungan mereka kepada inovasi kehidupan politik, sosial, dan ekonomi mereka.

Masyarakat antarabangsa mana yang tidak mengenal Nokia, Dell, Starbuck dan sejenis dengannya? Masyarakat antarabangsa mana yang sanggup melepaskan kebergantungan mereka ke atas jenama berkenaan dan juga semua produk 'keyahudian' seperti yang diseru dalam boikot produk Yahudi.

Masyarakat antarabangsa mana yang sedar duit yang mereka keluarkan untuk membeli produk itu akan digunakan untuk kepentingan 'keyahudian' antarabangsa. Kehebatan bangsa Yahudi masa kini tidak terlepas daripada apa yang disebut keluarga Rothschild sebagai tokoh Zionis seperti yang sedang heboh dibincangkan oleh kalangan ilmiah dan popular masyarakat antarabangsa hari ini.

Rothschild adalah dinasti Yahudi Bavaria (Jerman) yang bererti Perisai Merah. Dalam bahasa Inggeris disebut 'Red-Shield'. Dinasti Rothschild yang legenda dan sangat berkuasa hingga kini berawal dari sejarah Eropah pada abad ke-18 Masihi dengan kelahiran seorang bayi Yahudi Jerman yang kemudian diberi nama Mayer Amshell Bauer.

Mayer Amshell Bauer lahir pada 1743 di sebuah perkampungan Yahudi di Frankfurt, Bavaria. Ayahnya, Moses Amschell Bauer yang bekerja sebagai along dan tukang emas yang berpindah dari satu tempat ke tempat lain, dari kota yang satu ke kota lainnya. Bakat Moses sebagai along akan diteruskan dan dikembangkan oleh anak cucunya.

Kelahiran Mayer membuat Moses menghentikan aktiviti perniagaan yang selalu berpindah-pindah dan menetap di sebuah rumah agak besar di persimpangan Judenstrasse (Jalan Yahudi) di kota Frankfurt. Di rumah itu, Moses membuka usaha simpan-pinjam wangnya. Di pintu masuk kedainya, Moses menggantungkan sebuah perisai merah sebagai tanda dagangnya: Rothschild.

Sejak kecil Mayer Amshell dikenali sebagai anak yang cerdas. Dengan tekun si ayah mengajar Mayer segala pengetahuan mengenai perniagaan berasaskan ribanya. Moses juga sering menceritakan pengalaman dan pengetahuan yang diperolehnya dari pelbagai sumber. Pada 21 September 1769, upayanya mendekati pemerintah Inggeris membuahkan hasil. Pembesar negara, Wilhelm dengan senang hati memberikan restu atas kedainya. Rothschild pun memasang lambang principalitas Hess-Hanau di depan kedainya sebagai lambang restu dan perlindungan istana. Lambang itu bertuliskan huruf emas dengan kalimat 'M A Rothschild'. Dengan limpahan kurnia ditunjuk sebagai abdi istana daripada pembesar negara, Wilhelm von Hanau.

Pada 1770, ketika berusia 27 tahun, Rothschild menikahi Guetele Schnaper yang berusia 17. Daripada perkahwinannya, mereka dikurniakan 10 anak. Anaknya bernama Amshell III, Salomon, Nathan, Karlmann (Karl) dan Jacob (James). Kepada anak-anaknya, selain mendidik mereka dengan keras soal pengetahuan perbankan dan aneka pengalamannya, Rothschild I juga menanamkan kepada mereka keyakinan Talmudian (bukan Taurat) dengan intensif.

Frederich Morton, penulis biografi Dinasti Rothschild menulis, "Setiap Sabtu malam, selepas ibadat di Sinagoga, Amshell mengundang seorang rabbi ke rumahnya. Sambil duduk membongkok di kerusi hijau, mengunyah anggur, mereka berbincang sampai larut malam. Bahkan pada hari kerja pun Amshell sering dilihat membaca Talmud dan seluruh keluarga harus duduk dan mendengarkan dengan tertib?

Rotschild adalah keluarga Yahudi yang berpandangan Talmudian. Mereka sangat percaya bahawa tuhan, sesuai keyakinan dalam ayat Talmud yang memilih bangsa Yahudi sebagai manusia hebat, satu-satunya bangsa manusia, sedangkan orang lain yang bukan Yahudi adalah bangsa yang darjatnya sama dan setara dengan haiwan. Mereka sama sekali tidak peduli dengan orang lain, dan hanya peduli dengan kepentingan sesama Yahudi Talmudian. Kehebatan bangsa Yahudi disebut al-Quran dalam Surah al-Isra, ayat 6 yang bermaksud: "Kemudian Kami berikan kepadamu giliran untuk mengalahkan mereka kembali dan Kami membantumu dengan harta kekayaan dan anak-anak dan Kami jadikan kamu kelompok yang lebih besar." Kita alami kebenaran ayat al-Quran ini dan kita perhatikan bagaimana kekayaan dunia berada di tangan bangsa Yahudi dan semua kelompok berpengaruh di dunia hari bersatu mahupun bernaung di bawah panji keyahudian disedari atau tidak disedari. Salah satu buktinya adalah penduduk Gaza masih dipenjara oleh rejim Israel yang Yahudi. Wallahualam

AGAMA Ulul Albab: Kuasa besar dunia khianati penduduk Gaza
Oleh Abdurrahman Haqqi

Saturday, December 26, 2009

Puisi Pilihan - IBUKU

Ibuku ~ Usman Awang

IBUKU mempunyai seribu mimpi
Yang dipikulnya tiap hari
Sambil menimangku ia pun menyanyi:
Timang tinggi-tinggi,
Dapur tak berasap,
Bila besar nanti,
Jangan masuk lokap.

Ibuku tidak mengenal buku dan sekolah
Tiap pagi terbongkok-bongkok di lumpur sawah
Menggaru betisnya yang dikerumuni lintah.
Hatinya selalu teringat
Suaminya yang mati melarat
Setelah dikerumuni lintah darat

Ibuku tangannya kasar berbelulang
Mengangkat bata-bata bangunan
Wajahnya dibedaki debu berterbangan.
Ibu tidak pernah mengenal supermarket
Tinggal di bilik sempit
Upahnya buruhnya sangat sedikit

Ibuku tidak punya TV
Tidak berpeluang pula menontonnya
Tak pernah mengikuti laporan parlimen
Atau ceramah bagaimana menambah jumlah penduduk
Tidak pula tahu adanya forum kemiskinan
Atau pertunjukan masak-masakan
Dengan resepi yang sangat menakjubkan

Ibuku setiap pagi berulang ke kilang
Bekerja dengan tekun hingga ke malam
Mikroskop itu menusuk matanya dengan kejam
kaburlah mata ibu diselaputi logam

Ibuku tidak tahu tentang hak asasi
Apalagi tentang seni dan puisi.
Jika ditanya makna melabur
Nama-nama saham yang menjanjikan makmur
Atau tentang dasar pandang ke timur,
Ibu tersenyum menunjukkan mangkuk bubur
Yang melimpah kanji beras hancur

O ibuku sayang
Di negerimu kau menumpang.
Sesekali kudengar ibu menyanyi
Pantun tradisi caranya sendiri:
Siakap senohong,
Gelama ikan duri,
Bercakap bohong,
Tak boleh jadi menteri

Usman Awang

( Dipetik dari Puisi-puisi pilihan Usman Awang)

Rumahku Syurgaku



Artikel Pilihan
RUMAHKU SYURGAKU
Majalah Sinar Rohani, Mac 2002

Dalam keghairahan negara untuk mencapai matlamat pembangunan bangsa yang maju dan dinamik yang bersendikan pembangunan sains dan teknologi,tidak dapat dinafikan akan berlaku kesan-kesan sampingan atau pengaruhpengaruh negatif dari budaya asing yang boleh merosakkan anak muda serta menggugat kestabilan dan kecemerlangan bangsa. Gejala mungkar yang berlaku dalam masyarakat hari ini terutama di kalangan muda mudi seperti pergaulan bebas, penyalahgunaan dadah, mencuri, melepak, ‘vandalisme’ dan
sebagainya adalah di antara bukti yang jelas terhadap perlunya para ibu bapa
berusaha menanganinya.

Gejala-gejala seperti kerapuhan pegangan agama, kekosongan jiwa,kekurangan daya pemikiran di kalangan muda mudi, krisis rumah tangga,perilaku anak-anak yang liar, tiada pegangan hidup, tidak menghormati orang tua, lebih suka kepada kebebasan mutlak dan keseronokan serta hanyut dalam arus pengaruh kebudayaan asing yang lebih banyak merosakkan jiwa adalah akibat daripada kelonggaran disiplin dalam sistem kekeluargaan. Sehubungan dengan itu Wawasan 2020 telah memberi penekanan penting
mengenai perkara ini dengan menegaskan bahawa di antara cabaran-cabaran
yang mesti diatasi bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang benarbenar
berbudaya penyayang, adalah sebuah sistem sosial yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri, dengan kebajikan rakyatnya tidak diasaskan pada negara mahupun individu tetapi pada sistem kekeluargaan
yang kukuh lagi mantap.

Satu hal yang menjadi keyakinan umum bahawa kebajikan seseorang insan adalah berpunca daripada sistem kekeluargaan yang berlandaskan agama. Menerusinya akan wujudlah sebuah masyarakat yang berilmu, berakhlak dan berbudaya mulia yang kemudian akan membentuk satu sistem sosial yang mantap dan dapat mendepani pelbagai cabaran.

Konsep dan falsafah “Rumahku Syurgaku”

Konsep dan falsafah bagi mencapai matlamat rancangan Rumahku Syurgaku ini adalah berasaskan keapda syariat Islam yang merangkumi segenap aspek kehidupan. Di antara aspek-aspek yang ditekankan ialah membina kebahagiaan, meningkatkan daya intelek, mewujudkan suasana penghayatan Islam dan kedamaian dalam keluarga, penjagaan kesihatan, mewujudkan keselesaan dan keindahan dalam rumah, mengamalkan perhubungan yang baik dan berkesan serta membina sifat penyayang dan toleransi di kalangan anggota keluarga.

Membina Kebahagiaan

Kebahagiaan adalah suatu yang abstrak yang lahir dari hati seseorang. Tanda kebahagiaan antaranya dapat dilihat apabila seseorang itu berasa tenang, suka dan gembira. Ini dapat dinilai melalui raut wajah dan tingkah lakunya.Kebahagiaan adalah sesuatu yang amat penting kepada setiap insan. Ia menjadi suatu matlamat hidup seseorang di dunia mahupun di akhirat. Oleh itu mengapa setiap orang sanggup bersusah payah dan bermati-matian untuk mencari kebahagiaan. Sebaliknya kegagalan untuk mendapat kebahagiaan akan membawa kepada kekecewaan. Kita dapati, ramai orang menjadi gila kerana hidupnya tidak bahagia. Ada pula yang sanggup mati kerana gagal menemui kebahagiaan. Hakikatnya kemuncak kebahagiaan sebenar dalam hidup seseorang itu ialah apabila ia telah berjaya melakukan kebaikan atau amal soleh serta menghindari segala bentuk larangan yang telah ditetapkan oleh Islam. Ciri utama yang menjadi ukuran masyarakat yang bahagia ialah mereka yang patuh kepada suruhan Allah secara terus menerus dengan penuh khusyu’ .

Membina Intelek dan Meningkatkan Ilmu Pengetahuan

Hidup dalam erti kata yang diperintahkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran, antaranya ialah untuk tidak melupakan kehidupan dunia. Untuk tidak mengabaikan urusan nasib di dunia ini setiap umat Islam mestilah mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan daya intelek masing-masing. Dengan itu mereka dapat menjangkau pelbagaikeperluan,melepasi segala halangan dan rintangan serta mencapai ketinggian darjat menepati kehendak Islam sebagai agama yang tinggi. Kemuliaan Islam tidak memberi erti kalau kehidupan
umatnya tidak berkualiti. Ilmu pengetahuan itu mempunyai tiga kepentingan utama.

Pertama:
membentuk peribadi muslim supaya dapat menjalani suruhan agama dengan sewajarnya.

Kedua: membentuk sebuah umat yang kuat.

Ketiga:
mempertahankan kesucian dan ketinggian agama Islam. Sekiranya umat Islam tidak mempunyai ilmu pengetahuan, kesucian dan ketinggian agama Islam akanterjejas.

Mewujudkan suasana penghayatan Islam dalam keluarga

Islam telah meletakkan asas yang sempurna supaya rumah menjadi suatutempat yang selesa kerana kebahagiaan itu bermula di rumah. Untuk menjadikan rumah sebagai syurga maka aktiviti-aktiviti seperti mendirikan sembahyang secara berjemaah, membaca al-Quran, memberi salam ketika masuk dan keluar rumah dan sebagainya perlu dihidupkan bagi mewujudkan suasana yang harmoni di dalam sesebuah rumah tangga.
Mengekalkan kedamaian dan Kerukunan rumah tangga Rumah tangga bahagia ialah rumah tangga yang wujud unsur-unsur kedamaian dan keselesaan. Suami sebagai ketua keluarga berkewajipan memimpin isteri dan anak-anaknya menerusi kehidupan yang diredhai Allah SWT dengan memberi didikan agama dan menerapkan nilai-nilai murni kepada mereka.
Di antara unsur-unsur kedamaian di dalam rumah tangga ialah menanamkan sikap tolong menolong dan bantu membantu dalam keluarga,menjalinkan semangat kejiranan yang baik, menunaikan tuntutan fardhu kifayah,mengadakan aktiviti rekreasi dan sebagainya.Semuanya ini akan dapat mengeratkan lagi hubungan kasih sayang dan mewujudkan kemesraan dalam keluarga.

Mengukuh dan menjaga ekonomi rumah tangga

Tidak dinafikan bahawa wang dan harta merupakan satu keperluan dalam kehidupan berumah tangga, lebih-lebih lagi di zaman yang serba mencabar ini.Boleh dikatakan hampir keseluruhan keperluan hidup memerlukan wang. Oleh itu Islam menyuruh umatnya bekerja kuat mencari kehidupan yang kukuh dan maju supaya dunia ini dipenuhi dengan kemakmuran. Dalam memperkukuhkan kedudukan ekonomi rumah tangga, setiap keluarga mestilah menguruskan soal-soal perbelanjaan dengan jalan yang betul dan halal. Perkara-perkara yang menjadi tegahan agama seperti pembaziran,makan riba, rasuah, menipu, merompak dan sebagainya wajib dijauhi malahan Islam menyuruh umatnya supaya hidup bersederhana dan berjimat cermat serta mengutamakan keberkatan Ilahi. Rezeki yang diperolehi itu sepertiga daripadanya hendaklah dibelanjakan untuk maksud nafkah, satu pertiga untuk maslahat umur seperti zakat, sedekah dan seumpamanya dan sepertiga lagi adalah untuk tabungan atau simpanan untuk kegunaan di masa depan.

Mewujudkan keselesaan dan keindahan dalam rumah tangga

Rumah tangga adalah tempat sesebuah keluarga menikmati hidup. Keselesaan dalam rumah amat mustahak kerana kebahagiaan keluarga itu bermula di rumah. Kebersihan di dalam rumah akan melahirkan suasana yang harmoni dan sejahtera kerana kebanyakan gejala sosial hari ini adalah berpunca dari kepincangan rumah tangga dan keadaan rumah yang tidak terurus.

Berkomunikasi secara baik

Hubungan antara individu dalam keluarga adalah penting untuk menjamin keharmonian di dalam rumah tangga. Aspek hubungan antara individu atau komunikasi ini amat dititikberatkan oleh Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud: “mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia...”. (ali-Imran: 112)

Di dalam ayat di atas jelas menunjukkan unsur berhubungan amatlah penting untuk menjamin manusia mencapai kebahagiaan. Dalam mencapai tahap kesempurnaan sesebuah keluarga, setiap ahli keluarga hendaklah memahami diri dan peranan masing-masing serta menjalankan kewajipannya.Manakala bagi mengekalkan dan meningkatkan hubungan baik dalam keluarga pulak, aspek kemahiran komunikasi adalah sangat penting. Kebanyakan orang tidak peka dengan keperluan ini dan tidak mengambil inisiatif untuk memahami setiap permasalahan yang timbil dalam keluarga sedangkan pendekatan ‘hikmah’
seperti toleransi, pemaaf dan sebagainya amat dituntut oleh syarak.

Memupuk kasih sayang dalam keluarga

Kasih sayang dalam keluarga adalah penting. Elemen ini perlu wujud dan disuburkan dalam sesebuah keluarga bagi melahirkan kedamaian, kesejahteraan dan kebahagiaan. Banyak cara boleh dilakukan bagi mewujudkan perasaan kasih sayang dalam keluarga. Di antaranya ialah melalui didikan yang sempurna. Selain pendidikan secara formal yang diterima di sekolah, anak-anak juga perlu dibentuk dan ditanamkan dengan perasaan kasih sayang dan semangat kerjasama, tunjuk ajar, nasihat dan kaunseling yang membina. Lebih daripada itu anak-anak bukan sahaja perlu diajar supaya saling menyayangi sesama ahli keluarga, malah merasa sayang terhadap binatang peliharaan dan harta benda.Mereka hendaklah selalu diingatkan bahawa Allah SWT sangat suka kepada orang-orang yang mempunyai perasaan kasih sayang, suka bekerjasama dan
tolong menolong sesama sendiri.

Sebaliknya Allah SWT benci kepada orang-orang yang sering bergaduh,bermusuh-musuhan, tidak mahu bekerjasama dan benci-membenci sesama sendiri. Sekiranya berlaku perkara perkara yang boleh merosakkan hubungan kasih sayang di dalam sesebuah keluarga, setiap ahlinya terutama sekali para ibu bapa hendaklah segera mencari jalan penyelesaian.

Sesungguhnya kasih sayang adalah sangat penting dalam sesebuah keluarga. Sekiranya dalam sesebuah keluarga itu tidak wujud satu ikatan yang baik dan harmoni, maka masyarakat akan menjadi pincang, lantas bangsa dan negara menjadi lemah. Apabila situasi ini berlaku kemajuan tidak akan dapat dicapai dan masyarakat penyayang tidak dapat diwujudkan.

Kesimpulan

Rumahmu Syurgaku adalah satu wawasan negara yang berteraskan ajaran yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Rumah tangga sebagai satu komponen utama dalam pembentukan sesebuah masyarakat mestilah disempurnakan melalui piawai yang bersesuaian dengan ajaran Islam yang mengimbangkan antara keperluan rohani dan jasmani manusia. Bagi mencapai maksud syurga bagi sesebuah rumah tangga, maka semua petunjuk dan ajaran yang disebutkan perlulah diikuti dan dipatuhi dengan sebaik mungkin. Hal ini memerlukan perancangan yang rapi dan sikap yang positif di mana sesiapa yang gagal memenuhi disiplin dan peraturan-peraturan tersebut, maka rumah
tangganya belum berjaya mencapai tahap kebahagiaan sebagaimana yang dituntut oleh Islam.

Friday, December 25, 2009

Keimanan Asas Perpaduan Paling Bermakna



Wan Roslili Binti Majid,
Pegawai Penyelidik Kanan

26/05/2009 | Berita Harian

Dalam salah satu ayat-Nya, Allah s.w.t. mengingatkan hamba-hamba-Nya yang beriman supaya sentiasa berpegang teguh pada tali-Nya, iaitu al-Qur'an serta agama Islam selain melarang mereka agar tidak sekali-kali berpecah-belah (Surah Ali `Imran 3 : 103). Larangan bersengketa dan berpecah-belah ini menunjukkan kepentingan kesatuan dan jamaah kerana tindakan berpegang pada agama Allah secara bersendirian juga tidak akan membawa sebarang manfaat. Kesatuan yang ditekankan ini sekali gus menolak sifat taksub dan kebanggaan terhadap kabilah, bangsa, kaum dan warna kulit kerana insan yang paling mulia di sisi Allah bukan dinilai pada semua ciri tersebut bahkan sebaliknya semata-mata pada ketaqwaan mereka. Ketaqwaan inilah yang akhirnya pula membentuk kesatuan yang teguh di kalangan anggota ummah.

Dalam hubungan ini, Pujangga Iqbal (1877 - 1938) pernah mengemukakan falsafah pembentukan ketaqwaan diri setiap insan yang akhirnya dapat membentuk kesatuan antara mereka. Menurut Iqbal, setiap orang mengisi peribadinya dengan ketaqwaan lalu setiap seorang daripada insan yang bertaqwa itu meleburkan dirinya dalam diri (Zat) yang Agung, iaitu Allah s.w.t. Maka dengan yang demikian, setiap diri bergabung menjadi satu kerana kesatuan kepercayaan, malah matlamat kesatuan mereka juga sama, iaitu kerana Allah s.w.t. Di dunia mereka memperoleh kemenangan, sehingga dapat melaksanakan amanah serta kewajipan yang dipikul, iaitu sebagai khalifah Allah yang memakmurkan bumi dengan sebaik-baiknya.

Dalam ayat yang sama itu juga, Allah s.w.t. menegaskan seterusnya bahawa Dia mengurniai hamba-hamba-Nya yang beriman itu, nikmat yang amat bermakna, iaitu persaudaraan dan kesatuan antara mereka. Bahawa mereka sebelumnya, iaitu pada zaman jahiliah saling bermusuhan antara satu dengan yang lain, dan dengan nikmat Islam itulah hati mereka disatukan oleh Allah s.w.t. Sesungguhnya kesatuan dan persaudaraan menghimpunkan segala kebaikan dan kesejahteraan, sebaliknya perpecahan, pemusuhan dan kebencian menghancurkan kebaikan yang tercipta selain menyebabkan tenaga serta jiwa disia-siakan begitu sahaja. Contoh terbaik dapat dilihat pada apa yang berlaku pada kabilah seperti `Aus dan Khazraj yang sentiasa bersengketa dan berperang sesama sendiri. Kedua-dua kabilah ini pernah terlibat dalam sebuah peperangan yang berlarutan selama 120 tahun dan sedemikian banyak nyawa yang terkorban dengan sia-sia.

Namun, apabila datangnya Islam yang dibawa oleh Nabi s.a.w., segala bentuk persengketaan, kebencian, pemusuhan dan perbalahan berjaya dipadamkan begitu sahaja. Ini kerana, mereka diajar oleh Nabi s.a.w. tentang persaudaraan yang melewati batasan kaum, kabilah serta keluarga. Demikian juga mereka dididik supaya saling kasih-mengasihi, bantu-membantu, kuat-menguatkan, mudah memaafkan dan melupakan kesalahan yang dilakukan, sentiasa rela berkorban dan mengutamakan kepentingan saudara-saudara mereka melebihi diri mereka sendiri. Persaudaraan atas dasar keimanan yang menjadi ikatan antara mereka itulah yang membolehkan mereka lahir sebagai masyarakat teladan sepanjang zaman. Mereka juga melakar kejayaan amat penting dan membantu usaha Nabi s.a.w. dalam membina sebuah masyarakat serta negara yang utuh lagi ampuh seperti Madinah dari segenap sudut; kemasyarakatan, siasah, pertahanan dan ketenteraan, ekonomi dan sebagainya.

Jelaslah bahawa asas yang paling utuh dan bermakna bagi perpaduan serta kesatuan yang mahu dibentuk hanyalah keimanan. Perpaduan atas dasar tauhid ini akan kekal bertahan selama-lamanya kerana ia dihubungkan secara langsung kepada Yang Maha Berkuasa. Dengan yang demikianlah juga kita dapat melihat bagaimana masyarakat dalam sesebuah negara yang cuba disatukan atas asas yang lain selain keimanan, misalnya asabiyyah, akhirnya akan mengalami bibit-bibit perpecahan dan akhirnya runtuh sama sekali. Dalam hubungan ini, barangkali kita dapat mengambil pengajaran daripada peristiwa yang menimpa Bani Umayyah pada zaman-zaman kelemahan dan keruntuhannya, iaitu pada zaman pemerintahan al-Walid II bin Yazid (125H./743M.) hingga zaman Marwan II bin Muhammad (127-132H./744-50M.).

Selain memiliki keperibadian, akhlak dan kecenderungan yang buruk serta tidak menjalankan tugas pemerintahan dengan penuh tanggungjawab, al-Walid II bin Yazid, khalifah Bani Umayyah ke-11 misalnya juga mengamalkan dasar-dasar yang memihak kepada orang Arab lalu menimbulkan permusuhan serta perpecahan di kalangan rakyat. Pada hakikatnya, Khalifah `Umar bin `Abdul `Aziz yang terkenal dengan kegemilangan dasar pemerintahannya telah cuba mewujudkan keamanan dan kestabilan serta menghapuskan dasar perkauman yang telah diamalkan sebelum baginda, iaitu antaranya dengan menggalakkan perkahwinan antara orang Arab dengan bukan Arab. Namun, keadaan kembali sebagaimana sebelumnya, apabila beliau meninggal dunia.

Demikian juga dengan Khalifah Yazid III bin al-Walid yang memperlihat kecenderungan terhadap suku tertentu seperti Yaman dan khalifah-khalifah sebelumnya pula menunjukkan kecenderungan untuk berpihak kepada suku Qais (suku Yaman dan Qais merupakan orang Arab yang berasal dari Syria). Pada zaman pemerintahan Marwan II bin Muhammad, beliau kembali mengamalkan dasar yang memihak kepada suku Qais dan keadaan tersebut menimbulkan permusuhan yang lebih sengit antara suku Qais dengan suku Yaman. Selain itu, Kerajaan Bani Umayyah pada zaman kejatuhannya juga terpaksa menghadapi siri pemberontakan, ancaman dan penentangan oleh pelbagai wilayah, iaitu Syam, Jazirah, Iraq, Mesir, Yaman dan Khurasan. Penduduk Khurasan misalnya membuat beberapa tuntutan kepada Kerajaan Bani Umayyah, antaranya termasuklah kerajaan perlu mengamalkan ajaran Islam tanpa wujud diskriminasi antara Arab dengan bukan Arab dan kerajaan tidak wajar sama sekali menghalang pemaduan antara orang Arab dengan bukan Arab di Khurasan.

Di samping semua kelemahan dan dasar yang merugikan ini, Kerajaan Bani Umayyah juga bertindak mewujudkan dasar yang membeza-bezakan golongan mawali (bukan Arab) dengan orang Arab, khususnya dalam bidang ketenteraan. Tiada satu pun jawatan tinggi atau rendah yang diberikan kepada golongan mawali. Malah semua tentera Arab didaftar dan dibayar gaji manakala golongan mawali hanya berkhidmat sebagai tentera infanteri dan tidak didaftar di dalam diwan (Jabatan Tentera) dan tidak dibayar gaji.

Pada hari ini, kita masih lagi dapat melihat bagaimana sifat asabiyyah terhadap bangsa dan kaum menyelubungi umat Islam, khususnya di dunia Arab dan disebabkan sifat asabiyyah itulah persoalan kesatuan serta perpaduan kelihatan seolah-olah hanya tinggal sebagai impian kosong. Amat menyedihkan juga kerana sifat asabiyyah itulah juga yang mendorong berlakunya pertelagahan dan perbalahan yang tidak sewajarnya, termasuk dalam keadaan yang genting seperti dalam soal untuk menghentikan penindasan dan kekejaman terhadap umat Islam, misalnya di Palestin. Bagi Malaysia sendiri, pengalaman yang dilalui oleh masyarakat silam dan zaman kini, harus dijadikan panduan. Sememangnya kesatuan dan perpaduan begitu penting untuk dicapai bagi menjamin keamanan serta kestabilan. Namun harus disedari bahawa akar yang mengasaskan kesatuan itulah yang akan menentukan hala tuju serta kesudahannya, iaitu sama ada ia akan kekal berdiri dengan utuhnya atau hanya berupaya bertahan untuk tempoh waktu yang tertentu cuma.

http://www.ikim.gov.my

Keberkatan Hidup Berteraskan Taqwa



Abu Bakar bin Yang
Fellow

13/11/2009 | Utusan Malaysia

Secara mudahnya perkataan atau konsep taqwa boleh didefinisikan sebagai pengabdian yang menyeluruh seseorang hamba kepada Tuhannya. Dari sudut kaedah al-Quran, taqwanya manusia terhadap Allah digerakkan oleh empat faktor asas iaitu takut, harap, sabar dan syukur. Takut kepada siksa Allah sekiranya melanggar batas-batas yang ditetapkan oleh Allah; sentiasa mengharap rahmat dan nikmat Allah; sabar terhadap percubaan-percubaan yang datangnya dari Allah; dan syukur terhadap kurniaan-kurniaan Allah.

Dalam kehidupan, manusia tidak dapat lari berdepan dengan keempat-empat faktor ini dan menangani keempat-empat faktor ini sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam. Namun, besar kemungkinan perkataan "taqwa" adalah satu perkataan yang paling kerap disebut dan mungkin paling kerap disalahertikan.

Sekiranya kita merujuk kepada surah al-Baqarah, ayat 208 yang mafhumnya : "Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam sepenuhnya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu." Maka jelas kepada kita bahawa pengabdian diri secara menyeluruh dalam Islam merupakan pra-syarat bagi membolehkan diri manusia menggunakan label "orang yang beriman."

Ayat ini dengan jelas memberitahu kepada kita bahawa salah satu syarat yang wajib dipenuhi bagi membolehkan orang-orang yang mengaku diri mereka Islam dikenali sebagai "orang-orang yang beriman" ialah dengan mengikut sepenuhnya ajaran Islam yang mencakupi semua aspek kehidupan seperti politik, ekonomi, perundangan, sosial, pendidikan, akhlak dan sebagainya.

Adalah sesuatu yang janggal dengan tuntutan Islam sekiranya seseorang individu, sesebuah masyarakat atau negara mengamal sebahagian peraturan atau hukum Islam dan sebahagian yang lain adalah dari peraturan atau hukum bukan Islam. Ini bererti mencampur adukkan di antara yang haq dengan bathil.

Selain itu, ayat di atas juga memperlihatkan kepada kita dengan jelasnya bahawa mengamalkan sebahagian sahaja dari Islam adalah pada hakikatnya merupakan "langkah-langkah" atau "kaedah-kaedah" yang dilakukan oleh syaitan dan syaitan adalah musuh yang nyata bagi orang-orang yang beriman.

Ini juga bermakna pengabdian seseorang yang beriman kepada Tuhannya mestilah bersifat menyeluruh. Tidak ada ruang dalam hati orang yang beriman untuk meragui kebenaran suruhan dan larangan Allah. Meragui akan kebenaran dan suruhan Allah walaupun sebesar zarah bererti juga mengikuti atau terjebak dengan perangkap syaitan yang sentiasa membisikkan ke dalam hati manusia keraguan terhadap kebenaran syariat Ilahi.

Kenapakah faktor ketaqwaan begitu dititikberatkan dalam Islam? Salah satu jawapannya ialah ianya berkait rapat dengan faktor keadilan. Keadilanlah yang membuahkan kehidupan yang seimbang, tersusun, tenang dan harmoni. Tersisihnya faktor keadilan dalam kehidupan manusia bererti kehidupan manusia digerakkan oleh faktor yang berlawanan dengannya iaitu kezaliman.

Apabila kezaliman yang mentakrif kehidupan manusia maka kehidupan masyarakat tidak lagi seimbang kerana secara definisinya zalim bererti "meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya." Maka dengan ini dapatlah difahami betapa pentingnya faktor ketaqwaan dijadikan batu asas kepada masyarakat manusia, malah tujuan terpenting manusia dilahirkan ke dunia adalah untuk bertaqwa kepada Allah.

Hal ini dapat difahami kerana memang matlamat penting bagi kehidupan "orang-orang yang beriman" ialah untuk bertaqwa kerana sekiranya pengakuan dibuat bahawa suatu kaum atau golongan itu mengaku bahawa mereka beriman tetapi tidak bertaqwa dalam ertikata tidak takut dan patuh kepada seluruh ajaran Allah, maka pada hakikatnya mereka tidak beriman.

Manusia pada hakikatnya adalah hamba Allah, dan sebagai seorang hamba adalah mustahil baginya untuk tidak mematuhi ajaran dan suruhan tuannya iaitu Allah. Sifat seorang hamba ialah mendengar dan mematuhi seluruh ajaran dan arahan tuannya. Kepatuhan yang menyeluruh seorang hamba kepada Penciptanya tidak akan membawa kepada kezaliman atau ketidakadilan.

Kepatuhan yang menyeluruh yang melahirkan sifat ketaqwaan dalam diri manusia seterusnya melahirkan keadilan dalam kehidupan manusia, dan keadilan yang membuahkan kejayaan atau kemenangan (alfalah) kepada masyarakat manusia. Seterusnya, keadilan yang wujud dari ketaqwaan tadi akan meresap masuk ke dalam aspek kehidupan yang lain seperti keadilan dari segi politik, ekonomi, sosial dan seluruh ruang lingkup kehidupan.

Sebagai contoh, sistem politik yang adil yang diasaskan kepada perkiraan ketaqwaan adalah sistem politik yang bebas dari penyalahgunaan kuasa. Kuasa yang digunakan adalah semata-mata untuk mencari keredhaan Allah bukan keredhaan manusia. Sistem politik yang adil adalah sistem yang menggunakan kuasanya bagi menegakkan yang haq dan memerangi yang bathil, menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar.

Begitu juga dengan sistem ekonomi yang adil. Kekayaan anugerah Allah adalah bagi tujuan meringankan beban yang dipikul oleh golongan yang kurang bernasib baik dalam masyarakat. Harta kekayaan sama juga dengan kuasa adalah anugerah dan amanah kepada manusia. Ini bukan milik manusia secara mutlak. Sistem ekonomi Islam yang adil mempunyai asas pengagihan yang luas dalam ertikata kekayaan yang Allah anugerahkan tidak boleh berlegar di sekitar sekumpulan kecil manusia sahaja, sedangkan dalam masa yang sama sebahagian besar manusia tidak mendapat manfaat darinya.

Sebagai contoh, apa yang berlaku di dunia hari ini ialah segolongan kecil manusia yang mempunyai kekayaan yang banyak ini mempergunakan kekayaan ini bukan pada jalan yang dituntut oleh Allah. Pembaziran dan rasuah berlaku secara berleluasa. Sistem ekonomi yang diamalkan adalah juga sebahagian besarnya masih lagi berteraskan riba yang dilarang sekeras-kerasnya oleh Islam. Akibatnya, berlakulah penindasan, penipuan, kezaliman dan sebagainya yang akhirnya membawa kebinasaan kepada manusia itu sendiri.

Apa yang jelas dalam amalan kehidupan masa kini ialah suatu yang sangat berlawanan dengan tuntutan taqwa. Di mana, berlawanan dengan sifat taqwa itu ialah derhaka, menentang, mempersenda dan meragui ajaran dan peraturan Allah. Sifat derhaka akan melahirkan ketidakadilan atau kezaliman, dan sebarang sistem hidup yang tidak berlandaskan kepada ketaqwaan akan melahirkan ketidakadilan dan seterusnya akan melahirkan kerosakan di atas muka bumi ini.

Sementara di peringkat antarabangsa pula, sistem politik, ekonomi dan sosial ciptaan manusia yang diamalkan telah melahirkan ketidakadilan dan kezaliman khususnya terhadap orang-orang Islam. Amerika Syarikat, kuasa besar dunia yang mendabik dada yang kononnya mengamalkan demokrasi telah bersifat hipokrit terhadap orang-orang Islam dan secara tidak langsung membuat rancangan-rancangan jahat bagi menghancurkan Islam. Dengan kekuatan yang dimilikinya, Amerika Syarikat berdiri teguh di belakang rejim haram Yahudi yang telah memporak perandakan kehidupan orang-orang Palestin yang diusir dari kampung halaman mereka sendiri.

Pencerobohan Amerika Syarikat terhadap Iraq dan Afghanistan serta kecaman-kecaman keras yang dikeluarkan olehnya terhadap beberapa buah negara Islam yang lain menjadi petanda jelas bahawa keangkuhan Amerika Syarikat bukan hanya untuk memerangi orang-orang Islam, tetapi juga kerakusannya terhadap hasil bumi yang dimiliki oleh negara-negara Islam. Bukankah ini menjelaskan kepada kita betapa sistem hidup yang dicipta oleh manusia sebenarnya satu sistem yang tidak adil, yang penuh dengan ciri-ciri kezaliman, penindasan, keangkuhan, bermuka-muka dan serba kekurangan.

Oleh itu, adalah sesuatu yang tidak menghairankan sekiranya sistem demokrasi tajaan Barat juga digunakan secara halus untuk menyekat kebangkitan Islam. Dalam negara di mana sebahagian besar rakyatnya inginkan kepada Islam maka demokrasi dipastikan tidak beroperasi dan kuasa ketenteraan digunakan.

Apa yang jelas di sini ialah sistem demokrasi ciptaan Barat telah melahirkan kezaliman dalam masyarakat, dan bagi kita orang Islam hanya sistem ciptaan Allah sahajalah yang mampu melahirkan suasana ketaqwaan dan keadilan serta menjana kejayaan dan kemenangan kepada kehidupan manusia di dunia dan di akhirat.

Keadaan ini seharusnya menyedarkan kita betapa berbahayanya sifat zalim dalam kehidupan manusia. Maka atas kesedaran ini kita mesti menolak sebarang sistem yang zalim sama ada ianya berbentuk ideologi ataupun sistem kehidupan. Sekiranya telah jelas akan kepincangan yang terdapat pada ideologi dan sistem kehidupan yang diasaskan kepada pemikiran manusia, namun kita masih lagi meyakini dan cenderung kepadanya, maka wajar kita digolongkan dalam golongan manusia yang zalim.

Oleh itu setelah menyedari betapa ruginya untuk menjadi seorang yang zalim dalam ertikata menentang syariat Allah, maka adalah lebih baik dan wajar bagi kita sebagai manusia mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah, kerana hanya dengan taqwa sahajalah yang boleh menjamin kebahagiaan dan kemenangan manusia di dunia dan juga di akhirat.

http://www.ikim.gov.my

Thursday, December 24, 2009

Masa singkat tanda kiamat..???

ARKIB : 22/12/2009 Utusan Malaysia

MEGA: Masa berlalu amat pantas. Rasanya baru sangat kita menyambut Maal Hijrah 1430. Kini kita sudah berada dalam tahun 1431H. Apakah tanda atau maksud masa yang terlalu pantas ini?

ZURIDAN: Tanpa kita disedari masa berlalu begitu pantas. Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Kini kita berada di ambang tahun baru Hijrah 1431 dan tahun Masihi 2010.

Pada hakikatnya fenomena kepantasan waktu adalah suatu petanda bahawa dunia sudah semakin di penghujung usianya. Ini telah dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a, baginda bersabda: "Tidak akan berlaku kiamat sehingga masa menjadi singkat, maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api". (riwayat Tarmizi)

Dengan beralihnya kita ke dalam tahun baru, kerisauan sepatutnya dihadirkan dalam diri dengan seribu macam persoalan tentang masa depan kita.

Bukan sahaja masa depan hidup di dunia ini tetapi masa depan di akhirat kelak kerana ia adalah destinasi terakhir kita sebagai manusia. Pelbagai soalan perlu diajukan.

Apakah sudah cukup amalan kita? Apakah sudah tertebus dosa kita? Apakah layak kita menjadi penghuni syurga? Apakah mampu kita menahan malu di padang mahsyar apabila segala rahsia keburukan kita dipamerkan secara terperinci oleh Allah dan apakah sanggup kita menahan seksaan azab api neraka-Nya?

Allah berfirman di dalam surah al-Hasyr ayat 18-20 yang bermaksud: (Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang Telah dilakukannya (sebagai persiapan) untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri , mereka Itulah orang-orang yang fasiq. Tidaklah sama penghuni-penghuni neraka dengan penghuni-penghuni syurga; penghuni-penghuni syurga itulah mereka yang benar-benar beruntung).

Apa pula maksud yang tersirat daripada sambutan Maal Hijrah setiap tahun?

ZURIDAN: Insaflah! Bahawa berlalunya masa bermakna semakin tualah usia kita. Lihatlah tubuh kita yang suatu masa dahulu begitu cergas tetapi kita pergerakan sudah menjadi lambat.

Rambut kita, dahulunya hitam kini sudah ada kilauan warna putih beruban. Kulit kita, dulunya tegang tetapi kini sudah menampakkan kedutannya.

Bermulanya tahun baru bermakna semakin tualah usia dunia dan semakin hampirlah saat ketibaan hari kiamat. Jika lahirnya Nabi Muhammad SAW adalah sebagai tanda bermulanya akhir zaman, kini baginda SAW telah semakin lama meninggalkan yang memberi makna usia dunia pastinya benar-benar sangat lanjut.

Ini lebih nyata dengan pelbagai siri perkara aneh yang berlaku dan berbagai bencana alam yang tidak terduga berlaku. Seluruh dunia dalam tahun 1430 Hijrah menyaksikan pelbagai kejadian bencana alam yang tidak terkawal.

Begitu juga dengan kejadian jenayah, pembunuhan dan peperangan yang seolah-olah tiada noktahnya.

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Hari kiamat tidak akan terjadi sehingga melimpah ruah harta benda dan timbul fitnah (ujian kepada keimanan) dan banyak berlaku al-Harj. Sahabat bertanya, Apakah al-Hajr itu hai Rasulullah? Nabi menjawab, peperangan demi peperangan demi peperangan". (riwayat Ibnu Majah)

Justeru, apa sewajarnya sikap kita dalam mempersiapkan diri bertemu Allah SWT?

ZURIDAN: Masa yang menjadi semakin singkat ini tidak sewajarnya dibiarkan begitu sahaja. Lihat peringatan Allah dalam surah al-Asr di atas.

Suasana umat Islam hari ini seolah-olah lebih cenderung memenuhi kehidupan mereka dengan keseronokan dan hiburan. Sebaliknya tidak berminat dengan aktiviti lebih bermanfaat seperti beribadat di masjid ataupun menuntut ilmu.

Ini dapat dilihat apabila masjid-masjid sentiasa suram dengan penghuninya sebaliknya tempat-tempat hiburan sentiasa penuh dengan pengunjungnya.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Dua nikmat yang selalu diabaikan oleh ramai manusia iaitu kesihatan dan masa lapang. (riwayat Imam Bukhari).

Masa dalam kehidupan seorang muslim sangat penting. Ia lebih penting daripada wang ringgit. Oleh itu setiap waktu dalam kehidupan muslim sentiasa dikaitkan dengan ganjaran jika dilaksanakan amalan tertentu.

Waktu fajar umpamanya dikaitkan dengan dua rakaat solat sunat yang lebih baik dari nilai dunia dan isinya. Waktu tengah malam pula ialah saat afdalnya munajat kepada Allah SWT.

Bagi seorang muslim masa di dunia adalah waktu untuk bersusah payah dahulu mengumpul bekalan sebelum mengecapi kegembiraan di akhirat kelak!

Masa sepatutnya digunakan sebaiknya kerana ia sesuatu yang tidak dapat dikembalikan semula. Hayatilah sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa lapang sebelum sempit dan masa senang sebelum susah". (riwayat Al-Hakim).

Malangnya kita jarang bertanya perkara seperti berapa kalikah aku meninggalkan solat pada tahun ini? Apakah puasaku cukup? Apakah aku pernah bangun malam menangisi dosaku di hadapan Allah?

Apakah aku membaca al-Quran dan berapa kali aku membacanya dalam seminggu? Apakah aku benar-benar rasa nikmat menjadi Muslim? Apakah aku sudah bertaubat dari dosa-dosa besar yang telah aku lakukan?

Seharusnya perkara begini turut menjadi keutamaan kita setiap kali menyambut tahun baru.

Begitu hebat kepentingan menjaga masa. Malangnya ramai yang menganggap tunggulah bila dah tua baru nak beribadat. Bagaimana membetulkan persepsi begini?

ZURIDAN: Masa muda, ia adalah saat tubuh badan masih kuat dan fikiran masih segar, maka gunakanlah ia untuk melaksanakan ibadah dan menuntut ilmu. Bukannya digunakan untuk berseronok atau hanya berhibur seperti mana yang banyak berlaku hari ini.

Apabila sudah tua pastinya pergerakan semakin perlahan dan kebolehan menuntut ilmu semakin lemah dan kekuatan untuk melaksanakan ibadah semakin sedikit.

Diriwayatkan bahawa malaikat maut datang bertemu Nabi Yaakub a.s. Maka Nabi Yaakub bertanya: "Wahai malaikat maut apakah kamu datang kepadaku kerana ingin mencabut nyawa atau menziarahiku? Jawabnya: Untuk menziarahmu sahaja. Berkata Nabi Yaakub: Aku ada satu permintaan darimu. Bertanya malaikat maut: Apakah permintaanmu? Jawab Nabi Yaakub: Jika kamu datang untuk mencabut nyawaku maka hantarkanlah dahulu utusan untuk memaklumkanku terlebih dahulu. Kata malaikat maut: Ya! Kemudian malaikat maut pun pergi. Setelah beberapa tahun malaikat maut datang kembali kepada Nabi Yaakub. Lalu Nabi Yaakub bertanya: Kamu datang untuk menziarah atau mencabut nyawaku? Kata malaikat maut: Aku datang untuk mencabut nyawamu. Lalu kata Nabi Yaakub: Bukankah aku telah katakan jika kamu ingin mencabut nyawaku hantarkan dahulu seorang utusan supaya dapat aku bersedia menambah ketaatan dan amal kebaikan. Jawab malaikat maut: Aku telah lakukannya. Kata Nabi Yaakub: Tiadapun utusan yang sampai kepadaku. Jawab malaikat maut: Sesungguhnya aku telah mengutuskan dua utusan iaitu uban di kepalamu dan belakangmu yang bongkok".

Masa juga mestilah dipelihara ketika kita melaksanakan kerja dan tugas harian. Sebagai muslim menghargai masa dan menepatinya adalah satu kewajipan manakala tidak menepatinya adalah satu dosa kerana ia adalah tanda sifat munafik.

Apa yang berlaku dewasa ini ialah meremehkan masa dan selalu lambat yang semakin menular di kalangan umat Islam. Pada masa ini orang Arab sering dikaitkan sikap lambat, suka bertangguh, tidak tepati janji dan begitu juga dengan masyarakat Melayu hingga munculnya ungkapan 'janji Melayu'.

Penyakit lambat ini memberi imej yang tidak baik kepada Islam itu sendiri kerana bangsa Arab dan bangsa Melayu adalah sinonim dengan Islam. Contohnya di tempat kerja, suasana lambat menghadiri mesyuarat, lambat memulakan sesuatu majlis dan lambat menyiapkan tugasan adalah menjadi lumrah.

Budaya lambat ini adalah gambaran kemalasan dan kelembapan dan biasanya budaya inilah yang membantutkan kemajuan. Lihat sahaja apa yang berlaku di pejabat-pejabat kerajaan mahupun swasta. Amat susah melihat sesuatu mesyuarat dimulakan tepat pada waktunya.

Malah ada sesetengah tempat, masa yang tercatat sengaja diawalkan kerana sudah sedia maklum pasti akan berlaku kelewatan dalam memulakan sesuatu majlis.

Pelaburan: Proses membina harta

ARKIB : 23/12/2009 Berita Harian

Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN

HARTA adalah amanah Allah yang dipinjamkan kepada manusia sebagai wasilah untuk mencapai kehidupan yang diberkati.

Islam mengajar manusia mempunyai pandangan yang betul terhadap harta agar menerusi harta, manusia dapat menikmati bahagia dan bukannya bencana.

Islam memperakui keperluan manusia kepada harta dan kerana itulah harta dipandang mulia di sisi Islam. Malah, Islam menggalakkan umatnya memiliki, menghasil dan menggunakan harta dengan baik dan bijaksana.

Dalam Islam, harta merupakan wasilah untuk manusia menikmati keselesaan hidup, untuk mencapai takwa. Di sebalik itu, Allah juga menganugerahkan harta kepada manusia untuk menguji manusia itu sama ada bersyukur atau sebaliknya.

Ini sebagaimana yang ditegaskan Allah yang bermaksud: Dan ketahuilah bahawa hartamu dan anak-anakmu hanya sebagai ujian dan sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang besar. (al-Munafiqun: 9)

Di samping itu, dengan memiliki harta semata-mata tanpa diurus dan dibangunkan untuk kesejahteraan manusia sejagat adalah bertentangan dengan yang dituntut oleh Islam.

Ini kerana dari satu sudut yang lain, Islam menggariskan agar umat manusia berusaha bersungguh-sungguh untuk membangun dan membina kehidupan yang bahagia dan harmoni. Ia sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Dia yang menghidupkan kamu di muka bumi ini dan memerintahkan supaya kamu membangun dan membina kehidupan yang harmoni di atasnya. (Hud: 61)

Manfaat

Malah Islam menyeru agar menjadikan kehidupan ini dapat memberi manfaat kepada orang lain sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sebaik-baik kamu adalah yang paling banyak memberi manfaat”.

Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap dan sempurna memerintahkan agar harta dan diuruskan dengan baik dan bijaksana kerana jika sebaliknya harta boleh menyebabkan kemusnahan manusia dan kemurkaan Allah.

Firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya bagi penduduk Saba' di negeri mereka ada suatu tanda kekuasaan Allah iaitu dua bidang kebun, di sebelah kanan dan di sebelah kiri (dikatakan kepada mereka): Makanlah rezeki Tuhanmu dan bersyukurlah kepada-Nya. (Inilah) negeri yang baik dan Tuhan yang pengampun. Kemudian mereka menderhaka kepada Allah, lalu kami kirimkan kepada mereka banjir dan kami tukarkan kedua-dua kebun mereka dengan buah-buahan yang pahit dan pohon-pohon yang tidak berbuah. (Saba’: 15-16)

Demikian juga beberapa firman-Nya yang lain seperti dalam surah al Nisaa’ ayat 10 dan surah an-Nisaa’ ayat 161.

Pelaburan adalah salah satu kaedah menghasil dan mengembangkan harta. Dalam ilmu pengurusan harta secara Islam menggariskan, Penghasilan Harta (Wealth Creation) sebagai satu asas permulaan seseorang dalam interaksinya dengan harta.

Tidak dinafikan, harta perlu dicari dan tidak hanya pasrah pada qada dan qadar seperti di dalam firman Allah yang bermaksud: Maka apabila telah ditunaikan sembahyang, bertebaranlah kamu dimuka bumi dan carilah kurnia (rezeki) Allah dan ingatlah akan Allah sebanyak-banyaknya, mudah-mudahan kamu menang. (al-Jumuah: 10)

Malah dari sudut yang lain setelah dicari, harta itu perlu pula dikembangkan. Adalah tidak wajar jika harta yang kita ada disimpan begitu saja tanpa mengembangkannya.

Nabi Muhammad SAW dan khulafah Al Rashidin telah melakukan pelaburan dengan mengembangkan harta-harta zakat seperti unta, lembu dan kambing.

Ini memandangkan binatang-binatang tersebut mempunyai potensi yang baik di dalam pembiakan dan perkembangan.

Islam melarang membekukan harta tanpa dimanfaatkannya. Ia hendaklah dikembangkan agar manfaatnya dapat dirasai oleh ramai orang sebagaimana firman Allah dalam surah al-Hasyr ayat 7.

Pengembangan harta boleh dilakukan menerusi pelbagai cara, antaranya menerusi pelaburan di institusi kewangan.

Sebagaimana sunnah yang ditunjukkan oleh nabi Yusuf a.s menerusi firman Allah yang bermaksud: Berkata Yusuf: Kamu bercucuk tanam tujuh tahun, sebagaimana biasa. Seberapa yang telah kamu potong hendaklah kamu simpan bersama tangkainya, kecuali sedikit untuk kamu makan. Kemudian datang sesudah itu tujuh tahun kemarau (kelapan), sehingga menelan apa yang telah kamu simpan itu, kecuali sedikit yang kamu simpan (untuk menjadi benih). (Yusuf: 47-48)

Memang Islam menyuruh agar harta dikembang atau dilaburkan, namun bagi mendapatkan keredaan Allah SWT aktiviti pelaburan itu mestilah menepati hukum syarak yang berasaskan kepada al-Quran, al-Sunnah, ijmak, qias dan ijtihad.

Justeru, pelaburan yang diterima dan sah di sisi Islam adalah pelaburan yang menepati prinsip pelaburan daripada perspektif Islam. Di dalam Islam, dua kontrak syariah yang popular berkaitan dengan pelaburan ialah musyarakah dan mudharabah.

Dalam muamalat Islam rukun sesuatu kontrak memainkan peranan yang penting dan ia tidak boleh diabaikan. Jika sesuatu transaksi yang mengaplikasikan kontrak Syariah tidak cukup rukun-rukunnya, maka transaksi itu tidak sah.

Sebagai panduan, di bawah konsep mudharabah dan musyarakah rukun-rukunnya yang wajib ada dan dipenuhi adalah, wang (modal) pelaburan dalam jumlah tepat dan diketahui, pelabur, pengusaha, bisnes yang halal dan kontrak (ijab dan qabul).

Di samping memenuhi dan cukup rukunnya, ia juga perlu memenuhi syarat-syarat seperti nisbah pembahagian keuntungan yang dipersetujui bersama, tiada jaminan modal selamat dan tiada jaminan untung tertentu.

Memang tidak dinafikan, setiap pelabur yang membuat pelaburan mengharapkan keuntungan. Banyak pihak yang terkeliru dalam hal ini khususnya yang berkaitan dengan jaminan keuntungan yang bakal diperolehi oleh pelabur.

Mengelirukan

Lebih mengelirukan apabila pihak yang menawarkan peluang pelaburan tersebut menggunakan nama-nama, istilah atau perkataan Arab yang menampakkan seolah-olah ia adalah pelaburan secara Islam.

Namun apabila diselidiki hanya nama nampak macam pelaburan secara Islam tetapi dari segi mekanisme dan operasinya jauh terpesong daripada kaedah pelaburan secara islam.

Jaminan mendapat keuntungan adalah bercanggah dengan prinsip pelaburan dalam Islam. Ulama Islam sepakat bahawa memberi jaminan untuk mendapat keuntungan daripada pelaburan hukumnya adalah haram kerana ia adalah riba dan bukannya pelaburan.

Islam tidak membenarkan memberi jaminan bahawa pelabur mesti mendapat keuntungan daripada pelaburannya kerana ia bercanggah dengan tabii pelaburan itu sendiri yang tertakluk kepada untung dan rugi.

Ia sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi SAW yang bermaksud: “(Bagi mendapatkan) Keuntungan (hasil pelaburan) mestilah dengan menghadapi risiko (bermakna tiada untung tetap dijanjikan dan pelabur mesti menjamin keelokkan barangan yang dijual jika melibatkan jual beli)”. (riwayat As-Syafie, Ahmad, Ibn Hibban, Abu Daud)

Apa yang dibolehkan dan sebagaimana yang diamalkan oleh industri kewangan Islam adalah sebarang keuntungan, hanya anggaran dan andaian sahaja tanpa membuat sebarang janji bahawa pelabur pasti akan mendapat keuntungan.

Hal ini selari dengan keputusan Majlis Penasihat Syariah AAOIFI yang telah memutuskan bahawa apabila mana-mana pihak menetapkan baginya satu jumlah untung yang tetap dan pasti, maka rosaklah akad pelaburan mudharabah itu.

Di Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti (SC) adalah antara badan yang bertanggungjawab dalam mengawal selia hal ehwal pelaburan.

SC dengan dibantu oleh Majlis Pengawasan Syariahnya telah berjaya menyenaraikan sekuriti yang tersenarai di Bursa Malaysia yang mematuhi Syariah.

Berdasarkan Majlis Pengawasan Syariah SC, sesebuah syarikat diklasifikasikan sebagai sekuriti yang tidak patuh syariah sekiranya syarikat menjalankan aktiviti teras yang tidak selaras dengan syariah seperti yang berikut:

(a) Perkhidmatan kewangan yang berteraskan riba (faedah); (b) Perjudian dan pertaruhan; (c) Pengeluaran atau penjualan barangan yang tidak halal atau barangan yang berkaitan; (d) Insurans konvensional; (e) Aktiviti hiburan yang tidak selaras dengan syariah; (f) Pengeluaran atau penjualan barangan yang berasaskan tembakau atau barangan yang berkaitan; (g) Pembrokeran atau jual beli sekuriti tidak patuh syariah; dan (h) Aktiviti lain yang didapati tidak selaras dengan Syariah.

Bagi syarikat yang menjalankan aktiviti bercampur di antara aktiviti yang selaras dan tidak selaras dengan syariah, MPS mempertimbangkan dua kriteria tambahan iaitu: pandangan masyarakat umum tentang imej syarikat berkenaan mestilah baik dan aktiviti teras syarikat mempunyai kepentingan dan maslahah (kebaikan secara umum) kepada umat Islam dan negara manakala unsur yang tidak selaras dengan syariah adalah amat kecil dan melibatkan perkara ‘umum balwa (perkara terlarang yang sukar dielakkan), uruf (amalan kebiasaan) dan hak-hak masyarakat bukan Islam yang diperakui oleh Islam.

Inisiatif SC itu merupakan satu inovasi yang berimpak maksimum kepada umat Islam di Malaysia dimana mereka tidak lagi ragu-ragu dan teragak-agak untuk membuat pelaburan.

Justeru, sebelum melabur kita perlu membuat pertimbangan yang wajar dengan memastikan agar pelaburan yang hendak dibuat tidak melibatkan pelaburan dalam aktiviti perniagaan yang diharamkan oleh syarak.

Tiada jaminan terhadap keuntungan yang tetap, tidak ada unsur gharar (ketidakpastian) atau elemen perjudian, tiada unsur paksaan dalam keputusan membuat pelaburan dan tidak terlibat dalam riba.

Jangan mudah terpedaya dengan janji-janji manis yang menawarkan keuntungan berlipat ganda menerusi pelbagai kaedah kreatif yang menggunakan nama-nama seolah-oleh ia satu pelaburan secara Islam.