اللهم صلى على سيدنا محمد وعلى آله واصحابه وسلم

Thursday, February 18, 2010

Tolong Fikirkan Wahai Ibubapa



Tolong Fikirkan Wahai Ibubapa
www.iluvislam.com
Ustaz Zaharuddin*
Editor:lailatulema

Minggu lalu, ketika menjamah makanan makan malam di sebuah restoran semasa dalam perjalanan ke airport, rakan-rakan yang bersama menghantar saya berbicara berkenaan pelbagai isu. Hj Rosman kemudian menzahirkan kebimbangan beliau berkenaan kes jenayah yang wujud di Malaysia. Kes-kes sedemikian agak kurang berlaku di Bahrain.

Natijah dari kebimbangan tersebut, beliau bertanya

"pada pandangan ustaz, macam mana cara untuk selesaikan masalah ini"

Saya berfikir sejenak, sudah tentulah jawapan paling mudah bagi seorang ustaz adalah berkata

"kita kena kembali kepada Islam"

Tetapi disebabkan jawapan itu terlalu umum, maka saya mengambil keputusan untuk tidak memberikan idea itu.

"Ia perlukan penyelesaian secara kolektif, semua pihak perlu ada kesedaran untuk merubah keadaan" demikian jawapan permulaan saya.

"Namun yang paling utama perlu berperanan, adalah ibu bapa atau keluarga"

Saya mengulang kembali ingatan sedih dan pedih kita kepada kes Al-Marhumah Nurin Jazlin yang dibunuh kejam dan masih gagal diselesaikan oleh pihak berkuasa Malaysia sehingga kini.

"Bukankah Nurin dibunuh oleh seorang manusia?, sudah tentunya manusia ini dilahirkan ke dunia oleh seorang ibu dan pastinya dia punyai bapa dan keluarga"

"Namun apakah yang menjadikannya sebegitu kejam?" saya menrang sambil mengajak berfikir.

Memang benar, pelbagai faktor menyumbang, namun bagi saya ia bermula dari hasil didikan pertama ibubapa, sesuai dengan apa yang disabdakan oleh nabi s.a.w

"Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (tidak mempersekutukan Allah) tetapi orang tuanya lah yang menjadikan dia seorang yahudi atau nasrani atau majusi. Sebagaimana seekor binatang yang melahirkan seekor anak tanpa cacat, apakah kamu merasakan terdapat yang terpotong hidungnya? (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Sudah tentu juga ibubapa yang berperanan untuk mencorakkan seorang bayi sehingga menjadi seorang Muslim, mukmin yang bertaqwa.

Kita tidak nafikan faktor persekitaran yang sentiasa menghurungi anak-anak kita khususnya di sekolah, melalui internet, rakan-rakan, games, TV dan lainnya.

JANGAN DIDIK ANAK SECARA SPONTAN

Namun tidak boleh dinafikan, ibubapa mempunyai saham terbesar. Anak-anak adalah satu tugas terbesar buat ibubapa yang sering diabaikan. Sedangkan mereka semua adalah suatu aset dan ‘pelaburan' terpenting. Namun amat kerap mereka menjadi mangsa kurang teliti, kurang perhatian dan tiada perancangan jitu oleh sang ibubapa.

Akhirnya, sebuah aset yang ditangani secara lebih kurang akan menghasilkan hasil yang bukan lebih kurang juga, tetapi hasil lebih buruk malah membawa padah.

Memang benar, kegagalan merancang pendidikan anak-anak adalah sebuah kegagalan masa depan.

Ramai yang merasakan, pendidikan anak-anak boleh dibuat secara spontan, bergantung kepada hari dan masa. Dalam kata lain, bergantung kepada keadaan.

Hakikatnya, anak tidak boleh dididik secara spontan, ia memerlukan satu pelan perancangan khas untuk menjadikan lebih mudah dibentuk. Mendidik mereka seperti mengendalikan sebuah syarikat awam yang sentiasa memerlukan plan induk, teknik khas, contingency plan dan monitoring system.

Kerana itu kita perlukan seorang Chief Operating Officer (COO) untuk anak-anak. Menurut teori ideal Islam, COO yang paling ideal bagi pendidikan anak-anak adalah seorang IBU. Bapa bertindak sebagai Chief Executive Officer (CEO) yang mana, ruang lingkup tugasan, peranan dan tanggungjawabnya lebih besar dan menyeluruh.

"Namun apabila hari ini kedua-dua ibubapa sibuk mencari nafkah, aset di rumah terabai dek kerana pendapatan RM 2,000 (purata) atau RM 5,000 sebulan si ibu". Anak-anak diswastakan kepada nursery yang kurang pengalaman. Kurang penghayatan, kurang sensitiviti dan seumpamanya.

Kita boleh menghantar mereka ke pelbagai jenis kursus dan kem untuk menyuntik sesuatu, namun pokok pangkalnya tetap di atas bahu kita selaku ibubapa. Kalaupun anak telah berubah hasil tarbiyah di dalam kursus, mereka akan tetap melupakan nilai baik tersebut jika ibu bapa masih di takuk lama.

WAHAI IBUBAPA, HORMATI ANAKMU NESCAYA KAMU DIHORMATINYA

"Treat your child with respect" itu saranan Richard Templer, penulis buku parenting yang popular.

Saya amat selesa dengan saranan tersebut, seorang ibubapa yang bijak perlu mengendalikan dan melayan anak-anak mereka dengan penuh penghormatan. Kelak anak-anak akan mencontohi tatacara yang sama.

Biasanya apabila orang dewasa meminta bantuan seorang dewasa yang lain, mereka akan menggunakan bahasa yang sopan. Itu adalah kerana mereka sedar, yang diminta itu tidak mesti untuk membantu, kita perlukan ihsan mereka untuk membantu. Atas sebab itu, kata-kata sopan digunakan, demi memujuk dan mearih ihsan.

Bukankah elok jika cara yang sama untuk anak-anak kita, cuba kita jangan merasakan si anak sentiasa WAJIB untuk mematuhi arahan kita. Kelak nanti si anak apabila meminta kepada ibubapanya atau orang lain, dirasakan mereka semua wajib menurut arahannya.

Si anak juga kerap meminta ibubapanya, mainan itu dan ini. Namun sedikit yang diperolehi.

Maka si anak akan menghadapi kekeliruan.

"ibubapa minta, semua aku kena buat, aku minta, ibubapa tak buat semua pulak"

Lebih teruk dari itu, arahan dari ibubapa kerap dihamburkan dengan kata-kata perintah tanpa hormat dan pujukan serta ihsan. Contohnya:

"makan tu"

"Habiskan ini!"

"Pergi mandi!"

"Cepat masuk kereta!"

"Gosok gigi!"

"Kenapa sepah sangat ni, cepat bersihkan!"

"Heiii, kenapa buat macam tu!"

Itulah yang kerap dilaungkan oleh ibubapa, memekik melolong setiap pagi dan petang serta malam.

Setiap hari anak akan mendengar lolongan kuat menerjah telinga dan hatinya. Kalimah-kaalimah arahan dan larangan sebegitu sudah terlalu biasa, lali hingga ia menjadi masak dan sebati dek pemikiran dan hatinya.

Pada masa yang sama, kita akan dengar kedapatan ibubapa yang mengeluh kerana anaknya kurang beradab ketika remaja dan dewasa. Sedarkah bahawa si anak sebenarnya telah ‘berjaya'. Ya berjaya dalam mencontohi model yang diterapkan oleh ibubapanya sendiri. Namun kini ibubapa merasa sedih dan tidak selesa. Sedarkah ibubapa bahawa si anak yang dibesarkan sedemikian rupa menyangka itulah cara arahan dan permintaan yang terbaik. Bukankah itu yang ditunjukkan oleh ibubapa mereka?.

Justeru, lebih kasar sang ibubapa terhadap anaknya, akan kasar jualah anak terhadap ibubapanya dan orang lain, khususnya di ketika remaja dan dewasa. Malah lebih mendukacitakan, itulah cara yang akan dibawa ke sekolah, mempengaruhi kawan-kawan dan akhirnya menjadi penjenayah yang merasakan tindakannya ‘ok' atau tidak bersalah. Puncanya dari cara didikan dan layanan ibubapa yang kasar.

Patut kita sedari di awal bulan hijrah 1431 ini, bahawa anak layak mendapat sebuah penghormatan, semudah-mudah penghormatan adalah dengan memilih ayat dan kata-kata yang manis didengari, intonasi yang sedap didengar. Cuba tambah sikit sahaja sebagai contoh

"boleh tolong ibu ambilkan barang itu"

"Adik baikkan, tolong ummi kemaskan meja ini boleh?"

Dan pelbagai lagi bentuk ayat yang serupa dengannya.

Di samping itu, jangan sesekali memungkiri janji,, membohongi anak dan lain-lain kelakuan negaitf. Selain anak akan mengambil contoh, mereka juga akan merasa kurang penting berbanding yang lain.

TUNJUKKAN PERHARGAAN TERHADAPNYA

Juga menjadi kebiasaan ibubapa hari ini. Bangun sahaja anak dari tidur dan terus dia menghala ke dapur.

Ibu yang terlihat anak, ayat pertamanya :

"hah apa lagi tu, dah gosok gigi, pergi basuh muka dan gosok gigi!"

"Lepas tu pergi buat itu ini bla la bla"

"Mak boleh tolong angah buat kerja ini tak" pinta si anak lembut

"Ehhh nanti-nanti!, mak tengah sibuk goreng ayam ini" mungkin itu jawapan si ibu.

Terasa dalam hati si anak, dirinya ibarat tidak berharga, kemunculannya hanya bersedia untuk diarah dan ditengking.

Permintaan tidak banyak erti buat si ibu, ‘gorengan ayam lebih utama dari perminataannya.

Malah ketika pulang dari sekolah juga, ibubapa tidak menyambut tetapi dibiarkan anak begitu sahaja.

Tahap si anak ibarat sebuah perabot buruk dan pekakas rumah sahaja. Wujudnya tidak disedari, hilangnya tidak diendah.

Pastinya, anak akan menyimpan itu sebagai standard kehidupan. Nanti kelak itu jugalah yang diperlakukan di masa hadapan.

Kalau ada perhatian dari ibubapa, mungkin hanya perintah demi perintah, larangan demi larangan sahaja.

Justeru, sudah sampai masa kita mengubahnya, kita berhijrah.

Sedarilah bahawa, tatkala kita sedang melakukan tugasan harian di rumah, mengemas baju, memasak dan sebagainya, tatkala anak muncul, anak punyai priority yang lebih tinggi. Jangan dijadikan alasan, tengah buat kerja, basuh baju, gosok baju, jahit baju dan lainnya, kerana tatkala anak muncul, itulah kerja yang paling besar keutamaannya untuk dipenuhi.

Tunjukkan rasa seronok dan gembira kita selaku ibubapa ketika melihatnya, sewaktu pulang dari sekolah (atau sewaktu kita pulang dari kerja), melihatnya di awal pagi dan berpisah dengannya ketika waktu malam untuk tidur. Ia boleh dilakukan dengan ucapan-ucapan yang baik, atau sedikit pelukan dan sentuhan tanda mereka penting buat kita.

KESIMPULAN

Semoga dengan sedikit peringatan untuk diri ini, kita semua mampu berubah menjadi ibubapa yang berperancangan dan memperbaiki pendidikan anak-anak.

Kerana anak-anak itulah kelak bakal menjadi sama ada Imam besar, Pemimpin Negara, Ulama Besar, atau sebaliknya menjadi perompak terulung, penjenayah bersiri dan pengkorup unggul. Nauzubillah.

Perbaikilah masyarakat kita melalui kesedaran peranan ibubapa. Jenayah hakikatnya bermula dari rumah dan perlu ditangani bermula di rumah juga.

Asma sabar hadapi cabaran


Asma sabar hadapi cabaran

ARKIB : 16/02/2010
(Artikel Bicara Agama Utusan Malaysia)

ASMA binti Salamah adalah isteri kepada Ayyasy bin Abi Rabiah al-Makhzumi. Perkahwinan mereka dianugerahkan dengan anak lelaki yang bernama Abdullah bin Ayyasy.

Asma dan suaminya tinggal di Mekah. Pada awal keislaman. Mereka sentiasa ditindas dan diseksa oleh orang kafir Quraisy Mekah. Penindasan itu telah menyebabkan orang Islam Mekah berhijrah ke Habsyah. Ini termasuklah Asma dan suaminya. Mereka berdua turut berhirah ke Habsyah bagi menyelamatkan diri daripada terus diseksa oleh kafir Quraisy.

Semasa di Habsyah, Asma dan suaminya hidup dengan aman dan bahagia. Sehingga pada suatu hari mereka mendapat tahu berita bahawa orang Quraisy sudah memeluk Islam. Mereka pulang ke Mekah dengan hati yang gembira. Namun berita yang mereka terima itu adalah palsu. Akhirnya mereka berhijrah pula ke Madinah.

Asma seorang isteri yang baik. Dia taat kepada suaminya. Namun satu hari Ayyasy berasa bersalah kepada isterinya kerana menyembunyikan sesuatu.

Lalu berkata dia kepada isterinya: "Wahai Asma, saya rasa bersalah kerana telah melakukan satu perkara yang penting tanpa memberitahu awak."

Asma terkejut mendengar penjelasan suaminya. Selama dia berkahwin, suaminya tidak pernah berahsia dengannya.

"Apakah yang telah awak lakukan?" Tanya Asma tidak sabar-sabar mendengar jawapan dari suaminya.

"Saya harap awak tidak terkejut dengan berita yang akan saya sampaikan ini," kata suaminya.

"Baik. Segera beritahu kepada saya," kata Asma lagi.

"Saya sudah memeluk agama Islam. Saya adalah pengikut Nabi Muhammad," kata suaminya.

Asma menerima berita itu dengan rasa gembira. Lalu dia berkata kepada suaminya, "Benarkah? Saya juga ingin memeluk agama Islam. Saya juga ingin berbaiah dengan Nabi Muhammad."

Ayyasy bersa lega kerana isterinya dapat menerimanya sebagai seorang Islam. Dia pun berkata: "Syukur, awak juga terbuka hati untuk menjadi orang Islam."

Asma adalah seorang pelapor hadis. Dia telah melaporkan hadis dari Nabi Muhammad. Terdapat beberapa orang juga turut melapor hadis darinya. Antaranya termasuk anaknya yang bernama Abdullah bin Ayyasy dan seorang sahabat wanita yang bernama ar-Rubayyi' binti Muawwidz.

Nabi Muhammad juga menghormati Asma dan suaminya. Nabi Muhammad pernah datang ke rumah Ayyasy bagi menziarah orang sakit. Begitu juga dengan Asma dan suaminya yang pernah datang ke rumah Nabi Muhammad.

Suatu hari, Asma dan suaminya pergi membawa anaknya yang sakit ke rumah Nabi Muhammad. Anaknya masih kecil.

"Wahai Nabi Muhammad. Tolong ubatkan anak saya ini. Dia sakit. Saya tidak sanggup melihatnya menderita kesakitan," kata Ayyasy kepada Nabi Muhammad.

Nabi Muhammad bersimpati terhadap anak kecil itu lalu menadah tangannya berdoa: "Ya Allah sembuhkanlah anak kecil ini dari sakitnya."

Selepas selesai Nabi Muhammad berdoa, beliau meniupkan ke atas badan anak kecil itu. Anak Asma nampak segala perbuatan Nabi Muhammad. Selepas itu anak tersebut cuba meniru gaya yang dilakukan oleh Nabi Muhammad tadi. Anak itu melakukan perbuatan Nabi Muahammad tadi secara berulang-ulang.

"Tidak baik awak mengajuk dan meniru cara Nabi Muhammad merawat awak itu," kata seorang sahabat yang berada di rumah Nabi Muhammad.

Orang yang terdapat di dalam rumah Nabi Muhammad pada ketika itu turut memarahi dan melarang anak kecil tersebut daripada terus-menerus meniru gaya Nabi Muhammad.

Melihat keadaan itu, Nabi Muhammad berkata: "Tidak mengapa. Biarkan anak itu meniru perbuatan saya tadi. Kita sepatutnya berlaku baik terhadap anak yang masih kecil. Jangan kita memarahi mereka. Kita perlu mengasihi dan menyayangi anak-anak."

Kesemua ahli keluarga Nabi Muhammad dan beberapa orang yang berada di situ akur dengan kesilapan yang mereka lakukan. Mulai pada hari itu mereka sentiasa mengasihi dan menyayangi anak-anak yang masih kecil.

Monday, February 15, 2010

Hikmah di sebalik musibah



Oleh HASHIM AHMAD

MUTAKHIR ini kita selalu saja mendengar berita tentang musibah (bencana) yang berlaku di serata dunia. Alam seolah-olah begitu murka dengan keserakahan umat manusia yang dengan rakus mengeksploitasinya tanpa henti.

Mengapakah musibah selalu saja menimpa kita? Mungkin kita akan menemukan banyak pendapat mengapa ini terjadi.

Ahli geologi akan mengatakan: "Ini hanya peristiwa alam biasa". Para dukun pula akan mengatakan: "kejadian-kejadian tersebut adalah penanda pergantian zaman".

Namun semua yang demikian adalah pendapat saja. Dalam pandangan al-Quran, musibah-musibah adalah merupakan ketentuan (takdir) yang telah digariskan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah: Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanyalah kepada Allah orang yang beriman harus bertawakal. (at-Taubah: 51).

Pada ayat ini, Allah menegaskan bahawa setiap peristiwa yang terjadi semuanya telah digariskan Allah. Dan hanya kepada Allah, kita berlindung.

Mengapakah Allah menimpakan bencana kepada umat-Nya, umat yang mengimani dan menyembah-Nya dalam ajaran yang benar dan hak? Mengapa bukan orang-orang kafir saja ditumpaskan dengan bencana?

Jawabnya adalah kerana di sebalik setiap takdir, pastilah terdapat makna yang tersembunyi. Ini termasuklah dalam beberapa musibah yang melanda kita. Dan bagi yang tertimpa musibah, setidak-tidaknya dapat memetik hikmah atas apa yang menimpa mereka.

Mereka yang lolos dari bencana adalah orang-orang yang beruntung kerana masih sempat ditegur oleh Allah SWT. Mereka yang lolos masih diberi kesempatan oleh Allah untuk memperbaiki kualiti ketakwaan, keimanan dan hidupnya.

Mereka masih sempat meminta keampunan kepada Allah atas segala kesalahan yang mereka lakukan serta berbuat kebajikan sepanjang sisa hidupnya untuk menghapuskan dosa.

Sesungguhnya, bencana menjadi teguran bagi mereka yang selamat, demikian pula bagi mereka yang berada jauh dari tempat kejadian. Orang-orang yang tidak terkena bencana, mendapatkan cubaan dari kesan bencana. Mereka yang selamat (senang) berkewajipan menolong yang kepayahan. Mereka yang hidup berkewajipan menyelenggara-kan jenazah bagi yang meninggal.

Mereka yang masih memiliki banyak harta, berkewajipan memberi makanan dan pakaian serta menolong dengan segenap kemampuan kepada mereka yang kehilangan segalanya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Barang-siapa melepaskan kesusahan seorang muslim dari kesusahan dunia, Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari kiamat; barang siapa memudahkan seorang yang mendapat kesusahan, Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat; dan barang siapa menutupi (aib) seorang muslim, Allah akan menutupi (aibnya) di dunia dan akhirat; dan Allah selalu akan menolong hambanya selama ia menolong saudaranya. (riwayat Muslim).

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Hak seorang Muslim atas seorang Muslim yang lain ada enam. Di antara para sahabat ada yang bertanya: Apa saja ya Rasulullah? Baginda menjawab: Bila kamu berjumpa dengannya ucapkan salam. Jika ia mengundangmu, penuhilah. Jika ia meminta nasihat kepadamu, nasihatilah. Jika ia bersin dan memuji Allah hendaknya kamu mendoakannya, dan jika ia sakit jenguklah, dan jika ia mati hantarkanlah jenazahnya…. (riwayat Muslim)

Bencana juga adalah teguran Allah kepada orang-orang beriman yang lalai menjalankan perintah-Nya. Kita selalu saja tidak dapat memperbaiki diri, sikap dan perbuatan. Padahal bencana yang terjadi ini adalah akibat dari perbuatan dan helah kita sendiri sebagai bangsa.

Jika alam di negeri kita rosak, siapakah yang merosakkannya? Tentu kita sendiri yang menjadi puncanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Telah nampak kerosakan didarat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar). (ar-Rum: 41).

Adapun bagi kita semua, rentetan musibah yang terjadi hendaklah menjadi tazkirah (pengingat) bahawa bencana tersebut dapat terjadi ditempat kita jika Allah SWT menghendaki.

Seharusnyalah kita selalu berdoa, bertaqarrub dan beristighfar semoga Allah SWT selalu menganugerahkan keselamatan dan keampunan bagi kita semua.

Peringatan daripada Allah yang berupa bencana menunjukkan Allah masih sayang kepada hamba-hamba-Nya dan menghendaki mereka untuk kembali ke jalan yang diredai-Nya.

Sesungguhnya, kerosakan alam selalu mengakibatkan kerugian bagi warga di sekelilingnya, terutama rakyat kecilnya.

Siapa yang lebih kuat harus melindungi yang lemah. Siapa yang berkemampuan harus menolong yang sedang dalam kesusahan dan siapa yang selamat harus bersedia menolong yang terkena musibah.

Kita semestinya merasa takut jika tidak menolong, padahal kita mampu. Kita semestinya merasa malu kepada Allah jika tidak membantu mereka yang sedang kesusahan, padahal kita sedang banyak memiliki kelonggaran.

Dengan berbuat demikian, maka umat akan bersatu dan kesatuan umat Islam akan semakin kukuh selepas berlalunya bencana. Sedarlah bahawa selalu ada hikmah di balik setiap kejadian yang tampak mengerikan.

Sesungguhnya, bencana merupakan ujian bagi umat Islam.

Saturday, February 6, 2010

Manusia paling dekat dengan Allah ketika sujud solat



Manusia paling dekat dengan Allah ketika sujud solat

DARIPADA Anas, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sempurnakanlah sujud mu! Jangan membentangkan dua siku seperti anjing (tidur)."

Sujud ialah meletakkan kepala di bumi. Ketika sujud, fikiran berada lebih rendah daripada hati. Ulama mengatakan bahawa sujud ketika solat adalah waktu manusia paling hampir dengan Allah SWT.

Sebenarnya ketika seseorang manusia itu mengerjakan solat, berpuluh-puluh iblis akan datang menggoda. Sesetengahnya datang pada setiap anggota badan supaya datang perasaan malas, was-was, terlupa bilangan rakaat, bimbang pada pekerjaan dunia yang ditinggalkannya, sentiasa hendak cepat, hilang khusyuk dengan mata sentiasa menjeling ke kiri ke kanan, telinga sentiasa mendengar orang bercakap serta bunyi-bunyian lain.

Malah ada juga iblis yang duduk di belakang badan orang yang solat itu supaya ia tidak dapat sujud lama kerana penat atau sebagainya. Ketika sujud kita digalakkan bertafakur beberapa ketika. Dari segi kesihatan, bersujud boleh mengelak penyakit pening atau migrain.

Ini terbukti oleh saintis yang membuat kajian kenapa dalam sehari kita perlu bersujud. Ahli sains menemui bahawa ada beberapa milimeter ruang udara dalam saluran darah di kepala yang tidak dipenuhi darah. Dengan bersujud maka darah akan mengalir ke ruang berkenaan.

Dalam solat, cara sujud mestilah mengikut kaedah paling sempurna iaitu turun ke bawah dengan tangan, meletakkan ia ke bawah sebelum lutut. Kita dilarang meniru cara unta duduk iaitu cara duduk dengan lutut dulu.

Hendaklah jadikan tapak tangan sama aras dengan kedua bahu. Tidak meletakkan (melebarkan) lengan di tanah seperti anjing. Meletakkan hidung dan dahi di atas bumi. Begitu juga dengan lutut. serta perut jari kaki.

Menegakkan kaki dengan tumit berdiri tegak selari. Semua anggota disebutkan tadi dipanggil sebagai anggota sujud yang menentukan sempurna atau tidaknya sujud seseorang sedang solat iaitu seperti mana diperintahkan Rasulullah SAW.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Friday, January 29, 2010

Kematian itu pasti



Kematian itu pasti
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

AL-MARAGHI berkata: Setelah Allah SWT menghiburkan nabi-Nya sebagaimana yang terdapat dalam ayat yang lalu memuatkan pendustaan kaumnya terhadapnya.

Sebahagian daripada rasul sebelummu telah didustakan oleh kaumnya sebagaimana engkau sekarang didustakan.

Para rasul dahulu menghadapi penderitaan daripada kaumnya sebagaimana yang engkau hadapi sekarang. Bahkan (penderitaan mereka dahulu) lebih berat. Sebahagian daripada mereka ada yang dibunuh seperti yang tejadi kepada Nabi Yahya a.s dan Nabi Zakaria a.s.

Sebab nuzul ayat ke-185

Ibnu Abbas berkata: Tatkala turunnya ayat daripada surah Sajadah ayat 11 yang bermaksud: Katakanlah yang mematikan kamu ialah malaikat maut yang diwakilkan denganmu, lantas mereka bertanya: Hai Rasulullah, sesungguhnya ayat ini diturunkan terhadap anak Adam, bagaimana berkenaan dengan kematian jin, burung dan binatang? Lantas turunnya ayat ini.

Iktibar dan fiqh ayat ke-185

Ibnu Kathir berkata: Allah SWT menceritakan secara umum yang meliputi semua makhluk-Nya bahawa setiap yang bernyawa pasti akan merasa kematian. Yang tidak mati hanyalah Allah sahaja.

Antara yang mati ialah jin, manusia, malaikat dan lain-lain. Ayat ini dengan jelas merupakan takziah kepada semua manusia. Tidak ada yang kekal di atas muka bumi kecuali pasti menerima kematian.

Ibnu Jauzi berkata: Ayat ini memberi berita gembira kepada yang melakukan kebaikan dan memeberi ancaman yang melakukan kejahatan.

Ayat ini juga memberitahu hakikat kehidupan penuh dengan tipu daya dan diberi panjang angan-angan tentang kehidupan yang kekal, sedangkan ia boleh berlaku kematian pada bila-bila masa.

Al-Qurtubi berkata: Apabila Allah menceritakan berkenaan orang bakhil dan kufur, lantas Allah perintahkan kepada orang yang beriman supaya bersabar di atas ujian yang dihadapi oleh mereka.

Al-Maraghi berkata: Setiap yang berjiwa akan mengalami saat perpisahan dengan jasad (badan). Ini menunjukkan jiwa tidak akan mati sekalipun badannya mati.

Ini disebabkan yang mampu merasakan sesuatu adalah sesuatu yang wujud (ada), sedangkan yang mati tidak akan mampu berasa sesuatu.

Hamka berkata: menurut ahli-ahli tafsir terutamanya ditegaskan oleh Ibnu Jarir bahawasanya ayat ini yang menyatakan bahawa tiap-tiap nyawa pasti merasakan mati, adalah lanjutan tasliyah ubat penawar hati Nabi dalam kesibukan perjuangan yang kadang-kadang menghadapi tentangan, dan dia pun menjadi ubat penawar bagi sekalian orang yang menegakkan iman.

Al-Sonhadji berkata: Setiap yang bernyawa pasti akan merasai detik kematian dan bertemu ajal. Sebenarnya nyawa itu tidaklah sekali-kali mati dengan sebab matinya tubuh badan atau jasad.

Hanya yang hidup sahaja yang menikmati kehidupan akan tetapi kematian pasti akan menjemput bagi setiap makhluk yang bernyawa.

Iktibar dan fiqh ayat ke-186

Ibnu Kathir berkata: Orang beriman pasti diuji sama ada tentang hartanya, jiwanya, anaknya, dan keluarganya. Ujian tersebut berdasarkan kadar keimanannya. Jika imannya kuat maka ujiannya bertambah, sebaliknya jika lemah maka ujiannya perlahan.

Al-Qurtubi berkata: ayat ini ditujukan kepada nabi dan umatnya. Maknanya kamu pasti akan diuji pada harta kamu dengan musibah dan lain-lain taklif syarak. Begitu juga jiwa dan kematian, sakit dan kehilangan orang yang dikasihi.

Al-Maraghi berkata: Ujian terhadap harta adakalanya dalam bentuk galakan, kebajikan yang dapat mengangkat martabat umat Islam dan menghancurkan musuh, menolak bala, membasmi wabak penyakit dan lain-lain.

Ujian terhadap diri (jiwa) dalam bentuk pengerahan tenaga adalah untuk berjihad pada jalan Allah SWT, kematian ahli keluarga, teman yang dicintai dan berjuang membela kebenaran.

Hamka berkata: Dalam kehidupan, dugaan pasti datang. Segala kesulitan pasti akan dapat diatasi. Orang bersenjata kita pun bersenjata. Orang menyerang kita menangkis dan sesekali kita pun menyerang. Tetapi pertahanan batin tidak lain ialah sabar dan takwa.

Al-Sonhadji berkata: Satu peringatan untuk memberi kesedaran kepada orang mukmin supaya tidak terkejut sampai hilang kewarasan dan terperanjat bilamana ujian Allah SWT datang menimpa ke atas harta mereka atau diri mereka.

Semoga kita sentiasa reda dengan ujian Allah dan bersyukur di atas segala nikmatnya. Mudah-mudahan nikmat tersebut akan bertambah dan berkekalan. Amin.

Thursday, January 28, 2010

Sara tenang berjilbab



Susunan ZUARIDA MOHYIN

PENTAS peragaan pakaian, gemerlapan dunia lakonan, jurulatih kesihatan serta aktivis hak asasi merupakan senario kerjaya wanita bernama Sara Bokker. Apatah lagi dia pernah tinggal di Florida dan di pantai Selatan Miami, antara lokasi paling popular untuk mencari kehidupan glamor.

Pastinyalah, kehidupan alam remaja yang dilalui Sara dahulu banyak berfokus kepada kehidupan tanpa bantasan akhlak dan agama. Lebih-lebih lagi dalam aspek penampilan seksi dan rupa paras yang cantik menjamin kelangsungan hidup di mata masyarakat dan pemantapan kerjaya masa depan.

Malah Sara adalah antara ratusan mahupun ribuan pengunjung setia pantai peranginan itu yang 'gemar mempamerkan tubuh' serta kononnya berjaya mencapai taraf hidup yang penuh bergaya dan ada kelas.

Setelah bertahun-tahun bergelumang dalam dunia yang serba-serbinya mementingkan penampilan luaran, menyebabkan Sara rasa terkongkong dalam dunia yang dipujanya selama ini.

Hakikatnya, rutin kehidupan sedemikian tidak membawa kepuasan sejati kepada Sara, terutamanya yang menyentuh aspek kerohanian.

Lantaran itu, Sara mulai mengalihkan kegiatannya dari pesta ke pesta dan alkohol kepada bermeditasi, mengikuti aktiviti sosial dan mempelajari pelbagai agama lain sebagai satu escapism.

Sehinggalah apabila dunia dikejutkan dengan serangan 11 September 2001, Islam tiba-tiba muncul terutamanya di kalangan Barat yang bukan beragama Islam.

"Itulah detik pertama saya mengenali agama Islam. Sebelum ini, gambaran saya tentang Islam ialah wanita berkelubung, agama yang menafikan serta menganiayai hak wanita, berpoligami serta Islam adalah agama yang terkenal sebagai pengganas serta cenderung kepada keganasan. Ditambah pada ketika itu saya dikira seorang aktivis hak asasi manusia.

"Perasaan ingin tahu di sebalik Islam inilah yang membawa saya kepada kitab al-Quran. Melihat pada kulit depannya sahaja saya sudah tertarik.

"Apabila membacanya pula, hati saya menjadi tersentuh kerana isinya membawa kita rapat kepada Pencipta, lebih memahami persoalan tentang kejadian alam sekitar ini dan segala aspek dalam kehidupan," kata Sara yang terkesan dengan agama yang tidak memerlukan perantara, tidak seperti agamanya sebelum ini.

Ketenangan yang diperoleh menerusi al-Quran memberikan keyakinan kepada Sara untuk menjadikan Islam agama kepercayaannya. Setahun kemudian, Sara bukan sahaja mendirikan rumah tangga dengan jejaka Muslim pilihan hati tetapi paling ketara bagi diri Sara ialah penampilan dirinya yang dikira berubah 360 darjah.

"Kalau sebelum ini saya lebih suka dan serasi dengan berseluar pendek, berbikini dan bergaya dengan pakaian Barat yang berkelas. Kini tidak lagi. Saya lebih tenang dan selesa bila mengenakan jubah dan tudung kepala sebagaimana wanita-wanita Muslim berbusana Muslimah.

"Orang yang saya temui tetap sama tetapi untuk pertama kalinya dalam hidup ini, saya benar-benar menjadi seorang wanita Muslimah. Malahan saya tidak lagi terkongkong dengan minda masyarakat moden ketika itu. Inilah kebebasan yang saya cari-cari selama ini," cerita Sara akan pengalaman pertamanya berjilbab di khalayak ramai.

Beberapa lama mengenakan jilbab, hati Sara teringin untuk mengenakan niqab (pakaian Muslimah lengkap dengan purdahnya). Pernah juga dia mengajukan keinginannya itu kepada suami. Namun balas suaminya, menutup aurat itu satu kemestian kepada wanita Islam tetapi sebaliknya bagi berpurdah.

Pun demikian, hampir setahun setengah kemudiannya, Sara akhirnya mengenakan niqab dengan alasan berasa lebih tenang dan damai serta mahu melakukan terbaik hanya untuk Allah SWT.

Sayangnya, penampilan barunya itu mendapat reaksi yang pelbagai. Antara pihak yang terang-terangan mengkritik keras adalah ahli politik, kumpulan gereja dan aktivis kebebasan dan hak asasi manusia di media massa.

Mereka mengatakan bahawa niqab adalah satu bentuk penindasan terhadap kaum wanita, halangan bagi integrasi sosial dan paling memedihkan, berniqab dikatakan sebagai petanda kemunduran dan terkebelakang.

"Saya melihat kenyataan-kenyataan di atas ini sebagai kata-kata orang munafik.

"Natijahnya sekarang, berlaku banyak halangan terhadap wanita yang mengenakan hijab atau niqab untuk keluar berkerja dan mendapatkan pendidikan di sekolah dan universiti. Ia bukan hanya di bawah rejim kuku besi seperti di Tunisia, Maghribi dan Mesir tetapi juga di negara-negara demokrasi seperti Perancis, Belanda dan Eropah.

"Sehingga kini, saya tetap seorang aktivis wanita tetapi seorang aktivis wanita Muslimah, yang menyeru kepada para Muslimah untuk tetap menunaikan tanggung jawabnya dan memberikan sokongan penuh pada suami-suami mereka agar menjadi seorang Muslim yang baik. Membesar dan mendidik anak-anak mereka agar menjadi Muslim yang berkualiti sehingga mereka boleh menjadi insan berguna bagi seluruh umat manusia.

"Di samping itu, saya menyeru kaum wanita untuk berbuat baik dan menjauhi kemungkaran serta menyebarkan kebaikan dan menentang kebatilan.

"Yang pastinya, saya tidak berhenti setakat diri ini menikmati hidup yang semakin ceria, bahkan turut memperjuangkan Islam, menyedarkan wanita lain agar menutup aurat, memerangi dakyah musuh-musuh Islam dalam hal etika pakaian Islam," tegas Sara.

Tambah beliau, sebagai seorang bekas bukan Islam, dia bertekad menjelaskan kepada wanita lain akan hak-hak wanita untuk sama-sama mengetahui mengenai hijab, kebaikan-kebaikannya, kedamaian dan kebahagiaan yang dibawanya ke dalam kehidupan wanita, seperti yang telah terjadi ke atas dirinya sendiri.

Monday, January 25, 2010

Antara Engkau dan Aku



Antara Engkau dan Aku
www.iLuvislam.com
nukilan : Air sungai
editor : everjihad

Ya Tuhan…
Di saat ini,
Engkau mengetahui

Bahawa sesungguhnya
Aku semakin menjauh dari MU…

Tuhan…
Di ketika ini,
Aku mengerti
Bahawa sesungguhnya
Engkau semakin murka kepada ku…

Tuhan…
Di waktu ini,
Tiada aku fahami,
Mengapa hati yang suatu masa dulu
Sering memanggil-manggil asma Mu,
Kini… Sepi…

Ya Allah…
Di kala ini,
Aku tertanya-tanya,
Mengapa perasaan yang suatu masa dulu,
Begitu rindu kepada Mu,
Kini… Pudar…

Ya Rabbi…
Di saat ini,
Tidak mampu ku fikirkan,
Mengapa mata yang suatu masa dulu
Dibanjiri dengan air nan jernih kerana terkenangkan Mu,
Kini… Kering…

Ya Tuhan…
Sesungguhnya… Aku takut…
Aku takut kepada Mu…
Namun entah mengapa
Takutku belum mampu memulihkan diri ku…

Ya Rabbi…
Sesungguhnya… Aku rindu…
Aku rindu tatkala aku merindui Mu,
Aku rindu saat aku menangis kerana Mu,
Aku rindu tatkala aku gembira mendengar nama suci Mu,
Aku rindu saat aku sanggup melakukan segalanya untuk Mu…

Ya zaljalali wal ikram
Izinkanlah aku merayu kepada Mu,
Agar Engkau sambutlah tangan ku yang jijik ini,
Dan rangkullah aku kembali ke pangkuan Mu,
Agar dapat ku nikmati semula, Saat indah kita bersama…

Ya Rahman ...
Izinkanlah aku memohon kepada Mu,
Agar Engkau penuhkanlah ruang hati ku yang kotor ini,
Dan isikanlah setiap ruang fikiran ku,
Dengan asma Mu yang suci,
Agar terjalin semula ikatan cinta yang murni,
Antara Engkau dan aku…

Monday, January 18, 2010

ADAKALANYA fikiran kita rasa berserabut....




Istiqamah dalam menghambakan diri
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

ADAKALANYA fikiran kita rasa berserabut, perasaan kita rasa tidak menentu. Apa yang kita buat rasa tidak kena. Solat dan ibadah tidak dapat dirasa kemanisannya. Seolah-olah ada sesuatu yang perlu kita dapatkan untuk menenangkan fikiran dan hati kita yang berkecamuk.

Lihat sahajalah apa yang berlaku di sekeliling kita, pembunuhan di sana-sini. Pelacuran yang berleluasa. Anak-anak yang derhaka kepada kedua ibu bapa, remaja-remaja yang terjebak dan hanyut dalam gejala sosial, pembuangan bayi yang tidak berdosa menjadi-jadi.

Kehormatan umat Islam dipersendakan dan bermacam-macam lagi. Semuanya menyayat hati dan perasaan kita. Itu tidak termasuk tekanan kerja dan pengajian yang terpaksa kita harungi setiap hari.

Jalan meraih ketenangan

Sesungguhnya Islam itu agama yang sempurna. Ia kaya dengan pelbagai perbendaharaan dan khazanahnya yang indah dan seni. Oleh kerana itu, kita melihat agama Islam itu sentiasa dicemburui dan cuba dinodai kesucian dan ketinggiannya oleh musuh-musuh Islam.

Cuma, kita yang tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan segala keistimewaan Islam kerana kita sendiri tidak cukup mengenal agama yang kita warisi.

Menjadikan al-Quran sebagai wirid

Islam menyarankan beberapa perkara yang baik untuk kita lakukan ketika berhadapan dengan situasi sebegini. Antaranya, kita digalakkan membaca al-Quran dan menjadikannya sebagai wirid.

Hendaklah kita bertafakur tentang kandungan ayat-ayatnya dan mendalami mutiara-mutiara maknanya untuk mengeluarkan daripada perbendaharaan dan permatanya sesuatu yang akan melapangkan dada. Menambahkan lagi keyakinan dalam beragama dan menghadirkan kebesaran pemiliknya iaitu Allah SWT. Di samping itu, janganlah kita mengabaikan adab-adabnya.

Ulama berkata: "Sekiranya kamu melayarkan kapal di dalam lautan ini, kamu akan memperolehi kejayaan dan kerehatan (ketenangan) dalam pelayaran tersebut. Akan datang kepadamu angin kegembiraan dari wangiannya yang suci, dan bauannya yang semerbak bernilai dan mengadap kepadamu kelembutan inayah dengan kesempurnaan pilihan yang disertai dengan ri'ayah pembelaan Allah. Kamu akan ketahui perkara yang belum pernah kamu ketahui dan memahami perkara yang belum pernah kamu fahami.

"Maka terhasillah bagimu segala cita-cita dan tercapailah segala keinginan dan kegembiraan. Maka selepas itu berusahalah mengulang-ulang membacanya dan tenggelam di dalam lautan rahsianya. Berwaspadalah daripada meringan-ringankannya dan tergopoh-gapah ketika membacanya."

Menyelami kitab-kitab ahli hikmah

Para ulama juga menyarankan kita menjadikan bacaan kitab-kitab tasauf sebagai wirid. Hendaklah kita perkemaskan renangan kita di dalamnya. Jadikan ia sebagai sahabat dan teman bermesra pada waktu pagi dan petang, dan pegangan dalam semua keadaan.

Taklifkan diri kita beramal dengan isi kandungannya dan meninggalkan perkara-perkara yang ditegahnya. Insya-Allah, hati kita akan menjadi lembut dan berasa lebih tenang menghadapi apa jua keadaan.

Justeru, pada minggu ini kita tinggalkan dahulu tajuk tauhid yang sedang kita bicarakan dan kami ingin membawa saudara merenung satu lagi kalam hikmah yang dipersembahkan oleh Sheikh Ibnu Atoillah al-Sakandari r.a tentang istiqamah dalam perhambaan.

Istiqamah dalam perhambaan

Sebagai manusia kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan dosa. Namun kita tidak sepatutnya dikalahkan oleh kesalahan yang kita lakukan hingga bersikap pesimis dan berprasangka buruk dengan Tuhan. Kita seharusnya ingat bahawa setiap kejadian Allah itu ada hikmahnya.

Sheikh Ibnu Atoillah r.a membongkar satu lagi hikmah Allah dalam kalam hikmahnya yang indah yang berbunyi: "Apabila kamu terlanjur melakukan suatu dosa, maka janganlah kamu jadikan ia sebagai sebab kamu patah hati daripada beristiqamah bersama Tuhanmu, kerana kadang kala ia merupakan dosa terakhir yang ditakdirkan ke atas kamu".

Kita tidak seharusnya merasa putus asa daripada beristiqamah bersama Allah apabila terlanjur melakukan dosa. Dengan bersikap sedemikian, hanya akan menjadikan dosa kita lebih besar.

Istiqamah bermaksud sama keadaan dalam ubudiah terhadap Tuhan. Dosa tidak menyekat seseorang hamba itu daripada terus istiqamah dalam perhambaannya kerana seseorang hamba itu tidak dapat lari daripada takdir yang telah ditulis baginya.

Cuma, perkara yang menghalang seseorang daripada istiqamah ialah jika dia berterusan melakukan dosa tersebut. Malah bertekad untuk mengulanginya. Menginsafi hakikat ini, maka wajiblah hamba tersebut segera bertaubat kerana berkemungkinan ia adalah dosa terakhir yang ditakdirkan baginya.

Kadang kala kesalahan itu juga merupakan suatu rahmat dan peringatan buat kita yang sedang lalai atau leka. Apabila kita terjatuh, maka kita akan lebih berusaha untuk bangun dan maju ke hadapan. Setelah itu, kita dapati ia merupakan dosa terakhir yang ditakdirkan bagi kita.

Perhatikan, telah berapa banyak perkara sebegini terjadi kepada orang yang pernah melakukan dosa besar. Sebelumnya mereka adalah seorang pencuri, tetapi kemudian menjadi orang yang mulia. Di antara mereka ialah tokoh sufi yang terkenal, Ibrahim ibnu Adham.

Beliau bertaubat setelah mendengar suatu bisikan ketika sedang berburu. Setelah itu beliau sering berdoa dengan doanya: "Ya Allah! Pindahkanlah aku daripada kehinaan maksiat kepada kemuliaan ketaatan."

Begitu juga Fudhail ibnu 'Iyadh r.a yang asalnya seorang penyamun. Sebelum bertaubat, dia begitu berminat dengan seorang jariah. Pada suatu hari, ketika memanjat dinding rumah jariah itu, dia mendengar suara orang yang sedang mengalunkan ayat 16 surah al-Hadid: Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyu' hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasiq-derhaka.

Selepas mendengar ayat itu datang keinsafan di dalam hatinya sehingga hari ini kita mengenalinya sebagai seorang ahli sufi yang terkenal. Justeru, jadikanlah mereka sebagai model yang boleh membuka minda dan hati kita untuk bersangka baik dengan Allah.

Banyak ayat dan hadis yang mengingatkan kita tentang keluasan rahmat dan keampunan Allah. Di antaranya, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat)! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Zumar: 53)

Allah SWT juga berfirman : Dan tiada sesiapa yang berputus asa dari rahmat Tuhannya melainkan orang-orang yang sesat. (al-Hijr: 56). Dalam surah Yusuf, ayat 87, Allah SWT juga berfirman: Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah melainkan kaum yang kafir.

Sabda Rasulullah SAW: "Setiap anak Adam pasti melakukan kesilapan. Sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan ialah orang yang bertaubat daripada dosanya. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi mereka yang sentiasa mensucikan dirinya".

Maka marilah kita, sebagai hamba-hamba-Nya yang banyak melakukan kesalahan berazam tidak sekali-kali berputus asa daripada berusaha dan kekal beristiqamah pada jalan 'ubudiah walau betapa perit dirasakan melalui jalan yang satu ini

Friday, January 15, 2010

Sumber kehidupan halal bentuk peribadi mulia




Sumber kehidupan halal bentuk peribadi mulia
Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

Makanan daripada hasil haram jejas keperibadian, kepincangan keluarga umat Islam

KEPINCANGAN dalam masyarakat hari ini berlaku kerana terlalu melihat kepada kebendaan menyebabkan timbul perasaan tidak tenang dan berasakan apa dimiliki masih belum cukup hingga sanggup melakukan apa saja bagi memenuhi impian.
Disebabkan itu, isu keberkatan hidup tidak pernah diberi perhatian apatah lagi untuk mengambil berat perihal makanan yang dibawa masuk ke rumah dan memastikan keluarga dibimbing menurut syariat Islam.

Penceramah bebas, Zahazan Mohamed, berkata perkara yang sebenarnya penting tetapi sering diabaikan itu menyebabkan berlakunya kejadian jenayah serta keruntuhan moral yang kian hari kian menakutkan.

Katanya, jika diselidik secara mendalam, anak yang soleh dan mudah terarah kepada kebaikan bukan berlaku secara kebetulan tetapi bermula daripada asas penubuhan keluarga iaitu pemilihan pasangan, pendidikan serta sumber makanan.

"Ada hadis mengenai lelaki yang menadah tangan ke langit dan berdoa kepada Allah tetapi doanya tidak diterima kerana rezekinya haram, pakaian haram dan dibesarkan oleh susu yang haram. Jadi, jika ibu makan makanan haram, itu yang anak jadi degil dan doa tidak mustajab.

"Perkara ini penting tetapi kita suka mengambil sikap pandang mudah atau tidak menghiraukan langsung perkara itu kerana terlalu mengejar keduniaan. Hasilnya kita lihat sekarang ini generasi Islam yang pincang," katanya.

Perkembangan semasa memperlihatkan insiden jenayah rogol, pembunuhan, konflik keluarga, keruntuhan moral golongan remaja, menimbulkan persoalan di mana silapnya kehidupan masyarakat hari ini.

Pembunuhan kejam terutama di kalangan ahli keluarga, keberanian anak remaja berzina tanpa disedari ibu bapa, pembuangan bayi tidak berdosa dan kepercayaan kepada bomoh serta ajaran sesat menjadi masalah seakan tiada berkesudahan.

Zahazan berkata, sikap individualistik yang semakin menyelubungi masyarakat kini menjadikan sistem kehidupan tidak berjalan seperti yang sepatutnya sedangkan jika semua pihak mengambil berat, banyak gejala negatif dapat dibendung secara bersama.

Oleh itu katanya, tindakan drastik untuk mengubah sikap masyarakat yang lebih bersifat individualistik kepada masyarakat prihatin perlu disegerakan supaya perjalanan sistem kehidupan dapat digerakkan ke arah keadaan yang lebih baik.

"Saya masuk masjid dan khatib ingin memulakan khutbah tetapi ada anak muda sedang berbual. Saya akan beritahu, penat saja datang jika tidak mendengar khutbah kerana pahala akan batal. Jika semua orang cakap begitu, budak muda ini akan sedar.

"Jika tengah malam ada anak remaja perempuan duduk melepak dengan lelaki di restoran, sepatutnya pemilik restoran menasihati dengan memberitahu alangkah risau ibu bapa memikirkan anak mereka yang tidak pulang.

"Malangnya, kebanyakan kita mengambil sikap 'tidak mengapa, orang lain akan buat tugas itu' menyebabkan tiada tindakan dan bagaimana kita hendak mengharapkan keadaan berubah menjadi lebih baik," katanya.

Beliau berkata, sistem pendidikan yang mementingkan hasil duniawi semata-mata sehingga mengetepikan keperluan untuk menerapkan nilai diajar agama melahirkan golongan bijak dalam pelajaran tetapi miskin dari segi akhlak mulia.

Sebab itu, ada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang tetapi boleh bergaduh dengan rakan hanya kerana berebut teman lelaki disebabkan pencapaian yang baik tidak memberi kesan kepada akhlak.

Mereka tidak diceritakan mengenai adanya Allah, malaikat Raqib dan Atid serta kesan perbuatan baik mendapat pahala sementara yang melakukan kejahatan bakal dibalas dosa.

Zahazan berkata, umat Islam perlu melihat diri mereka sebagai satu badan dan mengambil masalah yang berlaku dalam masyarakat sebagai masalah masing-masing seterusnya berfikir mencari jalan menanganinya.

"Nabi Muhammad SAW berpesan siapa yang kata manusia itu rosak, orang Islam itu binasa, dialah yang paling binasa di kalangan mereka atau dialah yang membinasakan mereka. Hadis ini bahaya dan perlu difikirkan.

"Sementara Imam Syafie berkata, biar aku fikir sekejap daripada solat 1,000 rakaat kerana jika aku solat itu untuk diri aku tetapi jika aku fikir, fikiran itu akan dipakai beratus tahun. Jariah aku tidak pernah ada noktahnya," katanya

Wednesday, January 13, 2010

Mukmin berhak pertahan kalimah Allah



AGAMA Mukmin berhak pertahan kalimah Allah
Oleh Muhammad Uthman El-Muhammady

KITA boleh melihat gagasan Islam liberal seperti dalam laman web 'Jaringan Islam Liberal' (islamlib.com) untuk memerhati implikasi yang mungkin timbul daripadanya jika ia tersebar di kalangan Muslimin di Malaysia. Antaranya ialah seperti berikut:

Dalam laman web JIL kita dapati misalnya (http://islamlib.com/id/c/gagasan/ )(5-12-2004) gagasan yang disebut 'sesuai dengan prinsip persaudaraan ( al-ikhâ), kesetaraan (al-musâwah) dan keadilan (al-'adâlah); sesuai dengan HAM (hak-hak manusia sejagat) dan tidak bertentangan dengan Deklarasi Universal HAM, juga produk hukum lain seperti Perlindungan kanak-kanak dan Perempuan.

CLD-KHI (satu gagasan) juga demokratis, pluralis, inklusif dan mengutamakan keadilan dan kesetaraan gender"- dengan huraian yang terpengaruh dengan konsep Barat mengenai demokrasi, pluralisme (semua agama sama), 'incluvisme' (semua agama boleh diterima oleh orang mukmin), menunjukkan kedudukan utama lelaki, dan persamaan gender (iaitu sama kedudukan dalam semua hal antara lelaki dan perempuan ala Barat) tanpa menghiraukan ketentuan dalam syariat, hidup kerohanian dan akidah Ahli Sunnah.

Kemudian kita bertemu pula dengan gagasan disebutkan: http://islamlib.com/id/c/gagasan/ (26/08/08) 'Sejumlah kajian menjelaskan bahawa corak keagamaan masyarakat dapat dipolakan dalam dua kategori: corak yang otoritarian dan humanistik. Agama yang humanistik memandang manusia dengan pandangan positif dan optimis, serta menjadikan manusia sebagai makhluk penting dan memiliki pilihan bebas.

Dengan kemahuan bebasnya, manusia dapat memilih agama yang diyakininya benar. Manusia harus mengembangkan daya nalarnya agar mampu memahami diri sendiri, untuk selanjutnya membangun secara positif dan konstruktif dengan sesama manusia, serta menjaga kelestarian alam semesta."

Dalam konteks gagasan seperti ini maka akan muncul fahaman Islam bukan agama yang benar satu-satunya, pemikiran manusia harus tidak didisiplinkan oleh hukum Tuhan, sebab pada mereka yang berfikiran demikian tidak ada apa disebut 'hukum Tuhan' itu; yang ada hanya tafsiran manusia. Juga tidak ada perkara akidah yang tetap yang mesti kita tunduk patuh kepadanya; perkara benar boleh berubah-ubah mengikut keadaan; yang baik dan yang buruk juga terletak kepada keadaan dan budaya.

Dalam konteks ini kita tidak hairan kalau golongan yang terpengaruh dengan pemikiran sedemikian melakukan penafsiran agama mengikut kehendak sendiri dan tidak dipandu oleh konsep ilmu dan akidah arus perdana tertentu. Jelas bahawa cara pemikiran sedemikian akan menghuru-harakan keadaan orang ramai dalam negara selain daripada ia terpesong daripada kebenaran yang disepakati dalam umat. Bahkan golongan ini tidak menerima ijmak atau persepakatan ulama sebagai panduan dalam memahami ilmu khususnya ilmu agama.

Dalam konteks pemikiran demikian kita tidak hairan ada orang Islam sendiri yang membenarkan penggunaan kalimah atau nama Allah, ismu jalalah, digunakan oleh mereka yang mengamalkan kepercayaan syirik seperti triniti dan yang sepertinya. Pada orang Islam membenarkan pihak yang mengamalkan agama syirik menggunakan nama Allah adalah kesalahan terbesar sekali sebab ia menyentuh tauhid dan kekudusan Tuhan.

Oleh itu, sedaya mungkin, bila Muslimin ada kewenangan, mereka mesti mencegahnya, kecuali ia sudah menjadi budaya yang lumrah seperti yang berlaku di setengah negara di Asia Barat. Hujah-hujah mengenai ini antaranya seperti berikut.

Pertama: Takrif Allah ialah sebagaimana yang ada dalam Surah al-Ikhlas, Ia Tunggal, Tempat Tuju Terakhir sekalian makhluk bagi mendapat hajat mereka, Kekal Abadi, Sempurna, tidak melahirkan dan tidak dilahirkan, serta tidak ada yang seperti-Nya. Kalau nama itu digunakan bagi Tuhan Jesus, atau Bapa Di Langit yang mereka meminta roti setiap hari daripada-Nya, atau triniti, itu tidak benar.

Kedua: Kalau Muslimin membenarkan pihak yang menyembah salib, atau Jesus atas kayu palang menyeru itu semua sebagai 'Allah', atau pihak yang menyembah patung Ganesh menyerunya dengan nama Allah, maka itu seperti Muslimin membenarkan pihak lain itu 'memaki Allah'.

Ini timbul daripada ayat bermaksud: "janganlah kamu memaki apa yang mereka sembah selain daripada Allah, lalu mereka memaki Allah dalam permusuhan dan dalam ketiadaan ilmu" ; ertinya kita membenarkan mereka menyeru nama 'Allah' kepada objek yang bukan Allah. Kita wajib menjaga kesucian nama Allah sedaya yang mungkin. Kalau tidak kita bersalah.

Ketiga: Kita wajib menjaga takdisnya nama Tuhan sedaya upaya kita. Ulama menyatakan bahawa kita wajib menjaga kesucian rahim wanita dengan memastikan 'tiga kali suci' atau 'tiga kali haid' baru rahim dikira suci, dan perkahwinan baru boleh diakadkan; maka kata ulama kalau dalam menjaga kesucian rahim dimestikan tiga kali suci, walhal kalau sekalipun sudah cukup, alangkah lebih beratnya pula hukum menjaga kesucian nama Tuhan supaya ia sunyi daripada apa-apa yang tidak patut baginya seperti memanggil nama Allah walhal yang dituju adalah 'Tuhan Jesus' atau 'Bapa Di Langit…'

Keempat: Kita bukan berada dalam budaya yang nama 'Allah' digunakan oleh mereka yang beragama lain, maka kalau kita membenarkan penggunaan itu, ia akan mengelirukan orang beriman yang ramai terdiri daripada orang awam. Itu akan menimbulkan kekacauan rohani dan membinasakan agama dan manusia dari segi hidup rohani mereka. Kita wajib mengelak diri daripada perkara demikian.

Kelima: Dalam Kamus Inggeris Oxford yang terbesar itu dinyatakan bahawa Allah adalah tuhan bagi orang Islam. Demikian juga dalam Encyclopedia Brittannica dan Encyclopedia of Religion and Ethics suntingan Hastings. Jadi mengapa pula nama jalalah ini hendak digunakan oleh mereka, dan dalam majalah versi bahasa Melayunya pula? Adakah mereka akan menggunakan nama ini dalam Bible mereka semua dalam semua bahasa dunia?

Keenam: Mengenai kedudukan Islam sebagai agama persekutuan di Malaysia yang wajib diterima semua pihak, dan agama ialah urusan Yang di-Pertuan Agong dan dalam negeri-negeri urusan Sultan, dan fatwa kebangsaan sudah menentukan bahawa ismu jalalah atau nama Allah itu adalah untuk agama Islam. Maka dalam konteks ketaatan kepada perlembagaan tidak ada sesiapa yang patut mempersoalkan kedudukan agama Islam dan perkara yang berkaitan dengan pengamalannya. Dengan itu penggunaannya yang tidak wajar, hendaklah dilarang.

Ketujuh: Kepercayaan lain boleh diamalkan dengan 'aman dan damai' dan mempersoalkan penggunaan Allah khusus bagi orang Islam dan agama Islam bukanlah perbuatan mengamalkan kepercayaan lain dengan 'aman dan damai' sebab ia menimbulkan keresahan sebagaimana yang jelas dalam laporan media. Dengan itu penggunaan nama Allah oleh pihak lain yang mengandungi niat tidak wajar hendaklah dilarang.

Kelapan: Walaupun dalam hubungan dengan hak-hak kebebasan manusia sejagat, artikel 29memberi kenyataan:

"Artikel 29(2) deklarasi itu memaktubkan, dalam melaksanakan seluruh hak dan kebebasan, setiap individu adalah tertakluk kepada sekatan yang ditentukan oleh undang-undang khusus. Sekatan itu adalah bagi memastikan keperluan saksama terhadap moraliti, ketenteraman awam dan kesejahteraan umum di dalam suatu masyarakat demokratik.

"Artikel 29(3) deklarasi berkenaan menegaskan, seluruh hak dan kebebasan tidak boleh mencanggahi seluruh matlamat dan prinsip Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Berdasarkan Piagam PBB, antara matlamat dan prinsip PBB adalah pengamalan toleransi dan kehidupan bersama secara aman; bersatu memelihara keamanan dan keselamatan antarabangsa; menghapuskan seluruh ancaman kepada keamanan; pemansuhan tindakan ganas; dan bertindak selaras dengan undang-undang antarabangsa untuk meleraikan persengketaan atau lain-lain tindakan menjejaskan keamanan". (Lihat dalam laman web Malaysian Bar: http://www.malaysianbar.org.my/berita/komen_undang_undang/realiti_kebebasan_media_di_malaysia.html?date=2010-01-01 )

Kesembilan: Kita boleh memahami hal ini dengan menggunakan misalan dan perbandingan. Katakanlah ada seorang raja negeri yang besar; ia sedang berada di Balai Penghadapannya; ramai orang yang berada di Balai Penghadapannya itu. Katakanlah di Balairong Seri, tiba-tiba ada seorang yang datang, dengan diperhatikan oleh raja besar itu, kemudian ia bertemu dengan tukang sapu sampah berhampiran, lalu ia mengadap orang itu. Katanya 'Tuanku Yang Dipertuan! 'tentu sekali orang itu akan mendapat murka raja itu. Demikian kedudukannya. Maka kalaulah muslimin membenarkan pihak lain menggunakan nama Allah untuk 'Tuhan Jesus' atau untuk 'Bapa di Langit…' maka itu adalah tempelak terbesar terhadap Allah Yang maha Esa dan maha Tinggi.

Dengan itu sedaya upaya Muslimin jangan memberi izin pihak lain menggunakan nama ini secara tidak sepatutnya. Manfaatkan kewenangan yang Tuhan kurniakan kepada Muslimin untuk menyuci dan meninggikan nama-Nya agar Ia tidak dicemari sesiapa. Kalau kewenangan itu tidak dimanafaatkan mungkin Tuhan akan mencabutnya, dijauhkan Allah. Wallahu a'lam.

INTI PATI: Hujah pertahan penggunaan Allah

Takrif Allah ialah sebagaimana yang ada dalam Surah al-Ikhlas, Ia Tunggal, Tempat Tuju Terakhir sekalian makhluk, Kekal Abadi, Sempurna, tidak melahirkan dan tidak dilahirkan, serta tidak ada yang seperti-Nya seperti dalam agama lain.

Membenarkan pihak agama lain menggunakan nama Allah seperti membenarkan pihak lain menghina Allah.

Mukmin wajib menjaga kesucian nama Allah daripada disamakan dengan 'Tuhan Jesus' atau 'Bapa Di Langit.

Membenarkan agama lain turut guna nama Allah menyebabkan mukmin lain akan keliru.

Kedudukan Islam sebagai agama persekutuan di Malaysia wajib diterima, penggunaan Allah selain Islam perlu dilarang.

Penggunaan nama Allah oleh pihak lain yang mengandungi niat tidak wajar hendaklah dilarang.

Tuesday, January 12, 2010

Azam mendidik anak

Petikan artikel pilihan (KOSMO Online)


Apa kata tahun ini anda mencari resolusi baru untuk menjadi ibu bapa yang lebih efektif?

KITA sering mendengar resolusi tahun baru kebanyakan orang adalah untuk berhenti merokok, lebihkan senaman atau mengubah tabiat pemakanan. Apa kata tahun ini anda mencari resolusi baru untuk menjadi ibu bapa yang lebih efektif?

Mungkinkah terdapat teknik mendidik anak yang perlu anda tukar? Ataupun terdapat tabiat anak anda yang perlu diubah?

Berikut adalah sesetengah resolusi mendidik anak yang mungkin boleh dipertimbangkan.

Jadikan contoh

Kebanyakan ibu bapa tidak sedar akan pengaruh mereka terhadap anak-anak.

Anak biasanya cenderung terpengaruh dengan tabiat merokok, pengamalan diet yang tidak sihat, tidak memakai topi keledar dan sebagainya jika salah seorang daripada ibu bapa mempunyai tabiat buruk.

Ibu bapa perlu menjadi model yang baik sama ada dari segi tingkah laku mahupun kaedah pengurusan emosi.

Mendisiplinkan anak

Belajar mendisiplinkan anak secara efektif amat mustahak. Mendidik mereka kaedah bertindak balas dan mengurangkan tingkah laku yang buruk adalah salah satu contohnya.

Disiplin dan hukuman bukan perkara yang sama. Jika anda berdepan dengan masalah mendisiplinkan anak, maka jangan segan mendapatkan bantuan. Setiap kanak-kanak adalah berbeza. Teknik didikan tertentu tidak semestinya boleh diaplikasikan untuk semua anak.

Didikan adalah sebahagian besar daripada disiplin. Jika anak melenting, mengehadkannya daripada menikmati pelbagai keistimewaan mungkin satu tindakan yang wajar.

Tetapi, si anak tidak mungkin belajar atau tahu apa yang betul sehinggalah anda menunjukkan kepadanya. Luangkan masa untuk menerangkan perilaku yang betul kepada anak.

Memahami anak

Adakah anda memahami perkara yang dilakukan oleh anak? Mengapa anak kecil memandang anda dan sejurus selepas itu memukul abangnya atau melontarkan sesuatu ke atas lantai? Tidakkah dia tahu itu sesuatu yang salah?

Dia mungkin tahu tetapi tidak bermakna apa yang dilakukan itu jahat. Sebaliknya, kebanyakan kanak-kanak berada dalam kedudukan menerokai had mereka. Inilah satu proses normal dan merupakan sebahagian daripada perkembangan semula jadi. Jika anda berusaha memahami rasional anak, boleh jadi kemarahan dan reaksi anda tidaklah seteruk yang disangkakan.

Sebahagian besar ibu bapa telah mengukuhkan perilaku buruk anak tanpa disedari. Keadaan ini boleh berlaku apabila anak disalurkan dengan pelbagai perhatian negatif dan tidak konsisten. Sekiranya anda masih tidak dapat memahami mengapa anak bertindak sedemikian, maka ini mungkin bermakna teknik mendisiplinkan anak anda itu tidak berkesan.

Pemakanan sihat

Dewasa ini kebanyakan ibu bapa dilihat cenderung memanjakan anak. Malah, mereka juga terlupa meminta anak membasuh pinggan mangkuk setiap kali selepas makan. Sepatutnya, anak perlu belajar menghabiskan makanan agar tidak meninggalkan separuh daripada sajian tersebut di dalam pinggan.

Jika anda sentiasa membiarkan lebihan makanan berada dalam pinggan secara konsisten, tabiat ini akan terbawa-bawa sehingga ke alam dewasa. Untuk menyelesaikan masalah ini, anda mungkin boleh memberikan hidangan kecil kepada anak bagi melatihnya menghabiskan semua makanan. Sediakan juga pilihan makanan yang sihat seperti buah-buahan, sayuran, daging dan produk tenusu rendah lemak. Hadkan pengambilan minuman bersoda, tinggi gula dan makanan kaya lemak dalam diet pemakanan anak anda.

Aktiviti fizikal

Bilangan kanak-kanak dan anak remaja yang obes kian bertambah. Menghabiskan masa berjam-jam di depan televisyen, bermain permainan video dan komputer adalah antara puncanya. Jadi, selain pengamalan diet yang seimbang, pastikan anak diberi masa untuk melakukan aktiviti-aktiviti fizikal secara kerap untuk kekal sihat dan cergas.

Berkomunikasi secara efektif

Adakah anda tahu bagaimana berinteraksi dengan anak? Apakah yang akan anda lakukan apabila anak bermasalah? Belajar berkomunikasi dengan anak jelas merupakan satu kemahiran penting.

Sebenarnya terdapat banyak perkara yang boleh dibincangkan bersama anak. Misalnya, pendidikan seks, bahaya merokok dan penyalahgunaan dadah serta alkohol.

Sentiasa bersedia

Apakah yang akan anda lakukan pada kali pertama berdepan dengan masalah didikan anak yang spesifik? Misalnya, ketika anak bercakap bohong, mencuri atau ponteng sekolah? Anda mungkin tidak bersedia untuk setiap situasi tetapi perancangan awal mungkin dapat membantu.

Membuat perancangan awal juga boleh membantu anda berdepan dengan anak-anak yang sukar dikawal.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web http://pediatrics. about.com.

Sunday, January 10, 2010

Bersikap zalim sesama manusia perbuatan terkutuk, dimurkai



Bersikap zalim sesama manusia perbuatan terkutuk, dimurkai
Oleh Mohd Kamel Mat Salleh

ZALIM ialah satu perbuatan terkutuk yang sangat dilarang oleh agama Islam. Perbuatan itu sangat dimurkai Allah serta dilarang keras Nabi Muhammad SAW kerana zalim menafikan hak yang sepatutnya menjadi milik seseorang.

Al-Quran mengandungi banyak ayat menyentuh larangan dan kesan perbuatan itu sama ada membabitkan si pelaku zalim, mangsa kezaliman, kesan kepada kezaliman itu sendiri dan perbuatan menzalimi diri sendiri.

Antaranya, suami yang merujuk isteri dengan niat mendatangkan mudarat. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri kamu kemudian mereka (hampir) habis tempoh edahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik dan janganlah kamu pegang (rujuk) mereka dengan maksud memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka) dan sesiapa yang melakukan demikian, maka sesungguhnya dia menganiaya (menzalimi) dirinya sendiri.” (Surah al-Baqarah, ayat 231)

Perbuatan Nabi Adam dan Hawa menghampiri dan memakan buah larangan di syurga juga adalah kezaliman yang berlaku disebabkan hasutan syaitan hingga mereka terpedaya lantas dikeluarkan dari syurga.

Kisah itu diceritakan dalam firman Allah yang bermaksud: “Mereka berdua merayu, wahai Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya jadilah kami dari kalangan orang yang rugi.” (Surah al-A’raaf, ayat 23)

Sejarah pembinaan Masjid Dhirar juga adalah contoh perbuatan zalim kerana Masjid Dhirar ialah masjid yang sengaja didirikan golongan munafik bukan atas sifat takwa tetapi bertujuan memecah belah masyarakat Islam di Madinah. Ia juga bagi menyaingi Masjid Quba’ yang menjadi lambang perpaduan umat Islam di sana.

Firman Allah yang bermaksud: “Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikan di atas dasar takwa kepada Allah (untuk mencari) keredaan Allah (Masjid Quba) itu lebih baik, atau orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia dengan yang membangunkannya ke dalam api neraka? Dan ingatlah, Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada orang yang zalim.” (Surah al-Taubah, ayat 109)

Firaun memang seorang raja yang terkenal dengan kejahatan dan kezalimannya. Beliau dianggap zalim kerana menolak dakwah Nabi Musa, mencabar kekuasaan Allah, mendakwa diri sebagai Tuhan, membunuh anak lelaki dan sebagainya. Banyak ayat al-Quran menceritakan mengenai sifatnya dan kaumnya yang durjana itu dengan sanggup memusuhi Nabi Allah Musa, malah menentang Allah.

Oleh itu, zalim adalah dilarang dan Rasulullah SAW dalam banyak hadis Baginda menegaskan kesan daripada perbuatan zalim seperti doa mereka yang dizalimi akan dimakbul dan diterima Allah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tolonglah saudaramu, baik ia orang yang zalim, mahupun yang dizalimi. Seorang sahabat bertanya, wahai Rasulullah, kami tahu untuk menolong orang yang dizalimi, tetapi bagaimana untuk kami menolong orang yang zalim? Nabi menjawab: Kamu tegahlah ia daripada melakukan kezaliman.”

Rasulullah SAW juga berpesan supaya menjauhi perbuatan zalim dalam sabda yang bermaksud: “Jauhilah kezaliman, kerana ia (akan mengakibatkan) kegelapan di hari kiamat dan jauhilah sifat bakhil, kerana ia suatu sifat yang membinasakan umat terdahulu sebelum kamu.”

Sesungguhnya perbuatan zalim amat buruk kesannya kepada manusia keseluruhannya. Kezaliman Namrud disudahi dengan kematian yang cukup tragis hanya disebabkan nyamuk kecil. Firaun yang mengaku diri Tuhan mati dalam keadaan tenggelam dan memohon keampunan Allah.

Saturday, January 9, 2010

Bagaimana Arak Memabukkan?



www.iluvislam.com
Oleh/Editor : naadherah



90. Wahai orang-orang Yang beriman! Bahawa Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib Dengan batang-batang anak panah, adalah (Semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya

(Al-Maidah : 90)

Tahukah anda bahawa Malaysia merupakan Negara ke-10 terbesar dalam pengambilan arak di dunia. Malah, pada tahun 1996 (iaitu lebih sepuluh tahun yang lalu) , cukai penjualan arak sahaja mencecah sekurang-kurangnya RM 817 million. Menurut majalah The Globe Magazine, Syarikat Carlsberg AS of Denmark telah memahkotakan Malaysia sebagai “very important and attractive market” dengan melabur sebanyak US$ 20 million bagi menghasilkan sekurang-kurangnya 125 million liter arak setahun.

Mari kita tinjau makhluk ciptaan Allah yang tak berdosa ini ketika kehidupannya di peringkat zarah. Arak atau nama popularnya alkohol terdiri daripada unit-unit kecil karbon , hidrogen dan oksigen yang dipanggil ethyl alkohol ataupun ethanol. Maha Suci Allah, manusia juga mempunyai unsur karbon, oksigen dan hidrogen tapi mengapa seorang manusia tu tidak dipanggil seorang alkohol, walaupun terdiri daripada unsur yang sama? Kerana masing-masing mempunya ikatan (bond) yang berbeza.Selain itu, manusia juga mempunyai gabungan unsur-unsur lain (bukan hanya karbon,oksigen &hidrogen) dan semestinya, manusia mempunyai ruh yang tak dapat diterangkan dengan huruf-huruf.

Arak yang berada di pasaran selalunya mempunyai harga yang berbeza-beza, mengapa ya? Pertama, bergantung kepada tarikh arak tersebut dihasilkan. Kebiasaannya, semakin lama arak tersebut diperam, semakin melambung harganya. Keduanya, bergantung kepada komposisi peratusan alkohol dalam arak tersebut. Secara puratanya, beer mengandungi 4.5% alkohol, wine 11%, champagne 12%, manakala distilled spirits seperti rum, gin, vodka, dan whiskey mengandungi 45-95% alkohol.

Perbuatan minum arak secara “tipu-tipu” dan olok-olok seperti merapatkan gelas ke mulut tetapi mengetap bibir sekuat hati supaya cecair tersebut tidak masuk ke dalam mulut adalah perbuatan yang amat membahayakan. Apatah lagi meminumya. Hal ini kerana, saat pertama alkohol diserap masuk kedalam badan adalah ketika titisan cecair laknat tersebut menyentuh permukaan bibir pelaku. ….dan Gulp. Apabila seseorang menelan alkohol sama ada sengaja atau tidak, ia mula diserap melalui dinding mulut, esofagus, dinding perut dan paling banyak sekali pada permukaan usus. Permukaan yang bersentuhan dengan alkohol seringkali mengalami hakisan.

Molekul-molekul alkohol tersebut akan mengembara merentasi bukaan dinding kapilari kerana sifat semulajadinya yang “melarut”. Sekiranya terdapat anugerah “Paling Terlarut” antara unsure-unsur di bumi, pasti keluarga alkohol bakal menjuarainya kerana kebolehan mereka untuk larut dalam lemak dan air.Bersama dengan teman-teman komponen darah yang lain, mereka akan berhijrah bersama mengelilingi seluruh badan manusia (circulation), mengintai-intai peluang menyelinap masuk ke dalam sel-sel badan.

Tibalah masa yang ditunggu-tunggu, molekul alkohol berjaya melawan tarikan graviti, meletakkan mereka ditempat yang terpuji lagi tinggi, dalam erti kata lain mereka berjaya sampai di bahagian kepala, lalu berkenalan dengan suatu struktur luar biasa (subhanallah) iaitu..”Pemisah Darah dari Otak”, atau lebih senang dengan panggilan Blood Brain Barrier (BBB).

Hal ini merupakan fakta yang sangat penting. Kebolehan alkohol merentasi Blood Brain Barrier memisahkannya dengan makhluk Allah yang lain. Contohnya, jus anggur dan tapai yang mampu menghasilkan arak sekiranya diperam dengan lebih lama , tidak termasuk dalam kategori “boleh merentasi Blood Brain Barrier”, seterusnya halal dimakan.

Mengapa demikian? Kerana apa-apa unsur (bukan semua, terdapat pengecualian) yang boleh merentasi Blood Brain Barrier mampu menjejaskan struktur dalaman otak seperti cerebral cortex, limbic system, cerebellum, hypothalamus serta medulla. Kombinasi kerosakan pada bahagian-bahagian otak yang berbeza inilah yang dipanggil “mabuk”.

Cerebral cortex yang terjejas akan menyebabkan pusat pemikiran menjadi luar kawal. Keupayaan deria juga akan berkurangan.Hal ini menerangkan mengapa orang yang mabuk seringkali mengambil tindakan di luar jangkaan yang mengakibatkan kemudaratan diri sendiri dan orang lain seperti terjun bangunan, berguling-guling di jalan raya mahupun terhuyung-hayag tidak tentu arah. Kebiasaannya apabila ditanya kembali aktiviti yang dilakukan ketika sedang mabuk, mereka pasti tidak mengingatinya kerana ketika itu kerosakan cerebral cortex berlaku.

Terjejasnya limbic system pula menyebabkan seseorang terlampau emosi. Pemabuk yang marah akan menjadi bertambah tambah tambah marah manakala pemabuk yang gembira akan menjadi terlampau lampau lampau gembira diluar kebiasaan fitrah manusia. Hal ini menerangkan kebiasaan pemabuk senyum-senyum sendiri, murung yang teramat dan kadang-kadang “tiada ekspresi”.

Cerebellum pula pada asalnya bertugas mengawal pergerakan-pergerakan badan yang memerlukan fokus dan teliti. Contohnya seperti menulis dan melukis. Terjejasnya cerebellum seseorang akan menyebabkan pergerakan menjadi tidak tepat. Sekiranya anda terserempak dengan pemabuk, cubalah anda suruh mereka meletakkan jari telunjuk di hidung mereka sendiri.Pasti mereka tidak mampu melakukannya, kerana perlakuan tersebut memerlukan konsentrasi dan ketelitian yang tinggi.

Medulla pula mengawal aktiviti luar kawal seperti pernafasan, degupan jantung dan kerdipan mata. Terdapat risiko pernafasan akan berhenti secara tiba-tiba, degupan jantung terlampau cepat atau terlampau lambat berkerja, selalunya dipanggil sebagai “jantung yang bercuti selepas berparti” (Holiday Heart).Boleh jadi mata pemabuk akan berkedip tidak henti-henti ataupun langsung tidak berkedip.

Selain daripada terjejasnya pusat kawalan otak, bahagian-bahagian badan lain yang akan terjejas adalah terlampau banyak sehingga tidak mampu disenaraikan disni. Antaranya kanser mulut, lidah, dan esofagus. Kanser hati, cirrhosis, dan hepatitis. Penyakit jantung, darah tinggi dan strok. Untuk wanita yang mengandung, kemungkinan besar akan mengalami penyakit “Fetal Alcohol Syndrome” . Antara ciri-ciri bayi dengan Fetal Alcohol Syndrome adalah kepala dan otak yang kecil, terlampau aktif, koordinasi yang lemah dan kurang akal.(mentally retarded)

Indahnya Islam bukan sahaja melarang orang-orang beriman minum arak, malah melarang umat Islam mendekatinya.Larangsn tersebut lengkap ditujukan daripada penanam anggur untuk dibuat arak, penuai, pembawa, pekerja lori, pekerja kilang, pekerja kedai, bos kedai, pelayan, pemesan dan peminum. Berlainan dengan Amerika Syarikat yang mengambil “langkah berjaga-jaga” dengan menetapkan bahawa pembelian arak yang “halal” di sisi undang-undang adalah apabila telah berumur 21 tahun dan ke atas. “Langkah berjaga-jaga” ini bukan sahaja menggalakkan aktiviti peminum arak malah mendatangkan kerugian kepada negara sehingga terpaksa menubuhkan National Institute On Alcohol Abuse and Alcoholism (NIAAA).

Secara umumnya, agama Islam dan kepercayaan-kepercayaan lain mempunyai pandangan yang sama dalam hal pelarangan arak. Al-Quran jelas menyatakan pengharamannya (antaranya) melalui surah Al-Maidah ayat 90 & 91 .

Kepercayaan Buddha juga menolak arak dalam salah satu daripada lapan Precepts of Buddhism , dengan menyatakan “Orang-orang Buddha perlu menahan diri daripada liquor”. Pengamal Buddha juga dilarang untuk menjual liqour sebagai sumber perncarian.

Dalam bible, the Book of Proverbs Chapter 23:29-33 ada “menasihatkan”, “Do not look at

wine when it is red, when it sparkles in the cup and goes down smoothly.At the last it bites like a serpent, and stings like an adder. Your eyes will see strange things, and your mind utter perverse things” ..

Manakala tokoh Hindu, Thiruvalluvar ada “berpesan”, “they that drink liqour are no other than poison drinkers and therefore do not differ from dead man.”

Alhamdulillah sebagai muslim yang faham, sebab yang paling utama untuk kita jauhi arak adalah kerana ia adalah larangan daripada Allah, dan bukannya kerana terbukti oleh kajian intelektual bahawa arak tersebut memudaratkan. Sekiranya pada suatu hari nanti akan terciptanya arak yang memabukkan tetapi tidak memudaratkan adakah kita akan meminumya?

Persoalan yang lebih penting adalah bagaimana mengajak masyarakat sekeliling kearah penjauhan arak menggunakan ilmu yang kita ketahui? Dan tidaklah sesuatu ilmu itu dipelajari melainkan untuk diamalkan. Semoga dengan adannya pengetahuan mengenai arak ini dapat merealisasikan “masyarakat yang jauh dari larangan-larangan Allah”..Amin

iluvislam

Anas mencium keharuman Syurga Firdaus..

ARKIB : 08/01/2010
Anas mencium keharuman Syurga Firdaus

ANAS bin Nadhar adalah pemuda Muslim yang sangat cekal dan kuat dalam menghadapi apa jua rintangan. Beliau merupakan salah seorang pengikut Rasulullah di medan peperangan.

Beliau sangat gagah ketika bertempur di medan perang ibarat seekor singa yang garang. Semua musuh yang datang akan ditentang dan dibunuh habis-habisan.

Anas pernah melakukan kesilapan pada masa lampau iaitu tidak dapat bersama Rasulullah untuk pergi berjuang di medan peperangan Badar. Apabila mengenang kembali zaman yang lampau itu, beliau betul-betul terasa menyesal dan ingin menebus kembali kesilapannya itu.

Anas ingin terus berjuang menentang musuh pada peperangan yang akan datang. Betapa bersungguh-sungguhnya niat Anas itu, sehingga beliau menemui Rasulullah dan berkata: "Saya tidak menyertai engkau, ya Rasulullah ke medan perang Badar, sewaktu mula pertama kali engkau berhadapan dengan musuh Allah. Sekarang saya berhasrat benar, semoga nanti Allah akan memperkenankan saya memerangi kaum musyrik dan membuktikan betapa besarnya keimanan saya".

Apabila sampai masanya, pergilah Anas bersama-sama tentera Muslimin ke medan pertempuran di Bukit Uhud. Maka berlakulah pertempuran antara tentera Muslimin dengan tentera Quraisy.

Mereka saling berasak-asak, tikam menikam, panah memanah, sehingga lari bertempiaran musuh-musuh Allah itu dalam keadaan ketakutan. Di saat yang sangat kritis itu, Anas berteriak dengan suara yang lantang,

"Tuhanku, ampunilah aku daripada kesalahan yang telah diperbuat oleh mereka yang telah lari dan sucikanlah diriku daripada kekejian yang diperbuat oleh kaum Musyrikin."

Pada peringkat pertama, tentera Muslimin telah menemui kemenangan. Tetapi disebabkan kesalahan yang mereka lakukan iaitu dengan turun dari Bukit Uhud untuk mengutip harta yang ditinggalkan pihak musuh menyebabkan pihak musuh berpatah balik dan menyerang hendap mereka dari belakang.

Keadaan yang tidak bersedia ini menyebabkan tentera Muslimin ditentang habis-habisan.

Dalam keadaan begitu, Anas terus maju ke hadapan menentang pihak musuh yang datang secara mengejut itu.

Lalu beliau menghampiri Saad bin Muaz dan berkata: "Lihat ya Saad, itulah sayap-sayap syurga yang telah kelihatan. Aku telah mencium keharuman kasturinya di bawah tanah Uhud".

Anas sudah mengetahui bahawa ajalnya sudah hampir menjemputnya di perang Uhud. Beliau terdengar seolah-olah bidadari syurga sedang memanggil-manggilnya. Kemudian Anas terus mengayunkan pedangnya ke kiri dan ke kanan memerangi musuh sedaya upaya.

Ketika itu, Anas berada di tengah-tengah pasukan musuh dan api peperangan semakin hebat membakar. Tiba-tiba terdengar satu suara daripada tentera Quraisy mengatakan Rasulullah telah dibunuh.

Mendengar laungan itu, Anas menjadi lemah dan hancurlah hatinya. Malah menambahkan lagi hasratnya untuk syahid di medan peperangan. Beliau semakin marah dan terus menentang musuh sambil hatinya berkata, "Muhammad telah pergi dan tidak kembali lagi. Muhammad telah berangkat ke hadrat Tuhan-Nya, dan biarlah aku orang yang mulamula mengikuti jejaknya dan berjuang di bawah kibaran benderanya".

Setelah itu, gugurlah pahlawan Anas dengan luka-luka pada jasadnya lebih daripada 80 tempat kerana terkena pedang, panah dan tombak musuh.

Hancur berkecai jasadnya sehingga tidak dikenali lagi, kecuali adik perempuannya yang dapat mengecam mayat Anas melalui jari-jari tangannya. Begitulah nasib Anas bin Nadhar yang telah syahid sebagai pahlawan Islam yang berani.

Petikan daripada buku 366 Kisah daripada Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd

Friday, January 8, 2010

Ciri-ciri isteri solehah



Ciri-ciri isteri solehah
SOALAN:

KITA biasa dengan ungkapan yang berbunyi, "syurga di bawah tapak kaki ibu". Tetapi benarkah syurga isteri pula di bawah tapak kaki suami? Adakah ungkapan ini disokong oleh mana-mana hadis?

Jawapan:

Mentaati ibu bapa balasannya syurga. Dalam hadis-hadis, Rasulullah SAW menjanjikan syurga bagi mereka yang taat kepada kedua ibunya.

Adapun janji syurga di bawah telapak kaki suami belum saya temui, namun cukuplah menjadi seorang isteri itu ahli syurga dengan mentaati suaminya, yang demikian cukup banyak ayat al-Quran dan hadis baginda.

Sifat-sifat isteri yang dijanjikan syurga.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wanita (isteri) solehah adalah yang taat lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada dikeranakan Allah telah memelihara mereka. (al-Nisa': 34)

Dalam ayat ini Allah menghimpun beberapa sifat yang wajib ada pada seorang wanita solehah, antaranya adalah taat kepada Allah swt dan kepada suaminya dalam perkara yang makruf (perkara baik) lagi memelihara dirinya ketika suaminya tidak berada di sampingnya.

Al-Sheikh Abdul Rahman bin Nashir As-Sa'di r.h. berkata: "Tugas seorang isteri adalah menunaikan ketaatan kepada Allah dan taat kepada suaminya, kerana itulah Allah berfirman: Wanita solehah adalah yang taat, iaitu taat kepada Allah SWT, lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada di rumah atau di sampingnya". Iaitu taat kepada suami mereka bahkan ketika suaminya tidak ada, dia menjaga suaminya dengan menjaga dirinya dan harta suaminya. (Taisir, hal. 177)

Ketika Rasulullah menghadapi permasalahan dengan isteri-isterinya sampai beliau bersumpah tidak akan mencampuri mereka selama sebulan, Allah SWT menyatakan kepada baginda SAW dengan firman yang bermaksud: Jika sampai Nabi menceraikan kalian, mudah-mudahan Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kalian, muslimat, mukminat, qanitat (taat kepada Allah), taibat (sentiasa bertaubat), 'abidat (sering beribadat), saihat (kerap berpuasa) dari kalangan janda ataupun gadis. (at-Tahrim: 5) [Al-Jami' li Ahkamil Quran, 18/126-127, Tafsir Ibnu Katsir, 8/132]

Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud: "Apabila seorang wanita menjaga solat lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadan), menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, maka ketika berada di akhirat dikatakan kepadanya: Masuklah engkau ke dalam syurga dari pintu mana saja yang engkau sukai". (riwayat Ahmad 1/191, Shahihul Jami' no. 660, 661)

Berdasarkan dalil-dalil tersebut, dapat kita simpulkan bahawa sifat isteri yang solehah adalah sebagai berikut:

1. Mentauhidkan Allah dengan mengabdikan diri hanya kepada-Nya tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatupun.

2. Tunduk kepada perintah Allah, terus menerus dalam ketaatan kepada-Nya dengan banyak melakukan ibadah seperti solat, puasa, bersedekah dan selainnya.

3. Menjauhi segala perkara yang dilarang dan menjauhi sifat-sifat yang rendah yang boleh menghakis sifat-sifat mulia.

4. Selalu bertaubat kepada Allah hingga lisannya sentiasa dipenuhi istighfar dan zikir kepada-Nya. Sebaliknya ia jauh dari perkataan yang sia-sia, tidak bermanfaat dan membawa dosa seperti dusta dan lainnya.

5. Menaati suami dalam perkara kebaikan bukan dalam bermaksiat kepada Allah dan melaksanakan hak-hak suami sebaik-baiknya.

6. Menjaga dirinya ketika suami tidak berada di sisinya. Ia menjaga kehormatannya dari tangan yang hendak menyentuh, dari mata yang hendak melihat, atau dari telinga yang hendak mendengar.

Demikian juga menjaga anak-anak, rumah, dan harta suaminya.

Sifat isteri solehah lainnya boleh diperincikan berikut:

1. Penuh kasih sayang, selalu kembali kepada suaminya dan mencari maafnya. Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah aku beritahukan kepada kalian, isteri-isteri kamu yang menjadi penghuni syurga ialah isteri yang penuh kasih sayang, banyak anak, selalu kembali kepada suaminya. Di mana jika suaminya marah, dia mendatangi suaminya dan meletakkan tangannya pada tangan suaminya seraya berkata: "Aku tak dapat tidur sebelum engkau reda". (riwayat al-Nasai dalam Isyratun Nisa no. 257.)

2. Melayani suaminya (berkhidmat kepada suami) seperti menyiapkan makan minumnya, tempat tidur, pakaian dan seumpamanya.

3. Menjaga rahsia-rahsia suami, lebih-lebih yang berkenaan dengan hubungan intim antara dia dan suaminya.

Asma' bintu Yazid r.ha menceritakan dia pernah berada di sisi Rasulullah. Ketika itu kaum lelaki dan wanita sedang duduk. Baginda bertanya: "Barangkali antara kalian ada suami yang menceritakan apa yang diperbuatnya dengan isterinya (hubungan suami isteri), dan barangkali ada isteri yang memberitahu apa yang diperbuatnya bersama suaminya?" Maka mereka semua diam tidak ada yang menjawab. Aku (Asma) pun menjawab: "Demi Allah! Wahai Rasulullah, sesungguhnya mereka (para isteri) benar-benar melakukannya, demikian pula mereka (para suami)".

Baginda bersabda bermaksud: "Jangan lagi kalian lakukan, kerana yang demikian itu seperti syaitan jantan yang bertemu dengan syaitan betina di jalan, kemudian digaulinya sementara manusia menontonnya". (riwayat Ahmad 6/456)

4. Selalu berpenampilan yang bagus dan menarik di hadapan suaminya sehingga bila suaminya memandang akan menyenangkannya.

5. Ketika suaminya sedang berada di rumah, ia tidak menyibukkan dirinya dengan melakukan ibadah sunnah yang dapat menghalangi suaminya untuk istimta' (bernikmat-nikmat) dengannya seperti puasa, terkecuali bila suaminya mengizinkan.

6. Pandai mensyukuri pemberian dan kebaikan suami, tidak melupakan kebaikannya.

7. Bersegera memenuhi ajakan suami memenuhi hasratnya, tidak menolaknya tanpa alasan yang syarie, dan tidak menjauhi tempat tidur suaminya, kerana ia tahu dan takut terhadap berita Rasulullah SAW yang bermaksud: Demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidaklah seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya lalu si isteri menolak ajakan suaminya (enggan) melainkan Allah SWT murka terhadapnya hingga si suami reda padanya. (riwayat Muslim no. 1436)

Wednesday, January 6, 2010

Gubal undang-undang cegah murtad jika benar Umno sayang Allah



Gubal undang-undang cegah murtad jika benar Umno sayang Allah
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 7 Jan: Jika para pemimpin Umno benar-benar sayangkan Allah, mereka hendaklah menggubal undang-undang mencegah murtad untuk diluluskan oleh Parlimen, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu.

"Dalam Dewan Rakyat kini terdapat 132 Ahli Parlimen yang beragama Islam. Saya yakin, kesemua mereka akan memberikan sokongan padu jika kerajaan yang diterajui Umno membentangkan rang undang-undang mengenai kesalahan murtad.

"Saya juga berharap mereka yang mahu berdemonstrasi membantah penggunaan kalimah Allah bagi agama lain turut mengemukakan tuntutan kepada kerajaan pimpinan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) supaya menggubal undang-undang mencegah murtad," kata beliau ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengenai demonstrasi tersebut.

Ketika diminta mengulas mengenai rancangan beberapa pertubuhan untuk mengadakan demonstrasi membantah penggunaan kalimah Allah bagi agama lain, Hishammuddin berkata, kerajaan tidak menghalang rakyat untuk menyuarakan pendapat mereka berhubung penggunaan kalimah "Allah" oleh majalah Herald-The Catholic Weekly.

"Oleh kerana kerajaan tidak menghalang demonstrasi tersebut dan tidak ada operasi seperti Operasi Lallang 1987 di mana saya dan rakan-rakan lain tidak fasal-fasal menjadi mangsa, tentulah kerajaan juga tidak menghalang mereka yang berdemonstrasi itu menuntut penggubalan undang-undang mencegah murtad," kata Mohamad.

PAS, kata beliau, bukan sahaja dizalimi ketika demonstrasi dan majlis-majlis ceramah, malah tidak dibenarkan membentang usul mengenai murtad atau rang undang-undang ahli persendirian untuk mencegah murtad di Parlimen.

Menurut beliau, pada 25 Mac 1988, Presiden PAS kini, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Ahli Parlimen Marang telah mengemukakan usul untuk membincangkan gejala murtad, tetapi ditolak.

Selepas itu, kata Mohamad lagi, pada 2 November 1999, Tuan Guru juga tidak dibenarkan membentang rang undang-undang ahli persendirian untuk mencegah murtad.

"Oleh kerana PAS buat semua tak boleh, saya yakin orang-orang Umno yang hendak berdemonstrasi itu boleh menuntut kerajaan menggubal undang-undang mencegah murtad.

"Mereka sepatutnya berbuat demikian jika benar mereka sayangkan Allah," kata beliau.

Mohamad juga menyokong saranan Mursyidul Am, Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya diadakan dialog dengan pemimpin-pemimpin badan-badan Kristian bagi mencari jalan menyelesaikan pelbagai masalah.

"Saya harap dialog tersebut boleh disegerakan dan sebagai langkah awal, PAS boleh menginisiatifkan dialog tersebut.

"Saya yakin banyak perkara boleh dibincangkan dengan sikap yang lebih matang termasuk Perkara 11 (4) Perlembagaan Malaysia yang melarang penyebaran ajaran bukan Islam kepada orang-orang Islam," katanya.

Beliau juga yakin perbincangan tersebut boleh menjadi agenda berterusan di pihak PAS, bukan sahaja dengan badan-badan Kristian malah dengan badan-badan agama lain juga.

Pandangan Datuk Dr Haron Din tentang isu kalimah Allah

Pandangan Datuk Dr Haron Din tentang isu kalimah Allah
Sila klik link dibawah:

http://www.youtube.com/watch?v=N06ntSLtb_4

http://www.youtube.com/watch?v=nSSZL_-RM5o

Berjimat cermat bukan sampai jadi bakhil



Berjimat cermat bukan sampai jadi bakhil
Oleh Nik Salida Suhaila Nik Salih

Belanja secara sederhana, berhati-hati agar tidak menjadikan manfaat sebagai mudarat

DALAM menghadapi kegawatan ekonomi dunia, kita pula diseksa dengan harga gula yang naik mendadak. Pastinya, rakyat jelata bukan saja menghadapi masalah perbelanjaan, malah masalah lain yang timbul rentetan tekanan kewangan. Antara saranan yang klise supaya menerima hakikat itu ialah supaya berjimat cermat.

Ungkapan berjimat cermat dalam berbelanja bukanlah sesuatu yang baru didengari, malah ia adalah tuntutan dalam Islam, cuma tidak ramai yang mengendahkannya. Berjimat cermat ialah mempergunakan sesuatu dengan berhati-hati, penuh teliti dan bijaksana termasuk wang, masa dan peluang.

Saranan supaya sentiasa cermat dalam segala urusan bukanlah bermaksud supaya manusia bakhil dengan apa yang mereka ada tetapi berhati-hati agar tidak menjadikan manfaat sebagai mudarat.

Hari ini, ramai yang membazir kerana terlupa pesanan Allah SWT, mungkin kerana menganggap sikap boros adalah sifat semula jadi dan tiada siapa boleh menghalang, sedangkan bersederhana dituntut agama.

Allah SWT menyuruh kita berhati-hati dalam segenap perkara dan meninggalkan keinginan yang terlampau. Yang paling utama adalah bersederhana dalam berbelanja iaitu tidak boros dan tidak pula kedekut sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Furqan, ayat 67 yang bermaksud: "Dan orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak (pula) kikir dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian."

Yang perlu diingat ialah, kalau kita diberikan rezeki melebihi keperluan kita dan tanggungan, sedangkan pada masa sama, ada orang lain yang terlalu berhajat dengan keperluan hidup yang tidak mampu mereka peroleh, jangan pula kita menyorok tangan dengan tidak mengambil endah terhadap tanggungjawab sesama manusia.

Kadangkala kita hanyalah perantara yang dilantik oleh Allah SWT untuk membantu sesama makhluk. Tetapi tentunya kita berasa terkilan untuk membantu orang yang tidak tahu berjimat cermat dalam urusan hidupnya. Tiada wang simpanan untuk pendidikan anak, kehidupan pada usia tua, ketika kecemasan, ihsan kepada orang lain sebagai sedekah, untuk mengembangkan syiar agama dan sebagainya kerana terlalu bermewah dengan apa yang ada dan wang habis sekelip mata, sebaliknya tidak malu meminta wang dengan orang lain atas nama hutang untuk menanggung kehidupan.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Maka bergembiralah dan berharaplah terhadap apa yang mudah bagimu. Demi Allah, bukanlah kefakiran yang aku khuatirkan atas kamu, tapi aku mengkhuatirkan atas kamu kalau dibentangkan dunia untuk kamu sebagaimana yang pernah dibentangkan bagi orang sebelum kamu, lantas kamu berlumba-lumba merebutnya, lalu membinasakan kamu sebagaimana dulu membinasakan mereka." – Riwayat Bukhari dan Muslim.

Rasulullah sendiri tidak terlalu khuatir kalau-kalau umat Baginda akan menjadi fakir, tetapi Baginda takut kalau kita tertipu dengan dunia yang dihiasi dengan isinya yang sementara, yang semuanya hanyalah penyebab untuk kita ke neraka, dan itulah juga penyebab kita ke syurga, jika kita bijak membuat pilihan.

Cermat dalam membelanjakan wang dan masa adalah keutamaan umat Islam untuk dijadikan contoh kepada bukan Muslim, supaya mereka dapat menyedari bahawa moral yang sekecil itu boleh memberi untung yang besar kepada agama.

Tentulah umat Islam tidak rela terpedaya, kerana mereka diberikan petunjuk oleh Allah SWT agar menjauhi kesesatan. Orang yang terpedaya ialah orang yang tidak cermat dalam urusan dunia. Mereka tidak berjimat jika punya wang, mereka tidak rasa beruntung jika mempunyai masa, tidak berhati-hati apabila berbicara ketika orang ingin mendengar kata-katanya, tidak menghargai suami, isteri atau anak yang dianugerahkan Allah sehingga mempersiakan mereka, malah membazirkan semuanya tanpa rasa bersalah, akhirnya mereka tidak punya segala yang ada pada orang lain sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Salman Al-Farisi pernah datang kepada Abu Bakar As Siddiq r.a. ketika beliau sakit dan menghadapi kematiannya. Lalu Salman berkata, "Berpesanlah kepadaku, wahai khalifah Rasulullah". Abu Bakar menjawab: "Sesungguhnya Allah membukakan dunia untukmu kerana itu janganlah sekali-kali salah seorang dari antara kamu mengambilnya kecuali sekadar bekal keperluannya saja."

Rasulullah dan sahabat menunjukkan contoh dan mengajarkan kepada umat Islam mengenai amalan berjimat cermat agar menjadi ikutan umat Islam seluruhnya sehingga ke akhir zaman demi kebajikan bersama.

Sifat boros berbelanja wang atau masa sememangnya patut dijauhi kerana ia adalah amalan syaitan. Allah berfirman dalam Surah Al-Israa' ayat 27 yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu sangat kufur kepada Rabb-Nya."

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pengajian di United Kingdom