اللهم صلى على سيدنا محمد وعلى آله واصحابه وسلم

Monday, January 4, 2010

Tunai amalan sunat perlu jihad tinggi dalam jiwa



Tunai amalan sunat perlu jihad tinggi dalam jiwa

DARIPADA Abu Hurairah, 'Junjunganku (Nabi Muhammad SAW) berwasiat supaya aku mengerjakan tiga perkara iaitu: Berpuasa tiga hari pada tiap-tiap bulan, mengerjakan dua rakaat sembahyang dhuha dan juga supaya aku mengerjakan sembahyang witir sebelum aku tidur.' (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jalan untuk mencapai tahap ihsan ialah melalui proses menunaikan segala perkara yang difardukan. Lebih tinggi daripada itu ialah melakukan amalan mendekatkan diri kepada Allah iaitu amalan an-Nawafil (sunat).

Untuk melakukan amalan seumpama itu memerlukan jihad yang tinggi dalam jiwa manusia, kemampuan serta kerelaan hati melaksanakannya, kesungguhan yang tidak pernah luntur dan berterusan, selain memusatkan segala kepentingan dan tujuan hanya kepada Allah semata-mata.

Antara amalan sunat yang digalakkan Rasulullah SAW ialah:

l Sembahyang sunat dhuha iaitu sembahyang yang dikerjakan dengan sekurang-kurangnya dua rakaat dan afdalnya ialah lapan rakaat. Masuk waktunya pula ialah apabila matahari meninggi kadar segalah.

2 Berpuasa sunat terutama tiga hari dalam sebulan iaitu di hari putih (13, 14 dan 15 hari bulan dari bulan Qamariah).

3 Sembahyang witir iaitu sembahyang sunat yang paling utama selepas sembahyang wajib. Waktunya bermula ialah selepas sembahyang Isyak hinggalah terbit fajar. Paling sedikit bilangan rakaatnya ialah satu rakaat dan paling banyak ialah 11 rakaat. Ia dinamakan sembahyang witir kerana ia dikerjakan dengan bilangan rakaat yang ganjil.

Namun begitu, dalam mengerjakan ibadat janganlah kita hanya mementingkan kuantiti amalan dilakukan tanpa memikirkan kualitinya kerana tiada gunanya amalan yang banyak dikerjakan sedangkan ia tidak diterima Allah mungkin disebabkan ibadat dikerjakan tanpa khusyuk atau kerana timbulnya perasaan riak yang membinasakan pahala.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

No comments:

Post a Comment