Kategori : IBADAH Akidah
Tajuk :
Kesan istighfar
Hadith :
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang sentiasa beristighfar maka Allah akan menjadikan baginya setiap kesusahan itu ada jalan keluar dan pada setiap kesempitan ada cara mengatasinya serta memberikan rezeki kepadanya daripada sumber yang tidak disangka-sangka.”
Riwayat Abu Daud
Huraian
1. Islam menggalakkan kita agar memperbanyakkan beristighfar, selalu bertaubat kerana sebagai manusia biasa kita tidak terlepas daripada dosa. Rasulullah s.a.w sendiri sentiasa beristighfar lebih 70 kali setiap hari sedangkan baginda merupakan seorang rasul yang maksum atau dipelihara daripada dosa besar dan kecil.
2. Orang yang sentiasa beristighfar kepada Allah akan merasakan dirinya sentiasa dekat kepadnya-Nya. Bahkan akan timbul perasaan tenang dan dapat mengecapi hidup dengan penuh rasa yakin serta bebas daripada perasaan putus asa atau lemah.
3. Dosa itu adalah penyakit dan ubatnya adalah istighfar. Oleh itu bagi mengelakkan hati daripada lalai seseorang itu hendaklah sentiasa membanyakkan istighfar. Ini kerana kita tidak mengetahui bilakah masanya keampunan daripada Allah itu akan berlaku.
Kategori : IBADAH Solat
Tajuk :
Kepentingan Menjaga Solat
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ”
Riwayat at-Tirmidzi
Huraian
i) Seorang mukmin yang sebenar sudah tentu tidak akan mencuaikan ibadat sembahyang fardhu yang diwajibkan ke atasnya termasuklah menjaga waktu sembahyang, mematuhi tertib sembahyang dan sebagainya di samping mengerjakan ibadat sunat seperti sembahyang sunat, puasa sunat dan lain-lain setakat yang termampu olehnya.
ii) Sesungguhnya sembahyang itu jika dikerjakan dengan sempurna dapat mencegah seseorang daripada perbuatan keji dan mungkar sebaliknya orang yang mengerjakan ibadat sambil lewa tidak akan dapat merasai nikmat ketenangan dan ketakwaan yang sebenar kepada Allah S.W.T. Dia akan menganggap bahawa ibadat itu adalah suatu yang memberatkan. Lantaran itulah kita mendapati ramai orang yang tidak segan silu melakukan dosa dan maksiat sekalipun dia mengerjakan sembahyang, puasa dan sebagainya.
iii) Rebutlah segala peluang yang ada semasa hidup di dunia ini untuk mengerjakan kebaikan, hayatilah kata-kata (athar):” Berusahalah untuk duniamu seolah-olah engkau hidup selama-lamanya, dan beramallah untuk akhiratmu seolah-olah engkau akan mati esok hari.”
Kategori : AKIDAH Usuluddin
Tajuk :
Bersabar Dari Kesempitan Hidup
Hadith :
Abu Said al-Khudri r.a menerangkan bahawasanya segolongan sahabat dari golongan Ansar meminta pemberian daripada Rasulullah lalu baginda memberikannya kepada mereka itu. Kemudian mereka meminta lagi kepada Rasulullah lalu baginda memberikannya pula sehingga habis apa yang ada padanya. Maka bersabdalah nabi: “Harta yang ada pada ku tidaklah sekali-kali aku menyimpannya untuk orang yang lain daripada mu. Sesiapa yang memelihara diri dari meminta-minta nescaya Allah memeliharanya daripada yang haram. Dan sesiapa yang memohon kepada Allah, nescaya Allah memberikan kecukupan kepadanya. Dan sesiapa bersabar menahan penderitaan, nescaya Allah memberikan kepadanya kesabaran. Dan tidak diberikan kepada seseorang sesuatu pemberian yang lebih baik dan luas daripada ‘kesabaran’.”
(al-Bukhari dan Muslim)
Huraian
Islam amat menganjurkan agar kita bersabar dalam menghadapi kesempitan hidup. Jangan membiasakan diri dengan meminta-minta daripada orang lain tanpa berusaha dan berikhtiar dengan jalan yang halal kerana sesungguhnya orang yang gigih berusaha dalam mencari rezeki demi meneruskan kehidupannya di dunia ini dan bersabar dalam menanggung kesusahan nescaya akan dikurniakan Allah rezeki yang banyak
No comments:
Post a Comment